Toyota Vios 2005-2007

Demi memastikan tahap keselamatan pemandu dan penumpang yang lebih terjamin, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), telah mengumumkan kempen servis khas untuk beberapa model Toyota yang dijual di negara ini. Ia adalah bagi penukaran beg udara buatan Takata yang dikesan bermasalah. Malahan syarikat ini telah melakukan beberapa siri kempen yang sama sejak tahun 2014.

Menurut UMWT, untuk kali ini, model kenderaan yang terlibat dengan panggilan semula dan sesi penukaran komponen terbabit adalah buatan dari tahun 2001 hingga 2013. Ia melibatkan sebanyak 41,000 unit kenderaan Toyota dan model yang terlibat Vios yang diproduksi dari Mei 2003 hingga Ogos 2007, dan September 2007-Julai 2013, Corolla Altis (Julai 2001-Julai 2007), Camry (Jun 2002-Dis 2005) dan Yaris (Jan 2006-Ogos 2007).

Toyota Yaris 2006-2007 (kiri) & Camry 2002-2005 (kanan)

Untuk kempen terbaharu ini, pengepam beg udara yang bermasalah itu akan digantikan dengan komponen pengepam beg udara yang telah ditambahbaik. UMWT akan memaklumkan kepada semua pemilik kenderaan yang terlibat dan servis khas ini tidak akan dikenakan sebarang kos kepada pemiliknya.

Untuk informasi selanjutnya, pemilik kereta yang terlibat boleh menghubungi pusat servis Toyota yang diiktiraf atau pun menerusi talian di 1800-8-TOYOTA (869682). Selain itu, pemilik juga boleh menyemak status kereta masing-masing menerusi laman web rasmi www.toyota.com.my, selain menerusi Vehicle Identification Number (VIN) Checker.

Nasihat ikhlas daripada kami, sekiranya anda mendapati kenderaan anda terlibat dengan panggilan balik untuk kempen sebegini, jangan sesekali mengabaikannya demi keselamatan anda dan penumpang. Segeralah menghubungi pusat servis berdekatan untuk melakukan penukaran komponen yang lebih selamat.