Audi AI:Trail Quattro Concept – EV kegunaan lasak

Audi AI:Trail Quattro Concept – EV kegunaan lasak

Selepas AI:Race (juga dikenali sebagai PB18), AIcon dan AI:ME, Audi memperkenalkan satu lagi model konsep baru yang menggunakan nama AI di Frankfurt Motor Show iaitu AI:Trail Quattro. Ini adalah sebuah kenderaan yang lebih tertumpu kepada penggunaan offroad dan datang bersama pelbagai kelengkapan canggih lain.

Empat motor elektrik digunakan untuk menggerakkan kenderaan ini, dan setiap satunya diletakkan di setiap roda, sekaligus memberikan pacuan empat roda Quattro. Jumlah kuasa keseluruhan yang mampu dihasilkan adalah 429 PS (320 kW) dan 1,000 Nm tork.

Memandangkan setiap roda mempunyai sumber kuasa sendiri, kenderaan ini tidak memerlukan sebarang differential atau pengunci gandar. Sistem elektronik khas menentukan berapa banyak kuasa yang diperlukan bagi setiap roda untuk mengekalkan cengkaman dan juga stabiliti, bergantung kepada keadaan permukaan yang dilalui.

Audi AI:Trail Quattro Concept – EV kegunaan lasak

Mungkin ada yang tertanya, tidakkah timbul kerisauan bagi sebuah kenderaan elektrik memasuki kawasan terpencil? AI:Trail Quattro datang dengan bateri lithium ion yang boleh memberikan jarak gerak 400 hingga 500 km bagi keadaan jalan biasa dan offroad ringan, sementara atas laluan yang lebih lasak, ia boleh pergi hingga 250 km.

Bagi mencapai jarak ini, laju maksimum AI:Trail dihadkan kepada 80 mph (129 km/j), sekaligus membantu mengawal tahap bateri manakala sistem elektronik pula memerhati penggunaan bateri dan penyampaian tenaga secara berterusan. Struktur badan kenderaan ini dibina menggunakan gabungan besi, aluminium serta gentian karbon, dan walaupun digabungkan dengan bateri berkapasiti tinggi, beratnya cuma 1,750 kg.

Badan kenderaan ini adalah besar – dengan ukuran 4.15 meter panjang, 2.15 meter lebar, 1.67 meter tinggi dan dipasang dengan rim 22 inci dan tayar 850 mm. Ruang kelegaan dari tanahnya adalah 340 mm dan boleh meredah air sehingga 500 mm. Tinggi ini juga membantu melindungi bateri yang terletak pada lantai supaya tidak terhentak dengan tanah.

Audi AI:Trail Quattro Concept – EV kegunaan lasak

Pada bahagian suspensi ia menggunakan penyambung transverse serta tetapan MacPherson yang terdiri daripada spring gegelung dan penyerap adaptif. Tayar yang disepadukan dengan penyerap sokongan membantu memberi 60 mm lagi jarak gerak tambahan. Selain kemampuan atas jalan kasar, tetapan suspensi ini juga membantu memberikan keselesaan kepada penumpang.

Jika dilihat pada badannya, tiada bahagian yang melebihi roda hadapan dan belakang. Rekaan ini dipanggil sebagai “one-box” dan dikatakan oleh Audi sebagai satu standard tinggi untuk kenderaan elektrik. Keliling kenderaan ini menggunakan banyak panel kaca yang memberikan pandangan luas kepada penumpang di dalamnya, termasuk hampir keseluruhan bumbung.

Menariknya, bahagian cermin hadapan serta pintu but kenderaan ini boleh dibuka untuk akses kepada ruang barangan. Pada bampar pula terdapat lagi ruang simpanan untuk barangan kotor manakala di bawah pintu yang dibuka secara suicide terdapat pemijak kaki untuk memudahkan penumpang naik.

Audi AI:Trail Quattro Concept – EV kegunaan lasak

Bahagian kabin kenderaan ini luas dan ringkas, dengan butang kawalan yang minimal. Tempat duduk hadapan menggunakan tali pinggang four-point, manakala di hadapan pemandu terdapat roda stereng berbentuk U, serta tempat meletak telefon pintar yang digunakan sebagai paparan informasi fungsi kawalan kenderaan serta navigasi.

Baris kedua pula melihatkan tempat duduk yang lebih ringkas, seperti kerusi rehat kain. Ia dikatakan dapat memberi ketenangan dalam kenderaan, dan boleh dibawa keluar untuk kegunaan bersantai.

Selain daripada kereta itu sendiri, AI:Trail Quattro juga datang dengan drone yang dilengkapi dengan lampu LED matriks. Setelah terbang, drone yang dipanggil sebagai Audi Light Pathfinder ini boleh kembali sendiri ke atas bumbung kenderaan dan terus disambungkan kepada tempat mengecas.

Audi AI:Trail Quattro Concept – EV kegunaan lasak

Disebabkan drone ini ringan, ia boleh terbang lebih ke hadapan daripada kenderaan dan antara kegunaannya adalah untuk menerangkan jalan di hadapan serta memberi pandangan keadaan jalan kepada kenderaan melalui kamera dan sambungan Wi-Fi.

Memandangkan AI:Trail ini termasuk dalam keluarga AI oleh Audi, ia dilengkapi dengan sistem pemanduan autonomous Level 4, tetapi dihadkan untuk penggunaan di atas lebuh raya dan bandar sahaja. Walaupun begitu, apabila masuk ke jalan lasak, pemandu boleh menggunakan sistem pemanduan autonomous Level 3 yang disediakan untuk kelajuan rendah.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required