Audi AI:ME – kereta autonomous untuk bandar besar

Audi AI:ME – kereta autonomous untuk bandar besar

Audi telah menunjukkan model AI:ME semasa pameran Auto Shanghai tahun ini, di mana ia memberi petunjuk awal kepada konsep pengangkutan autonomous untuk bandar besar pada masa hadapan. AI:ME ini adalah kenderaan siri AI yang ketiga daripada jenama itu, dengan yang pertama adalah AIcon, diikuti PB18, manakala satu lagi akan ditunjukkan pada bulan September nanti.

Sementara AIcon dicipta lebih kepada pemanduan jarak jauh dan PB18 untuk kegunaan dalam litar lumba, AI:ME pula dibangunkan lebih kepada pergerakan urban. Disebabkan itu, ia mempunyai bentuk kompak, berukuran 4.3 meter panjang, 1.9 meter lebar, 1.52 meter tinggi dan jarak roda 2.77 meter.

Penggerak kenderaan ini terdiri daripada motor elektrik yang menghantarkan kuasa sebanyak 168 hp (170 PS atau 125 kW) kepada roda belakang. Daripada jumlah ini anda boleh melihat ia bukanlah kenderaan elektrik yang paling laju atau pantas, kerana itu bukanlah fokus utamanya, dan Audi percaya ia akan lebih dipandu pada kelajuan antara 20 hingga 70 km/j sahaja di dalam kawasan bandar.

Selain daripada itu, Audi juga mahu memastikan kenderaan ini mampu bergerak untuk tempoh masa yang panjang. Jadi, ia menggunakan bateri berkapasiti 65 kWh, manakala berat yang ringan dan penjanaan semula kuasa brek turut membantu mengurangkan penggunaan tenaga.

AI:ME mempunyai kelengkapan pemanduan autonomous Level 4. Ia membenarkan pemandu menyerahkan tugas mengendali kenderaan sepenuhnya kepada sistem itu, dalam kawasan yang bersesuaian. Disebabkan ia masih lagi tidak mencapai Level 5 seperti AIcon, kenderaan ini masih dilengkapi dengan roda stereng serta pedal kawalan untuk pemanduan secara manual.

Sistem pemanduan autonomous yang ada pada kenderaan ini turut memberi kesan kepada rekaan luar, di mana sistem lampu yang disediakan memainkan peranan penting bukan sahaja untuk menerangi jalan, tetapi juga berkomunikasi dengan pengguna jalan lain.

Sebagai contoh, pada kebanyakan permukaan yang mempunyai corak seperti permata, terdapat elemen LED atau micro matrix projector yang boleh memancarkan cahaya bersimbol unik untuk memberitahu pejalan kaki, kenderaan ini membenarkan mereka melintas. Selain daripada itu, ia juga boleh memancarkan grafik ke atas jalan untuk membantu menerangi jalan bagi pengguna lain dan menterjemah petunjuk (seperti lampu kecemasan) daripada kenderaan lain untuk memberitahu pengguna lain.

Audi AI:ME – kereta autonomous untuk bandar besar

Bentuk keseluruhan kenderaan ini lebih banyak menggunakan garis-garis yang beralun, dan kaca cermin hadapannya seakan bersambung terus dengan bumbung, sehingga ke belakang. Pintu pula menggunakan bukaan jenis suicide, yang memberi lebih ruang untuk masuk dan keluar. Rim adalah unit 23 inci.

Disebabkan tidak banyak tugas memandu yang diperlukan untuk menggerakkan kenderaan ini, bahagian dalamnya adalah lebih ringkas dan lebih kepada ruang santai. Banyak tempat meletak barang disediakan, dan penumpang juga boleh menggunakan permukaan bermagnet untuk meletakkan cawan atau piring besi di atasnya.

Kelengkapan lain yang disediakan adalah skrin 3D OLED pelbagai guna, teknologi pengesan bola mata, Virtual Reality, pengawal bunyi aktif, Artificial Intelligence, cermin elektrokromik dan campuran bahan premium serta boleh kitar semula.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required