Isu ambil alih PLUS: Maju Holdings naikkan tawaran kurangkan tol sebanyak 36%, serap pampasan RM2.7b

Isu ambil alih PLUS: Maju Holdings naikkan tawaran kurangkan tol sebanyak 36%, serap pampasan RM2.7b

Rancangan Maju Holdings untuk mengambil alih PLUS Malaysia Bhd bukanlah cerita baharu kerana ia telah dibangkitkan sejak akhir 2017. Syarikat konglomerat ini pernah menghantar cadangan dengan tawaran RM3.5 bilion di mana RM2 bilion dalam bentuk tunai dan baki RM1.5 bilion lagi adalah pampasan kepada kerajaan.

Dalam tawaran Maju Holdings ini, mereka memberikan pilihan empat senario iaitu penurunan kadar tol sebanyak 25% bersama tambahan konsesi selama 10 tahun, penurunan 30% kadar tol dengan tambahan konsesi selama 15-tahun, penurunan 33% kadar tol dengan tambahan konsesi selama 20 tahun atau penurunan 36% kadar tol dengan tambahan konsesi selama 30-tahun.

Terkini, syarikat berkenaan telah memperbaharui cadangannya itu dengan menawarkan pengurangan tol daripada 25% kepada 36%. Laporan Berita Harian menyebut, Maju Holdings turut mencadangkan akan menanggung pengurangan tol sepenuhnya dan tidak akan mendapatkan pampasan kewangan daripada kerajaan berkenaan perkara itu.

Bukan itu sahaja, Maju Holdings juga mencadangkan untuk menyerap pampasan tol RM2.7 bilion jika mereka berjaya mengambil alih pengendali konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia itu.

Isu ambil alih PLUS: Maju Holdings naikkan tawaran kurangkan tol sebanyak 36%, serap pampasan RM2.7b

“Ketika ini, kerajaan berhutang dengan PLUS kira-kira RM2.7 bilion membabitkan pampasan tol dan jika Maju Holdings mengambil alih PLUS, kami dengan sukacitanya memaklumkan bahawa kami tidak akan lagi memegang tanggungjawab kerajaan ke atas hutang ini. Oleh itu, kami mengulangi, kerajaan akan jimat RM2.7 bilion berdasarkan fakta bahawa Maju Holdings akan menyerap pampasan RM2.7 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Jurucakap Maju Holdings berkata, dengan tawaran terkini yang sudah dihantar kepada kerajaan itu, pemegang sedia ada PLUS akan mendapat manfaat anggaran jumlah kadar pulangan dalaman ekuiti kira-kira 16 peratus, yang mana ia mewakili pulangan yang mengatasi kos ekuiti untuk majoriti konsesi jalan bertol lain, baik di peringkat global mahupun di Asia Tenggara.

Tambahnya lagi, sebagai sebahagian daripada cadangan pihaknya dan seperti yang diulangi beberapa kali sebelum ini, Maju Holdings komited untuk melabur kira-kira RM5.3 bilion, yang mana akan merangkumi pencahayaan seluruh lebuh raya bersama-sama dengan peningkatan yang sangat diperlukan.

“Rekod prestasi operasi kami untuk menguruskan jalan bertol diperlihatkan dengan sendirinya. Kami berjaya mengendalikan Lebuh Raya MEX dengan cara yang sangat cekap kos berbanding jalan bertol PLUS yang sepatutnya mendapat keuntungan daripada skala ekonomi.

“Malah, kami mempunyai antara yang menawarkan kos terendah setiap kilometer di negara ini. Oleh itu, kami yakin kami akan dapat mengurangkan kos penyenggaraan untuk PLUS,” katanya.

Isu ambil alih PLUS: Maju Holdings naikkan tawaran kurangkan tol sebanyak 36%, serap pampasan RM2.7b

Dalam masa yang sama, syarikat ini turut menegaskan kepada pembuat dasar dan rakyat Malaysia bahawa pihaknya yakin dengan tawarannya adalah satu yang menarik dan satu yang tidak akan membebankan, malah ia juga sebenarnya akan mengurangkan kedudukan hutang kerajaan.

Lebih-lebih lagi, Maju Holdings juga ingin mengulangi bahawa nilai enterpris untuk membeli PLUS adalah termasuk hutang terkumpul kepada pemegang bon pada paras RM34.9 bilion.

“Pertimbangan pembelian ini mencerminkan nilai sebenar dan saksama syarikat ini dan asetnya, dengan mengambil kira niat kami untuk menyediakan pengguna jalan raya Malaysia dengan diskaun ketara,” katanya.

Baru-baru ini, satu lagi syarikat yang diterajui oleh rakyat Malaysia tetapi berpangkalan di luar negara, RRJ Capital Ltd turut dilaporkan berminat untuk membeli PLUS telah menaikkan tawaran sebanyak RM3.5 bilion berbanding RM3 bilion yang ditawarkan sebelum ini.

Walau bagaimana pun, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) selaku pemegang saham utama PLUS, telah membuat kenyataan pihaknya tidak berminat untuk menjual aset syarikat konsesi tersebut kepada mana-mana pihak. Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Redzuan, Khazanah memang banyak menerima tawaran daripada pelbagai pihak. Namun mengambil keputusan untuk menolak kesemua tawaran yang diterima daripada entiti swasta asing mahu pun tempatan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required