Banyak perkara telah diperkatakan tentang Proton Iriz dan Persona facelift yang baru dilancarkan. Daripada pengalaman memandu, hinggalah yang paling menjadi perhatian, pengurangan harganya. Walaubagaimanapun, temuramah rakan sekerja kami dengan ketua pereka Proton, Azlan Othman telah menjelaskan lagi berkenaan perubahan rekaan antara dua kereta ini, dan keputusan di sebaliknya.

Menurut Azlan, banyak kerja telah dilakukan untuk meningkatkan persamaan di antara dua model ini, dengan barangan seperti bonet serta lampu jenis reflector sekarang adalah sama untuk kedua-duanya. Sebelum ini iriz menggunakan lampu jenis projector. Ini memberikan manfaat tambahan dalam mengurangkan kos, yang berkemungkinan besar adalah antara sebab kenapa Proton dapat mengurangkan harga Iriz untuk dijual bermula pada RM37,000.

Apabila ditanya kenapa kereta ini tidak datang dengan barangan seperti lampu LED seperti Perodua Myvi, Azlan berkata, “Ramai orang yang mengatakan kami perlu memperbaiki perkara asas terlebih dahulu. Apa yang kami tahu daripada laporan dan sumber lain, lampu itu bukanlah masalah utama model sebelum ini, dan kami perlu jadi praktikal. Kos kenderaan adalah sesuatu yang lebih penting untuk diambil kira.”

“Jadi, ini adalah antara keputusan yang kami buat, untuk menyamakan apa yang boleh, dan menjadikan beberapa bahagian lain berbeza seboleh mungkin. Akhirnya nanti, kami mahu memberikan nilai yang baik kepada pelanggan dan tidak boleh sekadar memberikan penampilan yang cantik. Nilai adalah sangat penting,” tambah Azlan.

Walaupun begitu, Proton masih berusaha sebaik mungkin untuk membezakan dua model ini pada gayanya, dengan gril, bampar, roda serta pilihan warna yang berlainan. Azlan memberitahu, walaupun syarikat berjaya mengurangkan harga kenderaan melalui perkongsian alat ganti, mereka masih perlu mengekalkan personaliti masing-masing.

“Seperti yang saya katakan tadi, ia adalah berkenaan memberi nilai terbaik kepada pelanggan. Tetapi pada masa sama, setiap karekter perlu jelas antara dua model ini. Kami telah menggayakannya seperti itu, supaya ia nampak berbeza,” kata Azlan.

Iriz dan Persona facelift ini turut menerima pelbagai peningkatan lain dari aspek rupa serta mekanikalnya, termasuk sistem infotainmen baru dengan fungsi kawalan suara “Hi Proton”. Kuasa penggerak datang daripada enjin 1.6 liter VVT 109 PS yang dipadankan dengan sama ada kotak gear manual lima kelajuan atau CVT, dan Iriz turut mendapat pilihan enjin 1.3 liter 95 PS. Harga adalah antara RM36,700 hingga RM50,700 untuk Iriz dan RM42,600 hingga RM54,600 untuk Persona.

GALERI: Proton Iriz Premium 1.6L CVT 2019

GALERI:Proton Persona facelift 2019 1.6 CVT Premium