Mulai hari ini, 1 Oktober 2019, kanak-kanak berusia di bawah enam tahun bakal menikmati tambang percuma apabila menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspress dan KLIA Transit.

Menurut pengendali kedua-dua tren berkenaan, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), kanak-kanak berkenaan tidak dikenakan tambang apabila menaiki perkhidmatan itu bersama penumpang dewasa yang membayar tambang. Sebelum ini, tambang percuma hanya diberi kepada kanak-kanak berusia bawah dua tahun.

Walau bagaimana pun, setiap penumpang dewasa boleh membawa maksimum tiga orang anak untuk menikmati perjalanan percuma berkenaan. Semakan umur itu juga memberi manfaat kepada kanak-kanak dan remaja di bawah umur 16 tahun apabila mereka dikenakan tambang kategori kanak-kanak.

Sebelum ini tambang kategori kanak-kanak dikenakan kepada mereka berusia di bawah 13 tahun dan kini enam tahun hingga 16 tahun. Bagaimanapun, ERL tidak mengumumkan sebarang perubahan tambang untuk penumpang dewasa.