Ketika mengumumkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Lebuhraya Utara Selatan untuk musim cuti perayaan Aidilfitri 2019 tempoh hari, Plus Malaysia Berhad (PLUS) turut menasihatkan pengguna lebuh raya terutama penunggang motosikal supaya tidak menggunakan lorong kecemasan semasa pulang ke kampung.

Menurut CEO syarikat tersebut, Zakaria Ahmad Zabidi, ini adalah untuk mengurangkan risiko kemalangan maut kerana terdapat banyak halangan seperti kenderaan rosak diletakkan pada lorong berkenaan, dan statistik tahun lalu menunjukkan majoriti kemalangan maut melibatkan motosikal berlaku di lorong kecemasan.

“Laluan itu amat berbahaya kepada penunggang motosikal kerana terdapat banyak kenderaan rosak dan lori yang diletakkan di lorong kecemasan itu. Berdasarkan statistik Ops Selamat 2018, lebih 60% kemalangan maut dan kes kematian di lebuh raya melibatkan motosikal. Daripada jumlah itu, 77% kemalangan melibatkan motosikal di lorong kecemasan,” jelasnya.

Zakaria turut menasihati penunggang motosikal memakai pakaian cerah dan pantul cahaya serta membuat perjalanan pada waktu siang supaya mudah dilihat oleh pengguna lebuh raya lain.