Volkswagen Beetle Type 1 1.6L – kumbang Turbo!

Volkswagen Beetle Type 1 1.6L – kumbang Turbo!

Dalam banyak-banyak Volkswagen Beetle Type 1 yang hadir ke perhimpunan pertama Lowlife VW Malaya di SS15 Subang Jaya sekitar dua bulan lalu, Beetle ini nyata lain dari yang lain dan ia menarik perhatian penulis secara peribadi – penutup ruang enjin di belakang bukan sahaja tidak dipasang, malah sebuah pengecas turbo yang ‘bertenggek’ di atas enjinnya seolah-olah memberi amaran “jangan nak suka-suka kacau kalau tak nak menyesal.”

Setelah bertanya dengan rakan-rakan penulis yang turut menyertai perhimpunan ini, akhirnya pemilik Beetle turbo berkenaan berjaya dikesan, dan dia memberikan keizinan kepada kami untuk memaparkan jentera berkenaan dalam satu artikel khas.

Volkswagen Beetle berwarna Gun Metal ini adalah milik Amirul Hafiz Anwar yang kini menetap di Shah Alam. Menurutnya, kereta ini diterima dari bapa mertuanya, setelah tiada siapa mahu menggunakan Beetle tersebut. Selepas itu, ia mula diubahsuai dalam berberapa peringkat oleh Amirul sendiri.

Untuk peringkat pertama, enjin 1.6 liter dengan kod AS pada perut kereta ini terus dipadankan dengan unit supercharger dua tahun lalu, dengan larasan tekanan boost pada takat 0.8 bar. Kemudian, kit supercharger tersebut dijual bagi membolehkan Amirul bereksperimen pula dengan sistem pengecas turbo.

Volkswagen Beetle Type 1 1.6L – kumbang Turbo!

Buat permulaan, Amirul membina sendiri paip-paip dan juga extractor untuk sistem turbo tersebut – ya, secara D.I.Y – dengan konfigurasi draw through tanpa intercooler, bermaksud karburator diletak sebelum pengecas turbo, dan udara yang disedut turbin sudah pun lengkap dengan campuran bahan api sebelum masuk ke kepala silinder.

Tanpa mengusik sebarang komponen dalaman, pengecas turbo Toyota CT-9 yang diambil dari enjin 4E-FTE yang biasanya boleh dijumpai pada badan Starlet Turbo EP82 dan EP92, serta dikawal oleh wastegate 38 mm tersebut menghasil boost setinggi 0.7 bar untuk mengasak kebuk pembakaran.

Amirul menggunakan karburator Stromberg yang diambil dari enjin Red Block Volvo 244 untuk setup Beetle turbo miliknya ini. Kenapa Stromberg, tidak karburator berprestasi tinggi lain seperti Solex atau Weber? Menurut Amirul, walaupun hardware dibina olehnya sendiri, talaan karburator dilakukan oleh pomen Axled Garage, dan dia sangat mahir dengan karburator Stromberg tersebut.

Dengan ubahsuai berkenaan, Amirul pernah melakukan ujian dyno dengan boost 0.4, dan dia berjaya memperolehi 75 hp pada roda belakang atau lebih sekali ganda lebih dari kuasa asal!

Namun sudah menjadi lumrah kaki modifikasi, ubahsuai terhadap kereta sememangnya tidak pernah habis. Amirul kemudian membaraikan enjin tersebut untuk kerja-kerja ubahsuai yang lebih efisien. Omboh-omboh asal telah ditukar kepada unit yang menghasilkan mampatan lebih tinggi.

Kepala silinder enjin tersebut dilakukan proses port & polish bagi menghasilkan aliran udara yang lebih efektif, bersama pemadanan aci sesondol (camshaft) dengan durasi bukaan injap lebih lama. Untuk spesifikasi terkini ini, Amirul belum lagi berkesempatan untuk melakukan ujian dyno. Tetapi dia berharap untuk mendapat sekitar 100 hingga 110 whp.

Bagi menghantar kuasa dari enjin ke permukaan jalan, khidmat transmisi manual empat-kelajuan asal masih digunakan. Tetapi untuk memastikan respon dan aliran kuasa ke roda belakang yang lebih baik, roda tenaga (flywheel) asal telah diringankan, dan digandingkan dengan sistem klac berprestasi tinggi Kennedy Stage 2.

Suspensi Beetle turbo ini masih lagi menggunakan komponen-komponen standard. Amirul hanya melakukan berberapa pengubahsuaian pada kelengkapan asal berkenaan bagi membolehkan badan kereta lebih rapat ke permukaan bumi, seterusnya membuatkan ia kelihatan seperti seekor biawak yang sedang merayap ketika bergerak.

Untuk melengkapkan rupanya, Amirul memadankan rim SSR mesh di hadapan dan replika Work Meister di belakang – kedua-dua set berkenaan berukuran 15-inci dengan lebar 8 jj, dibaluti tayar 185/60R15. Tentu ramai yang tertanya-tanya, apa PCD rim-rim tersebut bukan? Ia masih lagi PCD ‘normal’ 114.3, tetapi Amirul telah melakukan pengubahsuai pada hub roda.

Di hadapan, set brek asal telah digantikan dengan sistem penuh dari Proton Wira, dan ia juga telah dilengkapi dengan spacer converter yang mengubah PCD 100 Wira kepada 114.3. Manakala di belakang, ia masih menggunakan brek dram asal Beetle, tetapi lubang knuckle telah ditebuk baharu dengan PCD 114.3.

Pada bahagian dalaman, identiti asal Beetle masih dikekal. Tetapi bagi menyesuaikan imej luaran dan juga kuasa liar yang dihasilkan, Amirul menukar ‘stereng kapal’ asal kepada roda stereng perlumbaan OMP tiga jejari.

Suis penghidup enjin dan suis-suis ala jet pejuang diletakkan di tengah papan pemuka, bersama takometer, meter suhu enjin dan tekanan minyak pelincir berada di bawahnya. Manakala meter boost turbo diletak pada bahagian atas papan pemuka, yang bukan sahaja memberikan bacaan kepada pemandu, malah ia turut memberikan satu lagi amaran bahawa ini bukan Beetle pakcik-pakcik.

Kami sedang mencari lebih lagi kereta-kereta custom dan ubahsuai untuk dipaparkan di sini. Jika anda mempunyai kereta menarik untuk ditampilkan, jangan segan silu untuk emailkan butiran lanjut kepada [email protected]. Kami akan menghubungi anda semula selepas itu

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required