Lebih kurang seminggu selepas Proton mendedahkan Iriz facelift 2019, kami sekali lagi di jemput ke Pusat Kecermelangan Proton (CoE) Shah Alam bagi melihat sendiri versi sedannya yang turut telah dikemaskini iaitu Persona facelift 2019. Seperti biasa pada acara pra-tonton kepada media sebegini, kami turut diberi peluang untuk memandu uji model berkenaan di litar ujian Proton.

Persona facelift ini disahkan akan dilancarkan pada bulan ini, dan anda sudahpun boleh menempahnya dengan yuran tempahan hanya RM9.99 (sehingga 22 Mac ini sahaja). Seperti model sedia ada, ia akan ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard 1.6 MT, Standard 1.6 CVT, Executive 1.6 dan 1.6 Premium.

Sebelum itu, kita berkenalan dahulu dengan kereta ini. Ya, seperti anda lihat dan seperti juga status facelift, rupa asas Persona ini masih lagi kelihatan seperti Persona – sedan dengan rupa sedikit pelik. Seperti yang diketahui, Persona dihasilkan dari platform yang sama dengan Iriz, tetapi kenapa rupanya tidak boleh jadi seperti sedan sebenar seperti Honda City yang dihasilkan dari hatchback Honda Jazz? Adakah ini salah pereka?

Untuk pengetahuan anda, bagi mendapatkan rupa sebuah sedan normal, Honda City sebenarnya direka dengan jarak roda 70 mm lebih panjang dan juga 47 mm lebih rendah dari Jazz. Manakala untuk Persona dan Iriz, jarak rodanya adalah sama iaitu 2,555 mm serta ketinggian yang hampir sama antara keduanya – ini yang menyebabkan ruang roda Persona kelihatan sangat kecil dan tidak sepadan dengan badannya.

Mengapa Honda boleh melakukan perubahan seperti itu kepada City dan Proton tidak membuat perkara yang sama terhadap Persona? Ini semua bergantung kepada skala ekonomi – Honda tidak mempunyai masalah untuk mengeluarkan dana yang lebih untuk R&D dan membuat lebih banyak komponen berbeza antara City dan Jazz kerana model ini dijual pada pasaran lebih besar termasuk China.

Berbanding Persona yang buat masa ini hanya dijual di Malaysia, bajet R&D tentulah terhad begitu juga untuk membuat lebih banyak komponen berlainan antara sedan dan hatchback memerlukan kos lebih tinggi, lebih-lebih lagi Persona wajib dijual jauh lebih murah dari City di Malaysia.

Walau bagaimanapun, studio rekaan Proton Shah Alam yang kini sudah menjadi sebahagian dari rangkaian studio Geely Design dari seluruh dunia tidak berputus asa bagi menjadikan Persona ini sebuah sedan ‘senormal’ mungkin, dalam masa yang sama menyeimbangkan kos-kos bagi membolehkan model ini mengekalkan harganya yang kompetitif.

Lampu halogen reflektor dari model sedia ada terus digunakan untuk versi 2019 ini. Gril pula mendapat sentuhan baharu dengan elemen busur panah krom yang bersambung sehingga ke ‘kening’, manakala corak tradisi ukiran melayu ‘inifinite weave‘ lebih menyerlah dari Iriz.

Bampar hadapan model ini juga telah dirombak sepenuhnya. Liang udara tengah direka lebih kecil bagi memberi laluan kepada kemasan tambahan di bawah gril atas. Manakala perumah lampu kabus diganti dengan kemasan liang udara. Tiada lampu kabus diberikan pada model kemas kini ini, tetapi Proton menggantikannya dengan lampu nyalaan siang LED yang ‘nampak lebih mahal’.

Muka Persona ini sengaja direka kurang sporty berbanding Iriz facelift, kerana rata-rata mereka yang memilih model sedan ini adalah dari golongan berkeluarga. Tetapi sama ada anda perasan atau tidak, Persona facelift ini mempunyai muka yang lebih matang bukan?

Tiada perubahan pada bahagian sisi selain dari rim aloi baharu, masih kekal dengan saiz 15-inci dibaluti tayar Silverstone Kruizer 185/55R15. Pada bahagian belakang, semua varian kini hadir standard dengan spoiler but halus berwarna hitam. Kemasan krom di atas plat nombor pendaftaran kini tidak lagi berwarna krom, sebaliknya diberikan warna badan, dan disertakan dengan perkataan ‘PROTON’ seperti X70 dan juga Suprima S.

Kemasan diffuser pada bahagian bawah bampar belakang turut diubah. Rekaan baharu ini kelihatan kurang bersegi, lebih nipis, labuh hingga ke bawah, serta diberikan satu jalur krom merentanginya. Secara keseluruhan, perubahan yang diberikan ini walaupun hanya bersifat perubahan warna dan susun atur tanpa mengusik dimensi asal, ia telah menjadikan belakang kereta ini kelihatan lebih lebar.

Masuk ke dalam kabin, konsep warna dua tona hitam-kelabu juga masih kekal, berbanding Iriz yang mengenakan warna hitam sepenuhnya. Seperti Iriz, Persona juga menerima paparan meter baharu menampilkan nombor-nombor pada meter utama yang lebih jelas dengan nyalaan lampu berwarna putih. Bahagian ini memang benar-benar segar membuatkan anda rasa Persona ini seperti kereta yang lebih mahal, terutamanya bagi varian Executive keatas yang diberikan skrin pelbagai info TFT berwarna di bahagian tengah.

Juga untuk varian pertengahan dan tertinggi, tempat duduknya kini dibalut dengan gabungan kulit dan fabrik di mana pada bahagian fabrik tersebut hadir dengan elemen corak timbul serta lebih selesa ketika anda duduk.

Ciri lain yang turut hadir standard pada model Executive dan Premium ini termasuk sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, stereng pelbagai fungsi, skrin sesentuh sistem infotaimen 7-inci, port USB di hadapan dan belakang serta empat pembesar suara. Manakala hanya model Premium diberikan stereng, tombol gear bersama gaiter balutan kulit, cermin pandang belakang dengan bingkai lutsinar, dan juga lampu hadapan automatik.

Dan tentu sekali, sistem infotaimen pada model Premium ini adalah ciri yang paling menonjol sekali – di lengkapi dengan sistem arahan suara ‘Hi,Proton’ lengkap dengan kad sim membolehkan ia membekalkan internet 4G.

Saya secara peribadi agak tertarik dengan sistem infotaimen ini kerana ia adalah sistem terbaik diberikan dalam kelasnya. Saya tidak berminat dengan kawalan menggunakan suara kerana agak janggal sebenarnya untuk bercakap dengan kereta, tetapi saya suka akan kebolehan fungsi-fungsi yang ditawarkan.

Disebabkan ia dihubungkan dengan internet, sistem ini bukan sahaja dapat memberitahu maklumat-maklumat seperti suhu diluar, tetapi ia juga dihubungkan kepada maklumat semasa lain seperti ramalan cuaca. Sistem navigasinya juga berfungsi secara online, dan anda boleh mencari destinasi yang ingin dituju semudah menggunakan aplikasi Waze.

Untuk penggemar muzik, anda tidak perlu menggunakan aplikasi Spotify untuk dihubungkan kepada sistem infotaimen ini kerana hubungan cloud menggunakan internet 4G padanya menawarkan pilihan streaming muzik tanpa had. Pendek kata, sistem infotainmen binaan ECARX ini bukan sesuatu yang boleh dibeli di kedai-kedai aksesori, membuatkan ia sebagai satu ciri ‘berat’ yang diambil kira untuk memilih varian 1.6L Premium.

Walau bagaimanapun, sistem ‘Hi,Proton’ pada Persona ini tidak dihubungkan pada sistem elektronik kereta itu sendiri seperti pada X70, bermaksud kawalan suhu penghawa dingin atau kawalan tingkap berkuasa tidak boleh dioeprasikan dengan arahan suara.

Ok, cukup untuk rebiu bahagian-bahagian yang boleh diulas ketika ia tidak bergerak, bagaimana pula prestasi pemanduannya? Seperti yang disebut pada awal tadi, ini adalah sesi uji pandu ringkas untuk tanggapan awal kami terhadap sedan ini. Litar ujian ini juga hanyalah litar oval seperti litar ‘Daytona’ dan tidak banyak yang boleh kami ulas.

Ketika Persona muncul pada tahun 2016 dahulu, ia sebenarnya telah banyak pun memperhalusi banyak ciri dari Iriz. Jadi menerusi model sebelum ini juga, saya sendiri sudah berpuas hati dengan respon kotak gear CVT yang mana sebelum itu transmisi yang sama pada Iriz mempunyai respon yang lembab serta mengaum tidak tentu hala.

Untuk pengetahuan anda, di China ada juga model-model Geely yang menggunakan kotak gear CVT Punch tersebut. Jadi pada model kemaskini ini Proton sekali lagi menala kotak gear berkenaan dengan input dari Geely serta pengetahuan tambahan dari Proton sendiri, menjadikan transmisi tersebut lebih baik dari sebelum ini.

Ketika anda cruising dalam kelajuan malar dan tiba-tiba mahukan pecutan, sebaik sahaja pedal pendikit ditekan agresif, gear terus akan diturunkan dan enjin akan berputar pada kelajuan yang sepatutnya tanpa rasa janggal. Talaan baharu ini juga menjadikan CVT Punch berkenaan beroperasi dengan lebih senyap.

Enjin 1.6 liter VVT empat-silinder petrol masih lagi menghuni perut Persona ini dan masih menjana 107 hp pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,000 rpm. Menurut Proton, enjin ini juga telah menerima sedikit talaan baharu dan digandingkan dengan talaan semula pada CVT, ia kini beroperasi dengan penjimatan bahan api sekitar 3% hingga 4%.

Aspek pengendalian juga tidak diusik oleh Proton, dan berdasarkan pandu uji kami pada model sebelumnya, Persona sememangnya mempunyai karekter pengendalian antara yang terbaik dalam kelasnya.

Pada sesi kali ini juga, kami diberi peluang untuk ‘taxi ride‘ dalam Persona yang dipandu oleh pemandu uji Proton untuk mendemonstrasikan sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC). Kereta berkenaan dipandu pada kelajuan 100 km/h hingga 110 km/h kemudian membuat tukaran arah drastik tanpa memijak brek, dan ia kekal stabil dan boleh dikawal.

Malah sekiranya sistem ESC dimatikan pun, Persona ini masih boleh dikawal untuk pemanduan sebegitu cuma ia agak liar. Mengikut pengalaman saya sendiri, ada model jenama Jepun dalam kelas sama yang pernah saya uji akan berpusing 360 darjah jika melakukan pergerakan sedemikian walaupun dalam kelajuan sekitar 60 km/j.

Secara keseluruhan, Proton mendakwa bahawa mereka telah melakukan sebanyak 303 peingkatan baharu terhadap Persona ini, ia kurang dari Iriz yang menerima sebanyak 367 peningkatan – ini kerana seperti yang saya katakan tadi, Persona sememangnya adalah versi Iriz yang diperhalusi sejak dari awal lagi.

Harga untuk kesemua model masih lagi belum disahkan, dan bakal diumumkan pada pelancarannya nanti. Kita sendiri boleh membuat andaian kerana Persona masih ditawarkan dalam varian yang sama, dan harganya mungkin tidak banyak berbeza dari model sedia ada. Untuk perincian lain berkenaan spesifikasi setiap varian pula boleh anda rujuk pada artikel kami sebelum ini PADA PAUTAN INI.

GALERI:Proton Persona facelift 2019 1.6 CVT Premium

GALERI:Proton Persona facelift 2019 1.6 CVT Executive