Audi A5 baru bakal menjadi tambahan terbaru bagi segmen kenderaan coupe premium di Malaysia. Model generasi kedua ini sedang dipertontonkan di bilik pameran Audi dalam bentuk Sportback lima-pintu.

Hanya ada satu varian sebagai pengenalan awal; 2.0 TFSI quattro yang diimport sepenuhnya. Harga jualannya pula ialah RM339,900 atas jalan tidak termasuk insurans dan disertai dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan.

Kuasa dari enjin 2.0 liter turbocaj yang digunakan pula ialah sebanyak 252 hp pada 5,000 hingga 6,000 rpm dan 370 Nm tork dari 1,600 rpm hingga 4,500 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi klac-berkembar S tronic tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua roda kekal quattro.

Untuk perbandingan, BMW 430i Coupe dan Mercedes-Benz C 300 Coupe – kedua-duanya dengan dua pintu – dijual pada harga melebihi RM400k. Bagaimanapun, kedua-dua model ini masing-masing dilengkapi dengan tingkat kelengkapan M Sport dan AMG Line.

Dari luaran, ia masih mengekalkan rekaan yang sinonim dengan A5, dari garis bumbung serta garis bahu pada badan kereta. Sedikit sentuhan pembaharuan diberikan, misalnya pada bahagian gril kerangka tunggal yang lebih mendatar serta lampu utama dan belakang rekaan trapezoid.

Lampu utama LED sepenuhnya dengan dua DRL merupakan ciri standard, begitu juga dengan rim 19-inci aloi yang digunakan. Di dalam, corong pendingin hawa luas dengan rekaan yang sama seperti pada Audi A4 B9, serta set teknologi lengkap Audi. Ini termasuk Audi virtual cockpit dengan instrumen paparan digital 12.3-inci. Sistem infotainmen MMI Navigation Plus pula ada tambahan skrin 8.3-inci dan tombol rotari MMI untuk kawalan.

Kemasan dalaman menggunakan material kulit dengan padanan perincian Silver Aluminium Ellips. Ciri standard lain termasuk sistem tanpa kunci, butang Push Start, pendingin hawa tiga zon automatik, tempat duduk sport larasan elektrik, penyerap hentak adaptif dan sistem audio 180-watt dengan 10 pembesar suara. Bagaimanapun, tiada ciri AEB untuk versi ini.