Peugeot 5008 2018 dilancarkan secara rasmi – RM174k

Peugeot 5008 2018 dilancarkan secara rasmi – RM174k

Selepas dipertontonkan kepada umum dan dibuka untuk tempahan pada pertengahan bulan ini, Peugeot 5008 hari ini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan. Bukan lagi sebuah MPV seperti versinya yang sebelum ini, Peugeot 5008 kini lebih mirip sebagai sebuah SUV atau crossover dengan tujuh-tempat duduk (5+2).

Kali ini, hanya satu varian yang akan ditawarkan, iaitu 5008 Allure THP, dan merupakan unit yang diimport sepenuhnya (CBU). Harga jualannya ialah RM173,888 atas jalan, tidak termasuk insurans. Berbanding model 3008 Allure THP, harganya ialah RM18,000 lebih mahal.

Model baru ini masih lagi menggunakan enjin 1.6 liter THP 165 turbo empat-silinder dengan sistem Start/Stop, yang mampu menghasilkan sehingga 165 hp pada 6,000 rpm dan 240 Nm tork pada 1,400 rpm. Transmisi dibekalkan oleh Aisin dari jenis automatik enam-kelajuan, dan kuasa disalurkan ke roda hadapan. Tahap penggunaan minyak yang dinyatakan oleh pengeluar ialah 7.3 liter bagi setiap 100 km, manakala kadar pembebasan CO2 pula ialah 133 g/km.

Peugeot 5008 2018 dilancarkan secara rasmi – RM174k

Peugeot 5008 2018 ini dibina dengan dimensi seperti berikut; 4,641 mm panjang (+194 mm berbanding 3008), 1,640 mm tinggi (+16 mm) dan 1,844 mm lebar (+3 mm). Ia juga 11 cm lebih panjang daripada versinya yang terdahulu. Jarak rodanya pula adalah 2,840 mm, iaitu 165 mm lebih panjang berbanding 3008.

Untuk bahagian dalam, model ini dilengkapi dengan pendekatan rekaan Peugeot i-Cockpit. Di depan kedudukan sterengnya terdapat panel instrumen digital bersaiz 12.3-inci, yang memaparkan maklumat pemanduan seperti meter jarak perjalanan, meter kelajuan serta trip meter dan sebagainya. Manakala di bahagian tengah pula terletak satu lagi skrin sesentuh lapan-inci untuk sistem infotainmen – dengan sambungan MirrorLink, Apple CarPlay dan Android Auto.

Tempat duduk baris kedua 5008 ini boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40, dan apabila tegak, ia boleh disandar dan dilungsur ke depan dan belakang untuk mendapatkan ruang yang diperlukan. Dengan hanya satu sentuhan, tempat duduk ini boleh dilipat dan dilungsur sedikit ke hadapan untuk masuk pula ke tempat duduk baris ketiga. Ia juga boleh dilipat rata dengan pembahagian 50:50 – atau boleh cabut terus jika mahu.

Peugeot 5008 2018 dilancarkan secara rasmi – RM174k

Seperti kebanyakan crossover tujuh-tempat duduk lain, ruang simpanan apabila semua tujuh tempat duduk tegak adalah terhad, tetapi apabila baris ketiga dilipat, ia boleh memberikan ruang sebanyak 702 liter; lebih 182 liter berbanding 3008.

Apabila tempat duduk baris kedua juga dilipat, ruang yang tersedia menjadi 1,862 liter, dan anda boleh meningkatkannya lagi menjadi 1,940 liter apabila tempat duduk baris ketiga dicabut terus. Sama seperti 3008, tempat duduk penumpang hadapan juga boleh dilipat rata untuk membolehkan barang yang lebih panjang dibawa.

Kelengkapan standard yang diberikan adalah sama dengan 3008 Allure; ini termasuk lampu kabus LED, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, kemasan dalam kulit “Claudio”, papan pemuka dan trim pintu yang dibalut fabrik, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan memori, lampu dan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang malap sendiri, corong pendingin hawa baris kedua dan kamera undur.

Ia juga menampilkan perbezaan dari rekabentuk badannya yang lebih panjang serta cermin belakang yang lebih tegak berbanding 3008; bahagian lain bagaimanapun masih lagi mirip antara keduanya. Ini termasuklah lampu hadapan LED penuh dengan lampu siang LED dan lampu isyarat sequential, rim 18 inci “Los Angeles” serta lampu belakang LED dengan pencahayaan dengan motif “cakar harimau”.

Bagi ciri-ciri keselamatan pula, 5008 datang dengan enam beg udara, ABS, EBD, BA, Dynamic Stability Control (DSC), Electronic Stability Programme (ESP), Hill Assist Descent Control (HADC, dengan kelajuan 3 km/j), Hill Start Assist, Lane Departure Warning, ISOFIX pengenalan tanda jalan, pemerhati tekanan angin tayar serta pengesan jarak depan dan belakang, dan tak lupa juga ciri Advanced Grip Control.

Turut disediakan ialah lima mod pemanduan – Mud, Snow, Sand, ESP Off dan Standard – yang boleh dipilih menggunakan tombol di konsol tengah. Selebihnya, Peugeot 5008 2018 ini hadir dengan jaminan lima tahun/120,000 km serta Bantuan Peugeot 24-jam selama tiga tahun. Untuk perincian lanjut berkaitan Peugeot 5008 terbaru ini, layari juga laman CarBase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required