‘Kereta terbang’ dilarang terbang esok – CAAM

‘Kereta terbang’ dilarang terbang esok – CAAM

Kecoh minggu ini apabila Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menyatakan bahawa ‘kereta terbang’ yang dicanangkan sebelum ini bakal melakukan penerbangan ujian pertamanya esok, iaitu 20 November 2019. Walau bagaimanapun, ujian tersebut nampaknya tidak boleh dijalankan kerana ia tidak mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Walaupun pada peringkat awal dahulu dron yang disifatkan sebagai kereta terbang diumumkan akan dibina oleh pihak Aerodyne Group diberi nama Vector, unit yang dijadualkan untuk diterbangkan esok adalah dron Ehang 216 hasil rekaan sebuah syarikat dari China yang berpangkalan di Guangzhou iaitu Beijing Yi-Hang Creation Science & Technology Co. Ltd.

Untuk di bawa ke sini, ia di dakwa melibatkan usaha sama EastCap Bhd dengan dua syarikat dari China iaitu EHang Intelligent Equipment (Guangzhou) dan Strong Rich Holdings Limited.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh CAAM hari ini, antara sebab utama ujian ini tidak boleh dijalankan adalah kerana lokasi percubaan penerbangan di Hangar UNIKL MIAT Subang adalah kurang 200 meter dari laluan trafik pesawat dan helikopter komersial – ia jelas terletak di dalam Zon Kawalan Terminal Lapangan Terbang Subang di bawah penyeliaan yang ketat oleh Pusat Kawalan Trafik Udara.

Tambahan pula CAAM turut menegaskan bahawa EH216 hanya diberikan Permit Khas Penerbangan (SFP) oleh negara pengeluar iaitu Pentadbiran Penerbangan Awam China yang terhad untuk mengendalikan penyelidikan dan pembangunan penerbangan di Grand World Science Park, Guangzhou.

Dalam kenyataan yang sama CAAM turut menyebut bahawa mereka sedang menyiasat demonstrasi penerbangan yang tidak diluluskan membabitkan EH216. “Ujian ‘haram’ itu dilakukan pada 15 November lalu di Lapangan Terbang Subang,” kata kenyataan itu lagi.

Walau bagaimanapun, CAAM menyatakan mereka amat menyokong pembangunan industri aeroangkasa di negara ini namun ia mesti mengikut Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 (MCAR 2016) bagi memastikan jaminan keselamatan dipatuhi.

“CAAM ingin memaklumkan sedia mempertimbangkan sekiranya ujian penerbangan EH216 mahu dilakukan di lokasi yang sesuai dengan sokongan negara pengeluar,” tulis kenyataan tersebut.

Kelmarin, menteri yang berkenaan mengesahkan beliau akan melakukan ujian memandu dan menaiki ‘kereta terbang’ tersebut esok.

Perkara ini dinyatakan sendiri oleh menteri terbabit ketika menjawab satu soalan daripada YB Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar, BN) di Dewan Rakyat. Menurut Redzuan, ujian itu akan diadakan di Subang Khamis ini dan beliau turut mengundang ahli Parlimen pembangkang untuk menyaksikan sendiri sesi pandu uji kereta terbang berkenaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required