Seperti yang sudah dijangka, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd hari ini telah melancarkan sebuah model baru untuk pasaran Malaysia iaitu Tracer 900 GT. Ia ditawarkan dalam dua warna iaitu kelabu dan juga biru, dengan harga RM58,888 termasuk SST tetapi tanpa insurans (tiada beg barangan).

Model jelajah ini menggunakan asas daripada Tracer 900 baru yang dilancarkan buat pertama kali di dunia pada November 2017, dan ia mempunyai pelbagai peningkatan daripada Tracer generasi pertama, termasuk pada bahagian ergonomik, keselesaan serta fungsi yang memudahkan bagi pengguna.

Kemudiannya, model yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia ini adalah model GT, yang bermaksud ia dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan prestasi seperti quickshifter, cruise control, suspensi yang boleh dilaras sepenuhnya, pemanas tangan serta panel instrumen TFT yang dibangunkan daripada superbike YZF-R1.

Pada bahagian enjin, Tracer 900 GT masih menggunakan enjin tiga silinder 847 cc sama seperti MT-09, dengan padanan transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa sebanyak 115 PS pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm tork pada 8,500 rpm. Untuk brek, di hadapan ia menggunakan set cakera berkembar 298 mm manakala di belakang menggunakan cakera 245 mm.

Kelengkapan lain yang datang terus dengan Tracer 900 GT adalah rim 17 inci, tangki bahan api 18.7 liter, klac jenis slip & assist, brek ABS, dua tahap kawalan cengkaman dan boleh ditutup, tiga mod tunggangan (A, B dan Standard) dan penghadang angin hadapan yang boleh dilaras secara manual.

Semua kelengkapan Yamaha Tracer 900 GT untuk pasaran Malaysia ini datang terus dari Jepun tetapi pemasangannya dilakukan di kilang HLYM di Sungai Buloh. Untuk model ini sahaja, HLYM mensasarkan penjualan 500 ke 600 unit bagi tahun 2019, dan ia didatangkan dengan jaminan satu tahun atau 10,000 km.