Dua model SUV Peugeot iaitu 3008 dan 5008 telah berada sekitar 1-2 tahun dalam pasaran Malaysia, namun ia sebelum ini adalah model yang diimport sepenuhnya (CBU). Hari ini, pengedar jenama Perancis itu di sini, Nasim Sdn Bhd kini telah membawa model yang dipasang secara tempatan (CKD) Peugeot 3008 Plus dan 5008 Plus secara rasmi pada pasaran Malaysia.
Kedua-dua model ini dipasang oleh kilang Naza Automotive Manufacturing (NAM) yang juga bertindak sebagai hab pemasangan Peugeot di Asia Tenggara menerusi kerjasama yang telah di tandatangani antara Naza Group dan Groupe PSA. Bulan lalu, stok Peugeot 3008 THP dari kilang yang terletak di Gurun, Kedah itu telah pun mula dieksport ke Filipina.
Untuk model CKD 3008 Plus dan 5008 Plus ini, kedua-duanya ditawarkan dengan dua varian iaitu Active dan Allure. Ia juga menampilkan rupa yang sama seperti sebelum ini di mana 3008 hadir dengan konfigurasi lima tempat duduk manakala 5008 diberikan tujuh-tempat duduk.
Peugeot 3008 dan 5008 untuk semua varian hanya hadir dengan satu pilihan janakuasa iaitu enjin 1.6 liter empat-silinder petrol THP (Turbo High Pressure) berkuasa 165 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,400 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan Quickshift bersama pedal penukar gear, dan hanya memacu roda hadapan.
Gandingan ini membolehkan kedua-dua model berkenaan memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 8.9 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 205 km/j. Menurut Peugeot lagi, penggunaan bahan api untuk kedua-dua model ini juga sama iaitu 7L/100 km berdasarkan ujian NEDC. Pemandu turut diberikan lima mod pemanduan menerusi sistem Advanced Grip Control.
Bahagian luaran, kedua-duanya turut menerima kelengkapan yang sama. Varian asas Active diberikan lampu hadapan halogen automatik dengan lampu isyarat membelok LED sequential, lampu belakang dengan grafik LED “cakaran singa”, lampu kabus hadapan dan belakang, pengelap cermin automatik, penderia parkir belakang serta kamera undur.
SUV 3008 hadir standard dengan rim aloi 18-inci “Detroit”, manakala 5008 pula diberikan rim 18-inci “Los Angeles”. Dengan saiz rim yang sama, kedua-duanya juga diberikan tayar yang sama iaitu 255/55R18.
Masuk ke kabin, 3008 dan 500b menerima Peugeot i-Cockpit yang terdiri dari paparan meter digital dengan skrin 12.3-inci dan juga skrin sesentuh utama bersaiz 8-inci. Untuk sistem infotainmen, skrin utama berkenaan turut dilengkapi sokongan Apple CarPlay dan sistem audio 3D Arkamys.
Perincian lain yang turut diterapkan pada semua SUV ini adalah sistem pendingin hawa dua-zon dengan liang untuk kabin belakang, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, upholsteri fabrik berwarna hitam, tempat duduk hadapan larasan berkuasa lapan-hala dengan memori (hanya enam-hala tanpa memori untuk penumpang), cruise control dan pengehad kelajuan.
Untuk keselamatan pula, SUV-SUV Perancis ini hadir standard dengan enam beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofik, sistem pemantau tekanan tayar, kawalan menurun bukit, bantuan mula mendaki, sistem brek ABS, EBD dab BA, serta sistem-sistem bantuan pemanduan aktif seperti ESP, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC) dan Anti-Skid Regulation (ASR).
Untuk membezakan spesifikasi, varian Allure ditambah dengan lampu hadapan LED-penuh, lampu kabus hadapan dan belakang LED, penderia parkir hadapan, upholsteri kulit hitam “Claudio”, lampu suasana kabin dan bukaan pintu tailgate belakang tanpa sentuhan tangan. Baru untuk model Allure CKD ini adalah bumbung suria panaromik berkuasa.
Model tertinggi ini juga diberikan sistem bantuan pemandua seperti Bantuan Kekal Lorong, Amaran Perhatian Pemandu, Sistem Informasi Had Laju, Pemantau Titik Buta, sistem navigasi dalam sistem infotainmen, dan cermin pandang belakang dengan fungsi auto-dimming.
Kedua-dua model ditawarkan dalam empat warna iaitu Nera Black, Pearl White, Amazonite Grey dan Aster Grey. Namun hanya 3008 diberikan pilihan warna Metallic Copper, manakala hanya 5008 ditawarkan dengan warna Emerald Crystal.
Peugeot 3008 Active dijual pada harga bermula RM150,888, manakala varian Allure pula dijual pada harga RM163,888. Bagi Peugeot 5008 Active pula ia dijual pada harga bermula RM166,888 dan versi tertinggi Allure berharga RM179,888. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan ia termasuk waranti lima-tahun/120,000 km, pakej servis percuma tiga-tahun, Peugeot Assistance 24-Jam serta akses percuma ke SkyLounge Subang Skypark.
GALERI: Peugeot 3008 THP Allure 2019
GALERI: Peugeot 3008 THP Active 2019
GALERI: Peugeot 5008 THP Allure 2019
GALERI: Peugeot 5008 THP Active 2019
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.