Teknologi RFID di Malaysia; dan manfaat-manfaat lain yang mampu diberikan kepada pengguna

September lalu, Touch ‘n Go (TnG) telah memulakan program perintis percubaan pembayaran tol secara elektronik menggunakan teknologi (RFID). Di dalam fasa percubaan ini, lebih 400,000 orang awam telah menjadi perintis di Lembah Kelang, Johor dan Pulau Pinang.

Pada masa kini, pengguna yang berminat boleh datang terus tanpa perlu membuat temujanji ke lebih 50 pusat pemasangan TnG untuk memasang RFID, dan ini telah menyaksikan penambahan perintis RFID. Setelah proses pendaftaran di pusat pemasangan, kenderaan anda akan dipasang dengan pelekat tag khas di bahagian luar kenderaan (biasanya pada lampu hadapan).

Tag ini sebenarnya menyimpan informasi secara elektronik dalam cip bersaiz kecil, dan ia adalah unik untuk setiap kenderaan. Ia mempunyai fungsi sama seperti bayaran elektronik menggunakan kad TnG atau SmartTAG di plaza tol. Tag ini juga dipautkan dengan TnG eWallet.

Tag ini berbeza dengan kod bar yang biasanya diimbas sewaktu kita membeli barang di kedai biasa. Ia tidak perlu berada dalam pandangan pengimbas dan beroperasi menggunakan gelombang radio. Tag RFID akan menghantar informasi yang diperlukan kepada pengimbas RFID, dan pertukaran informasi berlaku dengan cara kod.

Teknologi RFID di Malaysia; dan manfaat-manfaat lain yang mampu diberikan kepada pengguna

Di bawah program percubaan TnG RFID ini, apabila kereta anda melalui lorong RFID, pengimbas akan mengeluarkan isyarat kepada tag RFID melalui antena. Tag tersebut kemudiannya memberikan informasi yang sepatutnya seperti baki semasa, dan jumlah bayaran tol yang akan ditolak daripada akaun elektronik pengguna (seperti TnG eWallet) yang dipautkan kepada tag RFID.

Kenapa RFID?

RFID ini bukanlah satu teknologi baharu. Ia sudah pun berada dalam pelbagai industri seperti pengeluaran, di mana ia boleh digunakan untuk menguruskan barang dan inventori, serta juga pengenalan data dalam dokumen perjalanan seperti pasport dan bagasi yang diuruskan oleh syarikat penerbangan.

Malah, kebanyakan daripada kita sudah pun menggunakan RFID ini tanpa disedari. Selain kad kredit yang kita boleh lalukan sahaja pada pengimbas untuk membayar, teknologi ini juga boleh digunakan pada kad akses pejabat atau kenderaan untuk kawasan perumahan.

Penggunaan sistem RFID secara meluas dalam pelbagai platform bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sistem ini menawarkan aspek isyarat yang stabil, dengan waktu maklum balas yang pantas, dan pada masa yang sama ia juga adalah kos efektif untuk digunakan. Jarak pengimbasan RFID boleh meliputi kawasan yang lebih luas, tetapi ia masih bergantung kepada sistem serta keperluannya.

RFID aktif atau pasif?

Secara asasnya, ada dua jenis sistem RFID iaitu aktif dan pasif. Dalam sistem aktif, operasi tag dibantu dengan bateri dan mempunyai kuasa sendiri, di mana tag itu boleh menyampaikan semula isyarat secara aktif kepada pengimbas, sekaligus meningkatkan isyarat secara cekap (hampir seperti SmartTAG, tapi ia menggunakan sistem RFID-inframerah).

Walaupun tag aktif ini dapat menghantar isyarat lebih jauh dan lebih cekap berbanding tag pasif, kosnya adalah lebih tinggi dan sistem itu akan menghadapi masalah operasi yang sama seperti SmartTAG, seperti kegagalan bateri, yang menyebabkan peranti itu tidak boleh beroperasi dan tag tidak boleh dibaca.

Disebabkan itu, tag RFID pasif seperti yang digunakan oleh TnG tidak mempunyai kuasanya sendiri dan perlu bekerjasama dengan pengimbas aktif di plaza tol yang menghantar isyarat elektromagnetik dan membaca informasi daripada tag tersebut.

Walaupun tag pasif tidak berkuasa seperti tag aktif, unit yang digunakan oleh TNG adalah tag pelekat bergred ETC, yang mempunyai kemampuan untuk dikesan pada kelajuan tinggi apabila digunakan di ‘multi-lane free flow‘ (MLFF) yang akan menjadikan plaza tol bebas lorong.

Teknologi RFID di Malaysia; dan manfaat-manfaat lain yang mampu diberikan kepada pengguna

RFID, satu penyelesaian kepada kesesakan di plaza tol?

Dalam zaman teknologi moden ini, plaza tol kita sangat memerlukan penambahbaikan taraf dan kaedah RFID ini diharap dapat membantu. Pelaksanaan tag RFID yang dipautkan kepada TNG eWallet sebagai salah satu cara pembayaran tol dapat membantu pengguna jalan raya untuk membuat bayaran tanpa perlu berhenti di plaza tol dan ini berpotensi mengurangkan kesesakan trafik dan waktu perjalanan.

Tag pasif boleh dikategorikan dalam tiga jenis frekuensi iaitu rendah (LF), tinggi (HF) dan ultra-tinggi (UHF). Tag LF dan HF adalah sesuai untuk kegunaan komunikasi jarak dekat (NFC) dan tidak sesuai untuk kegunaan automotif. Antara kegunaannya ialah untuk pengenalan haiwan, akses premis (LF) dan kad kredit pintar (HF), manakala sistem pasif yang digunakan pada TnG adalah jenis UHF.

Dari segi kelajuan kenderaan, sistem aktif memberi potensi kelajuan yang lebih tinggi. Namun begitu, fungsi ini tidak sesuai jika melihat kepada keadaan plaza tol kita sekarang, sehinggalah sistem Multi-Lane Free Flow (MLFF) yang berfungsi tanpa palang diperkenalkan di plaza tol.

Secara umumnya, tag UHF yang beroperasi pada frekuensi antara 919 hingga 923 MHz, bergantung kepada sesuatu sistem – mempunyai antena berukuran sekitar 16 sm lebar yang dibuat daripada gabungan bahan seperti aluminium dan tembaga yang diserapkan kepada substrat (lapisan), seperti tag TnG RFID ini.

Teknologi RFID di Malaysia; dan manfaat-manfaat lain yang mampu diberikan kepada pengguna

Kelebihan utama tag UHF seperti ini adalah ia murah untuk dihasilkan, senang diganti dan anda tidak perlu menukar bateri padanya. Dari aspek kos pula, sistem RFID aktif memerlukan perbelanjaan sekitar lima kali ganda berbanding tag pasif dan ini mungkin sesuatu yang sukar diterima oleh pengguna.

Secara keseluruhannya, penggunaan RFID untuk kutipan tol menjanjikan pengalaman perjalanan yang lebih baik bagi pengguna. Selain lebih mudah (bukan sahaja merujuk kepada penggunaan tanpa sebarang sentuhan), pautannya dengan TNG eWallet juga memudahkan pengguna memeriksa bayaran dan menguruskan tambahan kredit (reload).

Potensi RFID selain di tol

RFID juga dilihat mempunyai potensi untuk digunakan bagi pembayaran parkir. Tag TnG RFID boleh digunakan sebagai kunci digital dan apabila pengimbas dapat membaca informasi pada cip tersebut, ia dapat membenarkan kenderaan masuk dan keluar, manakala bayaran akan ditolak daripada eWallet.

Kelebihan paling jelas penggunaan RFID dalam pengurusan parkir adalah kenderaan boleh masuk dan keluar daripada premis tanpa sebarang hubungan dengan manusia, urus niaga tanpa tunai dan tidak menggunakan tiket fizikal. Sistem RFID yang sudah diuji selama lapan bulan di plaza tol ini mempunyai potensi untuk diperluaskan kepada sektor parkir.

Kegunaan runcit – mampukah jadi realiti?

Terdapat juga kemungkinan sistem RFID ini boleh digunakan sebagai satu lagi cara bayaran urus niaga runcit seperti di stesen minyak dan pandu lalu (drive-through). Cuba anda bayangkan, jika anda melalui kedai kopi atau kedai makanan segera yang menyediakan perkhidmatan pandu laju, bayaran tidak lagi perlu dibuat secara fizikal dan ia ditolak secara automatik daripada e-Wallet.

Pada masa hadapan, dan bagi mengurangkan kebergantungan kepada kad TnG, urusniaga runcit luar kedai boleh dilakukan dengan penggunaan NFC pada telefon pintar, dan urusan bayaran dilakukan melalui e-Wallet.

Mampukah TnG dan pihak berkuasa mendapatkan lebih lagi manfaat daripada RFID untuk pengguna jalan raya?

Dalam pelbagai industri, bermacam cara penggunaan baharu yang inovatif untuk RFID sedang dibangunkan. Apabila ia semakin berkembang, pengenalan unik yang disediakan oleh tag RFID juga mempunyai potensi untuk digunakan sebagai pengenalan khas kenderaan, dengan informasi penting seperti status pemeriksaan kenderaan, cukai jalan ataupun pembaharuan insurans.

Inisiatif terbaharu TnG dengan kerjasama pihak berkuasa bagi memajukan lebuh raya di Malaysia dengan sistem RFID mempunyai potensi untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih lancar kepada pengguna jalan raya.

Selaras dengan hala tuju negara untuk mengalakkan kaedah pembayaran tanpa tunai, Touch ‘n Go seharusnya menggabungkan pelbagai proses pembayaran lain (selain tol) dengan menggunakan RFID yang dipautkan kepada TNG eWallet. Langkah ini sekaligus dapat menyediakan sistem yang bersepadu dan mudah untuk membuat bayaran yang berkaitan dengan kenderaan bagi pengguna.

Selanjutnya berkenaan RFID di sini.