Sejak memperkenalkan Giulia dan Stelvio SUV, agak lama juga Alfa Romeo berdiam diri tanpa sebarang produk baharu. Walau bagaimana pun, dengar ceritanya, sesi mendiamkan diri itu bakal tamat di Geneva Motor Show yang dijadual berlangsung bulan hadapan, kerana pengeluar kereta Itali ini akan melancarkan model baharu.

Jurucakap syarikat Berj Alexania memberitahu Roadshow: “Alfa Romeo akan berada di Geneva Motor Show untuk mempamerkan barisan model yang memenangi anugerah dan juga sesuatu yang baharu. Kami sangat teruja untuk menunjukkan kepada semua orang untuk “sesuatu yang baharu” dalam dunia prestasi dan kemewahan Itali ini. Ia dijangka berlangsung pada 5 Mac ini untuk menyaksikan bab seterusnya bagi kisah legenda Alfa Romeo.”

Setakat ini, tiada perincian lanjut didedahkan. Walau bagaimana pun, ada laporan menjangkakan kemungkinan ia adalah crossover yang lebih kecil yang diposisikan di bawah Stelvio. Alfa Romeo juga dalam perancangan untuk memperkenalkan SUV yang lebih besar untuk bersaing dengan Audi Q7, BMW X5 dan Mercedes-Benz GLE, tetapi kemungkinan ia tidak akan dipamerkan di Geneva.

Jika ia mengambil keputuan untuk memperkenalkan crossover kecil, mungkin juga ia adalah GTV Coupe. Alfa Romeo mendakwa, GTV yang merupakan jentera prestasi, mampu meledakkan pengagihan berat 50:50 serta mempunyai empat tempat duduk. Ia dijanakan oleh enjin 2.9 liter turbo-berkembar V6 (sama seperti enjin yang menjanakan Giulia Quadrifoglio) dan dipadankan dengan e-booster (pengecas turbo elektrik) untuk mendapatkan kuasa berjumlah 600 hp. Sistem pemanduan semua-roda dengan penvektoran tork juga akan ditampilkan.

Selain itu, model baharu tersebut mungkin akan menggunakan platform ‘Giorgio’ yang berkongsi dengan Giulia dan Stelvio. Model akan datang Alfa Romeo juga akan ditawarkan dengan penjana kuasa plug-in hybrid, pemanduan sendiri Tahap 3 dan sistem ketersambungan.