Proton Exora 2019 – harga turun, tapi ada ciri penting masih tiada; anda perlu tahu sebelum buat pilihan

Proton Exora 2019 – harga turun, tapi ada ciri penting masih tiada; anda perlu tahu sebelum buat pilihan

Proton Exora 2019 pun akhirnya selamat diperkenalkan minggu ini dengan dua varian ditawarkan. Sebagai sebuah MPV untuk keluarga, ia memang kena dengan semangat musim perayaan Aidilfitri yang akan menjelang tak lama lagi. Sesuai sangat – walaupun mungkin sedikit lewat bagi pelanggan yang nak jadikan Exora sebagai kereta Raya – bagi perjalanan balik kampung sekeluarga.

Tambah menarik, harga yang diperkenalkan juga sebenarnya lebih rendah berbanding sebelum ini; secara ringkasnya, bagi varian paling asas Executive (RM59,800), harganya kurang sekitar RM2,000 manakala bagi varian paling tinggi Premium (RM66,800) pula kurang sekitar RM2,500.

Ini belum lagi mengambil kira nilai tambah dan pakej istimewa yang diberikan sebagai tambahan kepada penawaran Exora versi yang dikemaskini berkenaan. Antara yang dimaksudkan ialah pertambahan ciri seperti unit multimedia “Hi! Proton”, pakej servis kos buruh percuma selama lima tahun, pakej internet dalam kenderaan percuma 1GB sebulan selama lima tahun, cukai jalan percuma (bagi 1,000 pelanggan terawal) dan banyak lagi.

Ini memang menjadikan penawaran Exora 2019 begitu menarik dan berbaloi, terutamanya jika ingin dibandingkan dengan dua pesaing terdekatnya, apa lagi kalau bukan Perodua Alza dan Toyota Avanza. Proton sendiri tidak menggelarkan versi terbaru ini sebagai facelift; kerana cukup jelas, rupa bentuk luarannya tak ada apa yang berubah sangat. Maka sesuailah untuk kita panggil Exora 2019 ini sebagai versi yang diberi kemaskini dari beberapa aspek.

Dan, Exora ini bukanlah model baru. Ia telah diperkenalkan sejak 2009 lagi, menjadikan usianya tahun ini mencecah angka 10 tahun. Sebab itu perbandingan dengan dua model pesaing yang disebutkan ini sangat adil; Alza sendiri berusia kurang lebih sama dengan Exora, manakala Avanza pula lebih lama daripada itu. Semuanya telah menerima berkali-kali facelift atau peningkatan penawaran.

Sejak pengenalan versi facelift yang dilakukan pada 2017 dahulu, ada dua perkara yang tidak ditawarkan lagi pada Exora ini yang mungkin pelanggan terlepas pandang. Bagi varian Premium misalnya, sejak itu hanya tinggal dua beg udara SRS untuk penumpang hadapan yang ditawarkan. Sebelum itu, Exora pernah hadir dengan empat beg udara – termasuk dua di sisi penumpang depan. Tetapi, dalam versi 2019 ini, ia meneruskan penawaran berkenaan dari 2017 dan kedua-dua varian hanya tinggal dua beg udara sahaja.

Proton Exora 2019 – harga turun, tapi ada ciri penting masih tiada; anda perlu tahu sebelum buat pilihan

Perkara kedua yang sama diteruskan sejak 2017 dulu; masih tiada ciri kawalan kestabilan (ESC) bagi varian Executive. Ini agak aneh, kerana lebih baik jika ia ditawarkan kini sebagai sebuah peningkatan terhadap penawaran Exora Executive, lebih-lebih bagi sebuah syarikat yang terkenal mempromosi betapa selamatnya kenderaan keluaran mereka untuk digunakan di jalanraya dengan segala macam teknologi yang ada.

Selari dengan matlamat untuk menjadikan jalanraya Malaysia lebih selamat, ESC sepatutnya sudah menjadi satu penawaran yang standard bagi semua kenderaan, bukan menjadi satu ciri pilihan dalam situasi apa pun. Bayangkan, model-model seperti Proton Iriz dan Persona yang lebih murah daripada Exora Executive ini pun ada dilengkapi dengan ESC, inikan pula bagi sebuah MPV yang terang-terangan akan digunakan untuk seisi keluarga.

Untuk berlaku adil perlu juga dinytakan di sini, bahawa model pesaing seperti Alza dan Avanza juga sebenarnya tidak dilengkapi ciri ESC ini, serta hadir dengan jumlah dua beg udara juga. Kami cuma merasakan adalah lebih baik sekiranya Proton menjadi pelopor untuk mengubah trend ini dan meletakkan keselamatan penggunanya satu langkah di hadapan melalui penawaran yang dipertingkatkan.

Proton Exora 2019 – harga turun, tapi ada ciri penting masih tiada; anda perlu tahu sebelum buat pilihan

Jawapan oleh wakil Proton ketika sesi pandu uji ringkas yang diadakan pada hari pelancarannya juga tidak menjelaskan dengan memuaskan perkara ini. Pertama, alasannya ialah untuk menurunkan kos. Ini, kami faham. Tetapi mengapa melibatkan ciri keselamatan yang paling asas dan bukannya ciri keselesaan lainnya yang tidak menjejaskan penawaran keselamatan untuk mencapai tujuan itu?

Kedua, katanya dengan Exora 2019 ini, ciri seperti voice command pada sistem “Hi! Proton” telah diperkenalkan (bagi mengelakkan pemandu daripada menggunakan telefon bimbit) serta pertambahan ciri Auto Cruise juga menyumbang untuk menjadikan pemanduan Exora Executive ini lebih selamat. Walaupun ini tidak sepenuhnya salah, bagaimana ciri keselamatan pasif seperti ini (jika boleh dianggap begitu) difikirkan dapat menggantikan ciri keselamatan aktif seperti ESC dan beg udara?

Proton Exora 2019 – harga turun, tapi ada ciri penting masih tiada; anda perlu tahu sebelum buat pilihan

Kami fikir, dalam konteks ini, Proton boleh saja mengambil langkah proaktif untuk tetap menawarkan ciri ESC bagi semua variannya, atas faktor keselamatan yang lebih penting terhadap pengguna. Untuk itu, sekiranya anda benar-benar ingin membeli Proton Exora 2019 ini, kami cadangkan terus pilih yang Premium dan abaikan varian Executive. Perbezaan harga juga tidak banyak, sekitar RM7,000, tetapi anda akan lebih tenang dan tahu bahawa dalam situasi tak menentu, ESC mampu membantu menjamin keselamatan semua penumpang.

Kekurangan dari sudut penawaran ciri keselamatan pada Exora 2019 boleh dipertingkatkan lagi, tentunya. Kerana, nilai dan penawaran keseluruhannya berada pada tingkat yang sangat baik. Berbanding dengan pesaing yang ada, Exora menyediakan ruang yang paling luas, begitu juga dengan aspek pemanduan yang lebih meyakinkan dan selesa sampai ke penumpang di barisan ketiga. Sayang sekali aspek keselamatan pada varian Executive yang dipilih untuk dikorbankan. Apa pula fikiran anda tentang hal ini? Harapnya Proton buat sesuatu terhadap penawaran Exora 2019 ini untuk kepentingan pelanggannya.

Proton Exora 2019 Executive

Proton Exora 2019 Premium

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • pasang benda lain yg kurang penting, tapi cabut ESC yg penting. main reverse gear ye proton?

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 0
  • Nobody on May 31, 2019 at 7:35 am

    Kalau pasang ESC takde la Hi Proton. Proton kan tgh reduce BOM cost 30%. Ops head unit from Geely vendor kene bagi priority. ESC dari Bosch, mahal.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • abe jal on May 31, 2019 at 2:54 pm

    bubuh la apa pun. kalu bawa mcm setan tak berguna juga.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 1
  • Exora Premium ada VSC dan Auto cruise. Camri dan Accord pun hanya yg engine 2.4 ada VSC. Engine 2.0 tiada VSC.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • Sekarang barulah semua variant camri dan accord ada VSC.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Tasriq Ketaburuk on Jun 07, 2019 at 7:30 pm

    TOLONG… AK DAH ANGAU KT EXORA PREMIUM NI..

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • harimah on Jun 13, 2019 at 8:15 am

    exora 2019 nampak cantik… proton exora 2019 ini ada yang versi manual ke?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • ehemm, ehemmm…Executive ‘dimurahkan’ untuk habiskan stok… jiaji @ exora baru on the way ;)

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required