Baharu sahaja diberikan petunjuk semalam, BMW 4 Series LCI ((Life Cycle Impulse) facelift kini rasmi berada dalam pasaran Malaysia. Buat masa sekarang, 4 Series berkenaan hanya hadir dalam bentuk badan coupe dua-pintu, ditawarkan dengan tiga varian iaitu 420i Sport, 430i M Sport, serta model berpretasi tinggi sebenar M4.

Menerusi barisan model-model baharu ini, varian 420i kini telah digugurkan, manakala model 420i Sport dijual pada harga RM338,800 – RM21,000 lebih mahal dari model standard. Untuk 430i M Sport pula dijual pada harga RM408,800 (RM22,000 lebih mahal). Model M4 juga kini RM12,000 lebih tinggi, dijual pada harga RM760,800. Kesemua harga yang dinyatakan ialah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk perlindungan waranti selama lima tahun, servis penyelenggaran percuma juga selama lima tahun, serta waranti tayar selama dua tahun.

Seperti yang dinyatakan diatas, kesemua model ini dijual dengan harga yang lebih tinggi dari sebelum ini, dan sudah tentu ia turut diberikan kelengkapan yang lebih banyak. Kesemua model kini diberikan lampu hadapan dan belakang LED secara standard, manakala bagi M4 pula, ia diberikan lampu hadapan LED adaptif bersama lampu nyalaan siang “corona ring” baharu berbentuk heksagon.

Untuk model 420i Sport pula, ia turut menerima kemasan liang kemasukan udara hadapan baharu dan juga bampar belakang yang menerima sentuhan semula. Ia juga kini menerima pilihan warna baharu – Snapper Rocks Blue.

Pada bahagian dalaman, 4 Series kini diberikan kemasan saduran elektrik dan krom pada berberapa bahagian, kemasan hitam berkilat pada sekeliling panel kawalan audio dan pendingin hawa, penutup pemegang cawan boleh lipat, balutan kulit berkualiti tinggi pada roda stereng standard, dan juga jahitan berganda pada bahagian atas papan pemuka. Sistem iDrive pada model kemaskini ini juga menampilkan paparan yang sama seperti 5 Series G30 (NBT Evo ID6).

Varian 420i menerima peningkatan dari model standard sebelum ini. Ia kini diberikan rim style 407 dengan jejari berbentuk-bintang kemasan dua-tona berdiameter 19-inci (18-inci sebelum ini), serta turut diberikan kamera undur. Kit standard sedia ada masih dikekalkan yang terdiri dari pendingin hawa dua-zon, tempat duduk sport hadapan bantuan elektrik bersama memori pada bahagian pemandu, penderia parkir hadapan dan belakang, dan juga sistem Hifi loudspeaker 205-watt dengan sembilan pembesar suara.

Untuk 430i M Sport pula, ia turut diberikan rim lebih besar – M style 407 jejari berkembar 19-inci. Selain itu, model ini turut menerima sistem kunci pintar Comfort Access, pelindung cahaya elektrik untuk cermin belakang, suspensi adaptif M Sport, dan juga sistem navigasi Profesional bersama skrin paparan 8.8-inci. Berbanding model 420i, 430i turut menerima pakej BMW Concierge Service.

Bagi model M4 pula, kelengkapan yang diberikan masih lagi sama seperti sebelum ini, termasuk rim M style 437 jejari berkembar 19-inci, paparan head-up, sistem audio surround 600-watt Harman Kardon dengan 16-pembesar suara, dan juga bantuan lampu tinggi.

Pada bahagian mekanikal pula, 4 Series kini diberikan talaan suspensi lebih keras yang disasarkan untuk memberikan pemanduan lebih sporty tanpa mengorbankan keselesaan. Dinamik melintang dan menegak juga telah ditingkatkan pada suspensi standard serta adaptif, tanpa mengira beban. Kesemua model juga kini menampilkan kestabilan laluan lurus yang lebih baik serta stereng yang lebih komunikatif.

Barisan enjin masih lagi sama seperti sebelum ini, sama seperti enjin-enjin yang diperkenalkan pada 3 Series LCI tahun lalu. Enjin petrol 2.0 liter empat silinder turbo pada model 420i menghasilkan kuasa 184 hp/270 Nm, manakala enjin yang sama untuk varian 430i pula menjana 252 hp/350 Nm. Kedua-dua enjin diberikan transmisi automatik lapan-kelajuan dari ZF (versi Sport untuk 430i), mengalirkan kuasa ke gandar belakang.

Model paling berkuasa, M4, masih lagi mengekalkan enjin sebelum ini – 3.0 liter petrol enam silinder sebaris turbo berkembar menjana 431 hp/550 Nm. Enjin berkenaan digandingkan bersama tranmisi klac-berkembar (DCT) tujuh-kelajuan automatik M, manakala gandar belakangnya turut diberikan LSD aktif M. Pemandu turut dibantu dengan mod pemanduan M Dynamic, stereng elektronik-mekanikal M Servotronic, suspensi adaptif M dan juga kompaun brek M.

GALERI: BMW 420i Sport Coupé LCI

GALERI: BMW 430i M Sport Coupé LCI

GALERI: BMW M4 Coupé LCI