Nissan GT-R50 – produksi sah tahun depan, 720 PS!

Nissan GT-R50 – produksi sah tahun depan, 720 PS!

Nissan sudahpun mengumumkan bahawa Nissan GT-R50 – GT-R R35 istimewa yang mendapat sentuhan semula dari firma rekaan Itali, Italdesign – sah akan diproduksi dalam jumlah yang sangat terhad iaitu 50-unit, dan versi produksi sebenarnya akan didedahkan di Geneva Motor Show 2020 Mac depan.

Menurut Nissan, pelanggan pertama yang menempah kereta ini akan menerimanya pada lewat 2020, manakala versi prototaip yang muncul di Goodwood Festival of Speed tahun lalu akan sekali lagi membuat penampilannya di Nismo Festival 2019 yang akan berlangsung di Fuji Speedway hujung minggu ini serta turut akan diletakkan di Nissan Crossing di Ginza dan Tokyo Auto Salon 2020 Januari nanti.

Menurut Nissan, selepas ia membuat kemunculan sulungnya, permintaan untuk versi produksi GT-R istimewa sempena ulangtahun ke-50 Nissan serta ulangtahun ke-50 Italdesign berkenaan agak kuat di mana sebahagian pelanggan telah pun membayar deposit.

Nissan GT-R50 – produksi sah tahun depan, 720 PS!

Buat masa sekarang, pelanggan yang telahpun menempah kereta ini dalam proses memilih spesifikasi peribadi untuk GT-R50 masing-masing. Untuk pasaran Jepun, kereta ini boleh dibeli dari SCI Co. Ltd iaitu subsidiari VT Holdings. Nissan menyatakan tempahannya masih dibuka tetapi tidak mendedahkan berapa slot lagi yang tinggal.

Nissan GT-R50 masih menggunakan casis serta enjin VR38DETT 3.8 liter V6 turbo berkembar sama seperti R35 Nismo 2018 sedia ada. Namun dengan tingkat taraf seperti pemadanan pengecas turbo spesifikasi GT3 bersama intercooler yang lebih besar, crankshaft, piston, connecting rod dan bearing yang lebih tahan lasak, profil camshaft yang lebih agresif, serta sistem kemasukan udara dan ekzos yang dirombak, ia kini mampu menghasilkan kuasa 720 PS dengan tork maksima 780 Nm.

Kuasa yang lebih besar ini akan dibantu oleh sistem suspensi dengan penyerap boleh laras Bilstein DampTronic I, bersama sistem brek enam piston di depan dan empat piston di belakang berwarna merah dari Brembo. Bagi memastikan kereta ini sentiasa melekat pada permukaan aspal, rim-rim rekaan istimewa 21-inci pada kereta ini dibalut dengan tayar Michelin Pilot Super Sport bersaiz 255/35R21 di hadapan dan 285/30R21 di belakang.

Untuk bahagian luaran pula, boleh dikatakan keseluruhan komponen badan telah menerima rekaan semula oleh Italdesign. Ia menerima elemen berwarna emas pada bahagian ‘mulut’ hadapan bersama lampu hadapan LED nipis dipanjangkan. Dari sisi, anda boleh lihat bayangan badan yang lebih agresif dari GT-R standard kerana ia telah direndahkan sebanyak 54 mm.

Nissan GT-R50 – produksi sah tahun depan, 720 PS!

Perubahan lebih ekstrem dapat dilihat pada bahagian belakang. Bahagian cermin belakang diberikan tingkap berbentuk-V yang lebih kecil, manakala panel sekelilingnya pula direka seakan untuk mengalirkan udara terus kebahagian but serta turut direka lebih rendah.

Lampu belakang dengan rekaan dua-bulat signatur GT-R bersama emblem masih lagi kekal, tetapi ia kelihatan seperti terapung kerana bahagian lain yang telah direndahkan. Versi istimewa ini juga dibekalkan dengan spoiler belakang boleh laras di mana sayap belakang tersebut boleh dinaikkan atau disorokkan, dikawal secara elektrohidraulik.

Kabin Nissan GT-R50 ini turut berbeza dari R35 biasa, menampilkan papan pemuka yang direka semula serta menampilkan banyak komponen dibuat daripada gentian karbon, serta balutan Alcantara dan kulit untuk tempat duduk. Secara keseluruhan, kabin jentera ini menerapkan rekaan seperti kereta lumba sebenar.

Berapa harganya? Menerusi laporan sebelum ini, Nissan GT-R50 boleh dibeli pada harga bermula 990,000 euro atau sekitar RM4.7 juta!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required