PANDU UJI: Hyundai Santa Fe Theta II 2.4 MPI Premium berwajah sombong, tapi mesra pengendalian

PANDU UJI: Hyundai Santa Fe Theta II 2.4 MPI Premium berwajah sombong, tapi mesra pengendalian

Kalau hendak diikutkan, Hyundai Santa Fe bukanlah SUV tujuh-tempat duduk yang begitu popular, tidak seperti pencabar terdekatnya iaitu Nissan X-Trail 2.5 AWD mahu pun Mitsubishi Outlander 2.4 CVT. Namun begitu, tidak adil sekiranya kita mengadili SUV perisa kimchi ini tidak mampu menyaingi dua model SUV perisa wasabi itu, tanpa memandu ujinya. Bak kata pepatah, “Jangan menilai buku dari kulitnya.”

Santa Fe 2019 secara rasminya berada di pasaran Malaysia sejak Mei lalu, yang sebelum itu pernah buat penampilan sulungnya di sini pada November 2018 dalam acara Kuala Lumpur International Motorshow (KLIMS).

Ia ditawarkan dengan varian Theta II 2.4L MPI Executive dan Premium dengan enjin petrol. Bagi penawaran enjin diesel pula yang merupakan spesifikasi tertinggi bagi barisan Santa Fe 2019, ia hadir dengan varian turbodiesel R 2.2 CRDi Executive dan juga Premium.

PANDU UJI: Hyundai Santa Fe Theta II 2.4 MPI Premium berwajah sombong, tapi mesra pengendalian

Untuk pandu uji kali ini, kami ingin mengulas tentang varian 2.4L MPI Premium yang disifatkan sebagai pesaing bagi dua model yang dinyatakan pada perenggan pertama. Model 2WD ini, walau pun karakternya tidak selasak versi turbodiesel, namun ia masih ligat di jalanan.

Digandingkan dengan enjin petrol Theta II 2.4 liter empat-silinder NA pada Santa Fe ini, ia mampu menghasilkan kuasa 172 PS dan tork maksima 225 Nm. Bila mahu kerahan tenaga yang memuncak sebelum memenuhi momentum ikut kemahuan, SUV ini mampu memberikan apa yang anda mahu. Tidak kedekut tenaga atau pun takut untuk menghamburkan apa yang ada. Cuma sesekali terasa sedikit berat lebih-lebih lagi bila mahu memulakan pecutan ketika melalui laluan berbukit.

Dengan kombinasi transmisi automatik enam-kelajuan yang memacu roda hadapan, pergerakan mekanikalnya terasa lancar dan pantas, tidak pula ia malas untuk melakukan penukaran gear.

PANDU UJI: Hyundai Santa Fe Theta II 2.4 MPI Premium berwajah sombong, tapi mesra pengendalian

Sistem suspensinya dengan topang MacPherson di hadapan dan MultiLink di belakang pula bersifat sederhana. Ia masih memberikan keselesaan tetapi dalam masa yang sama mampu menyerap impak hentakan dengan optimum, mengurangkan kesan lantunan.

Cuma berhati-hati ketika melalui selekoh, apatah lagi jika dengan kelajuan yang sedikit tinggi, SUV ini boleh terasa tidak begitu stabil. Jadi bila melalui selekoh, lebih eloklah kelajuan diperlahankan. Ada sedikit lagi kelemahannya, bab bunyi bising dari luar termasuk bunyi desiran angin dan tayar, masuk juga ke dalam kabin, walau tidaklah begitu bingit dan menyebalkan.

Roda stereng berkuasanya pula terasa ringan dan mudah dikendalikan, kalau setakat nak buat three-poin turn, memang mudah sangatlah.

PANDU UJI: Hyundai Santa Fe Theta II 2.4 MPI Premium berwajah sombong, tapi mesra pengendalian

Dengan dimensi 4,770 mm untuk panjang, selebar 1,890 mm, berketinggian 1,680 mm dan jarak roda berukuran 2,765 mm, SUV berkapasiti tujuh-tempat duduk ini memang nampak besar, tapi ‘rasa pengendaliannya’ boleh digambarkan umpama sedan besar. Tak sukar mengendalikannya. Jadi untuk kaum hawa, janganlah cepat cuak kalau si suami nak beli SUV sebegini. Bukan susah pun nak kendalikan, bahkan lebih meyakinkan kerana ia lebih tinggi berbanding sedan.

Salah satu daya tarikan yang ada pada Santa Fe ini, selain mampu menampung tujuh tempat duduk, adalah rekaannya yang boleh dikatakan bersifat sporty. Wajah hadapannya agak garang dan ‘sombong’ terutamanya pada bahagian gril yang tebal dengan kepingan krom di atasnya.

Untuk varian Premium, ia ditampilkan dengan lampu hadapan Bi-LED yang ‘sepet’ menambahkan lagi gaya ‘kesombongannya’, ia hadir dengan fungsi Dynamic Bending Light. Selain itu, ia menampilkan unit LED untuk lampu kabus, lampu nyalaan siang dan lampu posisi, serta bilah pengelap cermin hadapan automatik.

Bahagian profil sisinya pula, kelihatan garisan aerodinamik serta berotot yang menampakkan badannya tegap dan maskulin. Rim 19-inci dengan tayar 235/55R19 yang dibaluti tayar Continental ContiSport Contact5, turut menyerlahkan lagi gayanya.

Melewati bahagian belakangnya, sifat garang dan sombong itu seakan ‘turn down’ sedikit, sebaliknya masih kekal maskulin. Ciri yang ditampilkan termasuklah lampu LED berbentuk boomberang dan corong ekzos palsu dengan pintu tailgate belakang bantuan kuasa.

Menjengah bahagian kabinnya, sentuhan premium diberikan untuk varian Premium ini. Sesuai dengan harganya yang tinggi, sifat sedikit mewah itu tetap ada. Walau bagaimana pun tiada elemen sarat atau futuristik di dalamnya. Susunan setiap elemen masih ringkas dan teratur.

PANDU UJI: Hyundai Santa Fe Theta II 2.4 MPI Premium berwajah sombong, tapi mesra pengendalian

Pemilihan upholsteri untuk dalamannya boleh didapati sama ada dengan pilihan warna hitam atau burgundy. Ciri khas untuk varian ini yang ditampilkan termasuklah tempat duduk penumpang hadapan larasan berkuasa lapan-hala, kemasan kulit pada papan pemuka, dan juga papan instrumen digital Supervision TFT LCD tujuh-inci.

Manakala ciri standard termasuklah tempat duduk pemandu larasan berkuasa 10-hala, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, sistem infotaimen dengan skrin terapung tujuh-inci sokongan Apple Carplay dan Android Auto, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pendingin hawa dua-zon automatik, serta auto cruise.

Untuk ruang dalamannya, ia boleh disifatkan sederhana luas, dan mencukupi untuk SUV bersaiz ini. Namun ruang barisan ketiga hanya menempatkan dua tempat duduk yang serasanya muat untuk kanak-kanak atau orang yang bertubuh kecil kerana ruang kaki yang begitu terhad. Senang cerita, agak sempit. Ruang penyimpanan barangan di belakang pula, kalau diikutkan risalah spesifikasinya, berkapasiti 547 liter.

Untuk sistem keselamatan juga, semua varian Santa Fe dilengkapi enam-beg udara, ESC, ABS bersama Kawalan Brek Menuruni Bukit dan Bantuan Mula Mendaki, Traction Control dan Kawalan Pengurusan Kestabilan (VCM). Varian Premium pula ditambah dengan ciri Amaran Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang.

Buat pertama kali juga, teknologi Rear Occupant Alert (ROA) Hyundai hadir ke Malaysia menerusi Santa Fe Premium. Sistem ini berfungsi dengan menggunakan penderia ultrasonic pada kabin belakang untuk mengingatkan pemandu bahawa ada penumpang di bahagian belakang seterusnya mengelakkan kejadian kanak-kanak tertinggal di dalam kereta.

Sembang punya sembang, selalunya kalau nak beli kenderaan baharu, harganya pasti menjadi soalan teratas. Kalau ikutkan model pencabarnya, Mitsubishi Outlander 2.4 berharga RM146,276, manakala RM153,888 bagi Nissan X-Trail 2.5 AWD. Sementara jenama senegaranya, Kia Sorento 2.4 pula berharga RM164,106. Antara ketiga-tiga model pencabar tersebut, sebenarnya Santa Fe 2.4 ini jauh lebih mahal iaitu mencecah RM189,888.

Jadi dengan harganya sebegitu termasuk penawaran ciri yang ditampilkan, serta kredibiliti bahagian mekanikal dan juga sifat pengendaliannya, adakah pemilikan Hyundai Santa Fe ini lebih berbaloi? Kalau daripada segi keselesaan pemanduan dan imej luaran, Santa Fe boleh mengatasi pencabarnya.

Untuk pengendalian yang lebih umpphh, lebih baik pilih Outlander dan X-Trail, namun kedua-dua model berkenaan ditambah dengan sistem pacuan empat-roda, pastinya tidak adil sekiranya dibandingkan dengan Santa Fe 2.4 ini (tapi mungkin lebih adil jika dibandingkan dengan Santa Fe 2.2 turbodiesel 4WD). Tapi SUV buatan Hyundai ini lebih mahal kan. Pilihan di tangan anda.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required