Pada era 80’an dan 90’an, selain dari kereta sport dengan enjin rotary, Mazda turut menghasilkan hot-hatch berdasarkan model Familia 323 seperti B6 Clair dan juga B8 Interplay GT-R. Kemudian tahun 2007, hot-hatch dengan prinsip serupa dihasilkan diasaskan dari Mazda 3 generasi pertama digelar Mazdaspeed 3 atau Mazda 3 MPS, dijana enjin 2.3 liter turbo menghasilkan 267 ps/380 Nm.

Model berkenaan diteruskan pada Mazda 3 generasi kedua dengan enjin yang sama, namun ia tidak lagi dihasilkan pada Mazda 3 generasi ketiga. Adakah Mazdaspeed 3 akan dihasilkan untuk model generasi keempat Mazda 3 yang baru sahaja didedahkan lewat bulan lepas? Jawapannya, tidak.

Menurut laporan Drive, Presiden dan CEO Mazda, Akira Marumoto mengesahkan bahawa syarikatnya tidak akan menghasilkan model sedemikian. “Mazda merupakan pemain kecil dan jika [anda bertanya adakah] segmen tersebut mempunyai kepentingan yang tinggi untuk Mazda jawapan dari saya adalah tidak. Jadi kami tidak bercadang untuk menghasilkan MPS pada masa akan datang,” katanya.

Marumoto menjelaskan bahawa walaupun elemen “keseronokan memandu” merupakan salah satu falsafah dalam Mazda Zoom Zoom, syarikatnya lebih menumpukan pada aspek bagi memberikan alternatif premium terhadap model-model saingannya dari Eropah. Jadi, Mazda kini sedang menumpukan pada aspek kualiti yang lebih baik, keselesaan dan memperhalusi barisan model-modelnya berbanding mewujudkan satu lagi segmen lain.

Boss Mazda tersebut turut diajukan persoalan berkenaan adakah kereta sport dua pintu dengan enjin rotary yang akan menggantikan model-model seperti RX-7 dan RX-8 akan dibina berdasarkan model konsep Mazda RX Vision? Beliau menjawab “masih belum diputuskan”.

“RX Vision merupakan satu model visi untuk pembangunan rekaan jadi kami tidak bercadang untuk menghasilkan versi produksi atau komersial untuk model ini. Saya menerima soalan [sama ada kami akan membuat kereta sport dengan enjin rotary] mungkin sudah 100 kali, dan saya tidak akan meneruskannya. Ia merupakan impian untuk semua eksekutif dan pekerja Mazda dan ia adalah tanggungjawab saya untuk menjadikan impian mereka satu kenyataan,” katanya sambil berseloroh.

Mazda telah mengesahkan sebelum ini bahawa mereka akan membawa semula enjin rotary ke pasaran tidak lama lagi, tetapi bukan sebagai enjin yang menjana sebuah kereta sport, sebaliknya digunakan sebagai enjin penambah jarak (range extender) pada model hibird elektrik. Enjin tersebut akan bertindak seperti sebuah ‘generator pasar malam’ bagi mengecas bateri sistem hibrid, manakala roda akan dipacu sepenuhnya oleh hanya motor elektrik.

GALERI: Mazda 3 hatchback 2019

GALERI: Model konsep Mazda RX Vision