GALERI: Proton Exora RC Executive 2019, RM59,800

GALERI: Proton Exora RC Executive 2019, RM59,800

Proton baru saja melancarkan MPV Exora RC 2019 (RC bermaksud running change) pada 28 Mei lalu. Walau pun tidak melibatkan pembaharuan kosmetik yang besar untuk luaran, RC hanya diberikan warna baharu dan juga antera sirip jerung. Namun begitu, untuk bahagian dalamnya, ada beberapa perubahan yang dilakukan, dan nilai lain yang dipertingkatkan termasuk harga atas jalan yang dikurangkan serta pakej bonus.

Kit dalaman baharu yang paling menarik ditampilkan sudah tentu unit utama skrin sesentuh tujuh-inci berasaskan Global Key User Interface (GKUI) buatan Geely, dengan arahan suara “Hi Proton” dan sambungan internet 4G menerusi kad eSIM. Sistem ini mula diperkenalkan pada model SUV X70, yang memiliki fungsi termasuk penstriman muzik dalam talian, navigasi secara langsung, ketersambungan telefon pintar, mirroring untuk Android dan WiFi hotspot, serta beberapa lagi.

Selain itu, ia juga menampilkan kluster instrumen baharu (sama seperti Iriz/Persona 2019) dan juga ruang tengah yang direka semula – jam di bahagian tengah papan pemuka pula telah digugurkan dan keseluruhan panel pula kini menerima kemasan piano black dengan sentuhan perak untuk penampilan yang lebih anggun. Turut ditampilkan ialah dua USB port yang diletakkan di tempat pemegang cawan hadapan, dan soket 12V – berbanding satu unit USB port pada model terdahulu.

GALERI: Proton Exora RC Executive 2019, RM59,800

Bukan itu sahaja, Exora RC 2019 ini juga ditampilkan dengan cermin pandang belakang “tanpa bingkai” – juga sama seperti Iriz/Persona baharu. Manakala tempat duduknya pula menerima material upholstery separa kulit hitam dengan paten “quilted”, begitu juga dengan permukaan dalaman pintu. Butang SAT (stepped automatic transmission) untuk CVT juga telah digugurkan kerana Proton mendapati ia sangat kurang digunakan.

Tiada perubahan mekanikal namun Proton telah meningkatkan talaan bagi suspensi dan engine mount untuk NVH yang lebih bagus. Selain itu, Proton juga telah mengurangkan bunyi bising disebabkan seretan angin untuk keselesaan pemandu dan penumpang yang lebih optimum. Bagi kit keselamatan, ia masih kekal dengan dua beg udara, ABS dan EBD. ESC hanya untuk varian Premium.

Berita yang paling besar sudah pasti melibatkan harga yang diumumkan jauh lebih murah berbanding model sebelum ini. Exora 2019 hadir dengan dua varian – Executive berharga RM59,800 dan RM66,800 bagi Premium, kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans. Ia melibatkan penurunan harga masing-masing sebanyak RM2,208 dan RM2,547, berbanding varian Executive/Executive Plus bagi model sebelum ini.

Tawaran menarik yang turut diumumkan oleh Proton ialah pakej servis dengan tiga kali kos buruh percuma, dan data percuma sebanyak 1GB untuk lima tahun. Malah pakej perlindungan insurans istimewa dan kadar pembiayaan terendah dari 2.76% setahun turut ditawarkan.

Sebagai tambahan, sesiapa yang membeli Exora tahun ini akan menerima lima tahun (atau 11 kali) kos buruh percuma untuk setiap kali tempoh servis yang dinyatakan. Manakala bagi 1,000 pembeli pertama pula akan menerima bonus yang berupa cukai jalan percuma selama dua tahun. Ini bermakna Proton telah memberikan keseluruhan nilai tambahan sebanyak RM4,233 untuk Executive dan RM5,652 bagi Premium, menerusi setiap pakej dan keistimewaan yang ditawarkan, berbanding model sebelumnya.

Ketika majlis pelancarannya, hanya model spesifikasi penuh yang dipamerkan. Jadi, kami pergi ke bilik pameran Proton untuk mendapatkan foto galeri penuh bagi varian Executive.

Varian Executive, yang berharga di bawah RM60k, tidak ditampilkan dengan beberapa ciri yang disebutkan di atas. Ia tidak diberikan unit utama “Hi Proton” (sekadar unit utama panel sentuh 2DIN), kamera undur dan juga tempat duduk kulit. Ruang bahagian tengah juga telah dikemaskini (dengan sentuhan perak) tetapi bukan dengan kemasan piano black. Manakala dua USB port/soket 12V serta panel meter baharu adalah standard untuk kedua-dua varian.

Seperti sebelum ini, varian Executive juga tidak dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus belakang, cermin sisi boleh laras elektrikal, skirt sisi, spoiler belakang, bumbung hitam, stereng balutan kulit, butang kawalan pada stereng, kawalan kelajuan, cermin vanity pemandu (hanya untuk penumpang hadapan sahaja) dan perehat tangan untuk tempat duduk hadapan. Juga roda stereng 16-inci bagi Executive tidak diberikan kemasan dua-tona.

Walau pun tidak banyak dilengkapi dengan ciri seperti Premium, namun perbezaan harga sebanyak RM7,000, atau pun RM100 sebulan untuk pinjaman selama tujuh-tahun, ataupun RM800 sebulan untuk pembiayaan sembilan tahun – menjadikannya berbaloi untuk anda yang tidak memerlukan ciri seperti varian tertinggi tapi inginkan MPV yang mempunyai kapasiti tujuh tempat duduk.

GALERI: Proton Exora RC Executive 2019

GALERI: Proton Exora RC Premium 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required