Nissan buat pertama kalinya bekerjasama dengan syarikat kejuruteraan dan rekaan dari Itali, iaitu Italdesign untuk menghasilkan sebuah kenderaan prototaip yang dinamakan sebagai GT-R50 by Italdesign. Seperti yang boleh dilihat pada namanya, ini adalah sebuah kenderaan yang menggunakan asas daripada GT-R NISMO 2018.

“Ini adalah satu waktu pertemuan yang jarang berlaku, di mana Italdesign sudah 50 tahun dalam kerja rekaan automotif, dan Nissan juga menyambut ulang tahun GT-R yang ke-50. Jadi untuk menyambut dua waktu bermakna ini, Nissan dan Italdesign telah mereka GT-R istimewa ini.” kata timbalan presiden kanan rekaan global Nissan, Alfonso Albaisa.

Pada bahagian hadapan, kereta prototaip ini mempunyai elemen berwarna emas yang meliputi hampir keseluruhan bahagian hadapan. Hudnya pula mempunyai bonjolan yang lebih jelas dan lampu LED nipis dipanjangkan. Jika dilihat dari tepi pula, garis bumbungnya telah direndahkan sebanyak 54 mm, dan bukaan udara di belakang tayar hadapan dijadikan lebih jelas dengan warna emas.

Di belakang, ciri lebar kenderaan ini diketengahkan lebih lagi dengan bahagian panel yang lebar, dan tingkap belakang mempunyai garisan yang lebih panjang dan masuk ke dalam berbanding model asal. Untuk lampu, dua bulatan yang sudah menjadi tanda unik GT-R dikekalkan, tapi ia dibina supaya nampak terapung dan berasingan. Ia kemudiannya dilengkapkan dengan sayap belakang boleh laras.

Cat yang digunakan untuk kenderaan ini dinamakan sebagai Liquid Kinetic Gray, bersama kemasan Energetic Sigma Gold, manakala rim pula adalah buatan khas yang bersaiz 21×10 di hadapan dan 21×10.5 inci di belakang.

Masuk ke dalam, Nissan GT-R50 by Italdesign membawa lagi konsep moden dan prestasi tinggi dengan banyak bahagian dibuat daripada gentian karbon, serta balutan Alcantara dan kulit untuk tempat duduk. Ada juga kemasan emas seperti di luar, iaitu pada panel instrumen, tepi pintu dan suis kawalan. Bahagian hab tengah dan spoke stereng dibuat daripada gentian karbon manakala bahagian lain dibalut dengan Alcantara.

Untuk enjin, kereta ini masih menggunakan unit V6 3.8 liter VR38DETT namun telah dipertingkat dengan pengecas turbo spesifikasi lumba GT3 dan intercooler yang lebih besar, crankshaft, piston, connecting rod dan bearing yang lebih tahan lasak, profail camshaft yang diubah, serta sistem kemasukan udara dan ekzos yang diperelok. Dengan itu, ia mampu menghasilkan sehingga 720 PS dan 780 Nm tork. Turut dipasang adalah transaxle belakang enam kelajuan klac berkembar, serta drive shaft dan differential yang diperkuat.

Bagi memastikan kenderaan ini dapat melekap dengan baik atas jalan, ia dipasang dengan penyerap boleh laras BILSTEIN DampTronic®I, manakala brek Brembo enam piston di depan dan empat piston di belakang diwarnakan merah. Tayar pula adalah unit Michelin Pilot Super Sport. Kereta ini walaubagaimanapun bukanlah model generasi seterusnya untuk GT-R, tetapi sekadar projek khas.