Sabtu lalu, 20 April 2019 bertempat di tempat letak kereta bertingkat SS15 Subang, komuniti pemilik Volkswagen klasik dengan tema ubahsuai rendah iaitu Lowlife VW Malaya telah mengadakan perhimpunan pertama mereka. Acara yang dinamakan sebagai Lowlife Republic Vol.1 ini bukan sahaja disertai oleh ahli-ahli sekitar Lembah Klang, malah turut disertai oleh pemilik-pemilik dari seluruh semenanjung Malaysia seperti Johor Bahru dan Kota Bahru.

Perhimpunan kali pertama ini bermula pada jam 5 petang hari berkenaan, sehingga 9.30 malam hari yang sama. Exco Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, YB Khairuddin Othman juga hadir untuk memeriahkan acara ini.

Seperti yang anda boleh lihat pada gambar, bukan sahaja Beetle Type 1, malah model lain seperti Type 2 Combi Van dan Pick-up, Golf MkI, Polo MkI, Karmann Ghia, Type 182, Squareback dan pelbagai lagi model rare telah ‘keluar dari sarang’ dan berkumpul di sini. Pelbagai ubahsuai ditampilkan dengan tema utamanya adalah ‘custom lowered‘, sehinggakan ada yang tidak berjaya sampai ke tapak acara ditingkat paling atas kerana terlalu rendah.

Menurut penganjur Lowlife Republic Vol.1 saudara Khairul Rizal Kheli Kuzzaman, sekitar 130 buah kereta telah berkumpul pada acara ini, yang mana sekitar 80 buah daripadanya adalah VW rendah, dan selebihnya adalah VW klasik biasa. Acara ini tidak hanya setakat berkumpul kerana selepas itu sesi cruise ride dan tunnel attack diadakan disekitar Kuala Lumpur.

Selain dari mendapat tajaan terus dari Kerajaan Negeri Selangor, Lowlife Republic Vol.1 turut mendapat sokongan dari pihak lain seperti, Heritage Parts Centre UK dan Vintage Speed Taiwan.