Peraturan mewajibkan kerusi khas kanak-kanak dalam kereta tidak akan dilaksanakan tahun depan – Loke

Peraturan mewajibkan kerusi khas kanak-kanak dalam kereta tidak akan dilaksanakan tahun depan – Loke

Peraturan mewajibkan penggunaan kerusi khas kanak-kanak di dalam kenderaan, yang sepatutnya dilaksanakan pada 2019, tidak akan dikuatkuasakan, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Seperti yang dilaporkan oleh The Star, Loke berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak terikat untuk melaksanakan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

“Pengumuman yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini tidak semestinya diimplementasikan atau dikuatkuasakan. Kementerian perlu mengkaji semula peraturan ini dan mengenalpasti adakah ia praktikal untuk dilaksanakan,” ujar Loke selepas melawat Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya (Miros) di Kajang semalam.

Ketika mula-mula idea ini dicadangkan, mantan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tion Lai berkata, pemilik kenderaan yang membawa anak-anak kecil di dalam kenderaan perlulah memasang kerusi khas kanak-kanak ini. Ia perlu dilakukan menjelang 2019. Malah beliau berpendapat kesedaran awam ini perlu diutamakan sebelum sebarang penguatkuasaan dimulakan.

Walau pun peraturan ini dilaksanakan mahu pun tidak, anda sebagai ibu bapa perlu menilai semula, apakah pemasangan kerusi khas kanak-kanak di dalam kenderaan perlu dilakukan mahu pun tidak. Tidakkah anda pernah terbaca banyak berita melaporkan insiden kanak-kanak mahu pun bayi tercampak keluar dari kenderaan selepas terbabit dengan kemalangan?

Mungkin ada yang beranggapan kerusi khas kanak-kanak ini agak mahal dan anda kurang berkemampuan untuk membelinya. Tetapi tolonglah fikirkan dan utamakan soal keselamatan si kecil anda. Malang tidak berbau, namun tanggungjawab kita sebagai orang dewasa untuk memastikan agar keselamatan si kecil diletakkan di aras yang tertinggi.

Untuk kanak-kanak di bawah berat 25 kg (berat adalah ukuran lebih tepat berbanding usia) haruslah diletakkan di kerusi khas kanak-kanak (Kumpulan 0+, 1 dan 2, kerusi berkenaan diposisi menghadap belakang) dan bagi yang di bawah berat 36 kg pula boleh duduk di tempat duduk biasa dengan tambahan pemasangan booster seat atau booster cushion (Kumpulan 3) tetapi dalam masa yang sama pastikan dipakai tali pinggang keledar. Ini adalah satu keperluan, bukan sekadar pilihan.

Dan mereka juga perlu didudukan di tempat duduk penumpang belakang, bukan di hadapan. Ini bagi menjauhkan mereka daripada beg udara hadapan yang akan terkeluar sekiranya berlaku kemalangan. Anda hanya boleh menempatkan kerusi khas kanak-kanak atau booster seat di tempat duduk hadapan sekiranya ada suis untuk mematikan beg udara di bahagian penumpang hadapan (tidak semua kereta didatangkan dengan fungsi itu), tetapi ini hanya pilihan terakhir (terutamanya jika bimbang si kecil anda mengamuk, meragam atau tantrum bila kena duduk seorang diri di belakang).

BUkan itu sahaja, tolong jangan sesekali memangku si kecil bila duduk di hadapan, paling ‘dahsyat’ dan kurang berhemah; ketika sedang memandu. Pegangan tangan anda tidak begitu kuat untuk menahan si kecil anda sekiranya terlibat dalam kemalangan, malah ia juga sangat berbahaya bila beg udara terkeluar. Ia kemungkinan mampu memberikan kecederaan parah pada si kecil termasuk terpatah leher, tengkorak retak dan sebagainya.

Maka, sekali lagi kami di paultan.org menyeru untuk anda mempertingkatkan lagi tahap keselamatan si kecil, berfikirlah secara rasional, betapa pentingnya penggunaan kerusi khas untuk mereka. Biarpun harus berbelanja lebih untuk membelinya, demi keselamatan si kecil, silalah pertimbangkanlah perkara ini. Bukan tunggu peraturannya dikuatkuasakan, tetapi lakukanlah sekarang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required