TUNGGANG UJI: Yamaha Tracer 900 GT – benarkah naik taraf baru membantu berikan lebih kepuasan?

TUNGGANG UJI: Yamaha Tracer 900 GT – benarkah naik taraf baru membantu berikan lebih kepuasan?

Semasa Yamaha Tracer mula-mula memasuki pasaran Malaysia beberapa tahun lepas, saya sendiri agak teruja kerana saya memang menggemari MT-09 yang digunakan sebagai asas motosikal ini, dan kemudiannya, Tracer ini ibarat sebuah model yang lebih praktikal kerana dijadikan lebih selesa, terutamanya untuk perjalanan jauh.

Saya masih ingat, semasa dapat mengujinya, Tracer meninggalkan kesan yang positif, dan merata tempat saya pergi, termasuklah Cameron Highland. Disebabkan saya banyak menunggang pelbagai motosikal, biasanya apabila ditanya tentang sebuah model, susah untuk saya ingat secara terperinci.

Jawapan ringkas saya selalunya ‘boleh beli’ atau ‘jangan’, dan kalau mereka masih mahukan jawapan terperinci, saya akan suruh mereka merujuk kembali laporan tunggang uji saya sebelum ini. Untuk Tracer, saya memang boleh mengesyorkannya kepada mereka yang berminat kerana ia sebuah model yang baik, dan harganya juga tidak terlalu tinggi (RM52,000 untuk model CKD).

Sekarang masuk tahun 2019, model baru Tracer GT yang diberi peningkatan sudah pun masuk ke pasaran Malaysia. Harganya meningkat sekitar RM9k, tapi anda akan menerima pelbagai kelengkapan lebih moden seperti quickshifter, cruise control, suspensi yang boleh dilaras sepenuhnya, pemanas tangan serta panel instrumen TFT yang dibangunkan daripada model R1.

Daripada senarai pembaharuan ini pasti anda sudah boleh menjangka lebih kepuasan memiliki Tracer GT, tapi saya boleh katakan anda mungkin mahu membaca keseluruhan laporan tunggang uji ini kerana ada beberapa perkara yang memberi kejutan kepada saya dan sedikit mengubah pandangan saya kepada model ini.

Sebelum pergi terus kepada bahagian-bahagian yang menjadi kelebihan kepada Tracer GT baru ini, kita lihat terlebih dahulu bagaimana asas Tracer yang dibawa daripada model sebelumnya menyumbang kepada kualiti tunggangan. Kemudiannya, jika ada yang tertanya sama ada unit berwarna biru mempunyai perbezaan dengan unit berwarna merah dalam gambar, sebenarnya tidak dan kedua-duanya adalah Tracer GT baru dan ini adalah dua warna yang ditawarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sekarang.

Daripada aspek penampilan, tiada banyak perubahan pada Tracer GT ini selain penghadang angin yang kini boleh dilaras menjadi lebih tinggi, kedudukan lampu penunjuk arah depan serta bentuk penghadang tangan. Ia masih lagi menggunakan banyak garisan tajam dan agresif yang menjadikan motosikal nampak garang serta moden. Walaubagaimanapun, daripada pemerhatian, nampaknya tidak semua orang mudah menerima rekaan ini dan ada yang mengatakan ia terlalu pelik.

Saya juga lebih menggemari rekaan Tracer ini berbanding MT-09 kerana ia nampak lebih sempurna terutamanya dengan lampu belakang yang masuk terus ke dalam panel badan, berbanding pada MT-09 (model pertama) yang kelihatan lebih terkeluar. Kemudiannya di bahagian tepi, terdapat terus soket untuk menyangkut beg barangan yang dijual oleh HLYM secara berasingan.

Kalau dilihat dari tepi, tempat duduk Tracer GT nampak seperti rata, tetapi sebaik sahaja saya duduk di atasnya buat pertama kali, saya sudah terasa ia condong ke hadapan. Tempat letak kaki pula sedikit ke belakang, menjadikannya seperti sebuah motosikal yang agresif. Tapi, bahagian pemegang masih boleh dicapai dengan mudah walaupun badan tegak.

Kedudukan inilah sebenarnya yang mengganggu pengalaman saya dengan Tracer GT. Ia sepatutnya adalah sebuah motosikal jelajah yang memberikan keselesaan tetapi tetapan ergonomik ini membuatkan bahagian bawah badan saya tidak selesa dalam perjalanan jauh. Saya tidak pasti sama ada tetapan ini adalah sama dengan Tracer sebelum ini, tapi jika anda seorang yang suka menunggang secara agresif, tetapan ini mungkin dirasakan sesuai.

TUNGGANG UJI: Yamaha Tracer 900 GT – benarkah naik taraf baru membantu berikan lebih kepuasan?

Selain digunakan dalam bandar untuk pergerakan harian, saya juga berpeluang menunggang Tracer GT ini hingga ke Pulau Pinang (dari Kuala Lumpur). Disebabkan saya naik berdua, memang tidak terasa untuk menunggang laju sehingga lebih daripada 170 km/j, tapi sebenarnya ada satu lagi perkara yang mengganggu.

Semasa mengambil motosikal ini dari HLYM, seorang petugas teknikal ada memberitahu bahawa penghadang angin baru yang boleh dilaras pada Tracer GT ini mempunyai bentuk khas dengan tepinya berlekuk supaya tidak menghasilkan gegaran pada bahagian hadapan motosikal. Memang benar, tapi bahagian kepala saya pula yang merasai kesannya.

Saya seorang yang tinggi (180 sm), dan walaupun penghadang angin ini cuma boleh dilaras secara manual, saya masih mampu memberi pujian kerana ia mudah digunakan (termasuk waktu bergerak) dan kepala tidak rasa tertolak ke belakang walaupun dalam kelajuan tinggi. Masalahnya wujud di bahagian tepi helmet pula, di mana terdapat gegaran kecil yang berterusan di kiri dan kanan, di mana lama kelamaan menjadikan saya seperti berdengung. Kalau saya tunduk menyorok di sebalik penghadang angin, gegaran itu tidak terasa.

Awalnya dalam fikiran, saya rasa mungkin saya sahaja yang mengalami perkara ini, tapi kemudiannya terkejut kerana ada seorang rakan yang sedang mempertimbangkan motosikal ini turut menyatakan, perkara sama dibaca dalam laporan tunggang uji dari luar negara.

Kasihan, kerana kalau bukan kerana dua perkara ini (penghadang angin dan ergonomik) Tracer GT memang cukup selesa untuk ditunggang dalam perjalanan jauh (sekurang-kurangnya melalui pengalaman saya). Enjin tiga silinder DOHC 847 cc pada motosikal ini juga dapat beroperasi lancar dan tidak banyak gegaran dalam kelajuan tinggi.

Daripada aspek kuasa, mungkin ramai yang sudah tahu enjin sama yang juga digunakan pada MT-09 ini memang bukan calang-calang. Ia mampu menghasilkan kuasa 115 PS pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm tork pada 8,500 rpm. Bagi kaki superbike, jumlah ini mungkin tidak seberapa, tapi dengan tetapan yang digunakan oleh Yamaha, saya boleh katakan ia mungkin mampu menakutkan sesetengah orang.

Maklum balas pendikit Tracer kalau dibandingkan dengan MT-09 sedikit kurang sensitif, tapi apabila dibandingkan pula dengan motosikal lain, masih lagi boleh dikategorikan sebagai sensitif. Bagi saya, mod yang paling selesa adalah mod paling lembut iaitu B, dan itupun sudah cukup kalau saya mahu tunggangan yang lebih agresif atas jalan biasa. Kalau masuk ke dalam litar, mungkin barulah saya akan menggunakan mod Standard atau A.

Penukaran mod pada Tracer GT ini boleh dilakukan menggunakan butang yang terdapat di bahagian kiri pemegang. Masalahnya, butang tersebut berada pada kedudukan yang biasanya untuk motosikal lain, adalah kedudukan butang lampu tinggi (passing light). Disebabkan ini bukan motosikal sendiri dan saya sudah biasa dengan kedudukan butang lampu tinggi di atas itu, apabila saya mahu mengangkat lampu tinggi sebagai amaran, akhirnya saya akan tertukar mod.

Penukaran mod biasanya memerlukan pendikit ditutup, dan memang kebiasaannya, bila saya mahu memberikan amaran lampu kepada bahaya di hadapan, saya akan menutup pendikit. Sudahnya, mod pula yang tertukar dan saya terpaksa menggunakan mod lebih sensitif yang tidak digemari. Walaubagaimanapun, sekiranya ini motosikal sendiri dan anda sudah biasa menggunakannya, ia mungkin tidak akan menjadi satu masalah.

Walaupun saya sedikit hampa dengan beberapa perkara, sebenarnya masih banyak juga perkara lain yang menyenangkan pada Tracer GT ini. Antaranya adalah suspensi yang boleh dilaras, depan dan belakang. Untuk yang di hadapan, anda mungkin akan melarasnya sekali sahaja untuk mendapatkan tetapan yang sesuai, tetapi untuk yang di belakang, kehadiran tombol di tepi menjadikannya lebih mudah untuk pengguna. Saya sendiri selepas separuh perjalanan merasakan suspensi sedikit lembut untuk dua orang dan bagasi, tetapi saya boleh berhenti di kawasan rehat dan melakukan pelarasan dengan mudah untuk menjadikan kualiti tunggangan lebih baik.

TUNGGANG UJI: Yamaha Tracer 900 GT – benarkah naik taraf baru membantu berikan lebih kepuasan?

Kemudiannya, motosikal ini turut dilengkapi dengan cruise control, di mana butang kawalannya juga terdapat di sebelah kiri pemegang. Walaupun biasanya saya tidak yakin menggunakan ciri ini, pada Tracer GT ia sangat mudah digunakan, dan dapat membantu penunggang merehatkan tangan kanan seketika apabila keadaan selamat.

Untuk pemanas tangan, ada yang mengatakan ia tidak begitu perlu di negara kita, tetapi saya bersyukur ia ada kerana waktu pulang dari Pulau Pinang, hujan turun agak lebat dan ditambah lagi dengan hari yang sudah malam, keadaan memang agak sejuk. Anda juga boleh memilih tahap kepanasan yang dimahukan.

Selain daripada brek ABS, Tracer GT juga dilengkapi dengan Traction Control System (TCS) yang boleh dipilih dalam dua tahap, dan butangnya berada di sebelah kiri pemegang. Ia sememangnya berguna sebagai satu jaring keselamatan bagi Tracer GT yang berkuasa ini, tapi anda juga boleh menutupnya terus sekiranya mahu. Jadi, mereka yang mahu meredah jalan tidak berturap (seperti jalan ladang sawit) atau mahu mengangkat tayar hadapan, anda tidak perlu risau.

Tangki bahan api pada motosikal yang mempunyai berat 215 kg ini adalah berkapasiti 18 liter, dan dalam perjalanan saya atas lebuh raya, ia boleh membawa motosikal hingga 300 km. Saya mengisi tangki penuh di Juru, Pulau Pinang, ia boleh bertahan sehinggalah saya sampai ke rumah di Petaling Jaya, Selangor.

Semua operasi dan maklumat berkenaan motosikal terpapar di skrin TFT baru yang dibangunkan daripada model sports R1. Hanya beberapa bahagian sahaja yang mempunyai warna, dan setakat yang sempat saya godek, paparan itu tidak boleh diubah. Tapi, setiap perincian masih senang dilihat sepanjang masa, dan satu yang menarik, warna latar belakangnya boleh berubah antara hitam dan putih bergantung kepada kecerahan sekitar dan sama ada siang atau malam.

Satu lagi peningkatan penting pada Tracer GT adalah quickshifter. Ia dapat membantu anda menaikkan gear tanpa melepaskan pendikit dan menarik klac seperti biasa, tapi apabila mahu menurunkan gear, anda masih perlu menggunakan klac. Bagi saya, ia bukanlah quickshifter terbaik yang pernah saya rasa, kerana apabila menyungkit tuil gear, anda akan dapat merasa dua tahap tekanan. Walaupun begitu, sepanjang digunakan, ia masih lagi lancar dan tidak bermasalah.

Bahagian lain motosikal juga masih meyakinkan termasuk sistem brek yang menggunakan tetapan cakera berkembar 298 mm di hadapan dan cakera tunggal 245 mm di belakang. Rim adalah unit 17 inci yang dibalut dengan tayar Dunlop Sportmax D222 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.

Sekiranya anda mahu bertukar penunggang yang berbeza ketinggian untuk Tracer GT ini, ia juga didatangkan dengan tempat duduk yang boleh dilaras. Ia boleh dilakukan dengan mudah melalui pelarasan di bawah tempat duduk dan dalam kedudukan rendah ukurannya adalah 850 mm manakala dalam kedudukan tinggi ia menjadi 865 mm.

Dengan segala maklum balas yang dinyatakan tadi, Tracer GT masih boleh dianggap mempunyai pakej yang menarik, terutamanya apabila mengambil kira aspek harga. Satu lagi yang mungkin mahu dipertimbang, semua barang untuk Tracer GT ini datang dari Jepun dan HLYM cuma memasangnya sahaja di kilang mereka di Sungai Buloh.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • Zaifuddin on May 21, 2019 at 4:45 pm

    Tracer is good, I am the owner of it. However, HLYM customer service Sg Buloh very very terible. i reported to them my abs sensor broke on Jan 2019, call them many times and until now I still dont get my abs sensor replace. 5 months now and yet, my abs sensor no where to be seen. Very sad, thought good product come with good customer service, but obviuosly no. Look at google comments, a lot of bad thing reported there regarding HLYM customer service.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 1
 

Add a comment

required

required