Walaupun dengan pelancaran pelbagai model baru termasuk superbike V4, Ducati Motor Holding cuma dapat mencatat penjualan sebanyak 53,004 buah motosikal pada tahun 2018 di seluruh dunia dan ini bersamaan dengan penurunan 5% berbanding tahun sebelumnya.

Walaupun begitu, sebenarnya jualan global motosikal atas 500 cc turut mencatat penurunan sebanyak 3%, dan Ducati masih berjaya menjadi pendahulu dalam segmen superbike, dengan perkongsian pasaran sebanyak 26%. Daripada jumlah jualan keseluruhan yang dicatat, 9,700 adalah model Panigale (peningkatan 70% berbanding tahun 2017), dan ini termasuk 6,100 daripadanya adalah Panigale V4.

Dalam segmen motosikal jelajah pula, Multistrada turut menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 25% berbanding tahun 2017, dengan jumlah keseluruhan 6,569 buah.

“Tahun 2018 adalah agak mencabar bagi pasaran motosikal berkuasa tinggi, dengan penurunan jumlah jualan di negara penting seperti Amerika Syarikat,” kata CEO Ducati Motor Holding, Claudio Domenicali. Pengarah jualan global Ducati, Francesco Milicia pula memberitahu barisan Scrambler 800 akan diperbaharui pada tahun 2019 dan beberapa model baru juga akan diperkenalkan seperti Diavel 1260 dan Hypermotard 950.

Itali terus menjadi pasaran paling besar bagi Ducati dengan jualan 9,200 buah motosikal, diikuti Amerika Syarikat 7,843 buah (turun 9%), Sepanyol 2,444 buah, Jepun 1,941 buah dan Switzerland 1,276 buah. Di China, permintaan pasaran bagi Ducati telah meningkat sebanyak 29% berbanding tahun sebelumnya.