Suzuki Swift Katana Edition yang lebih liar bakal muncul di Tokyo Auto Salon 2020 bulan hadapan

Suzuki Swift Katana Edition yang lebih liar bakal muncul di Tokyo Auto Salon 2020 bulan hadapan

Mei lalu, Suzuki telah memperkenalkan model Swift Sport istimewa iaitu Swift Sport Katana Edition – dihasilkan hanya 30-unit, dijual hanya untuk pasaran Belanda – sempena kemunculan semula motosikal ikonik jenama berkenaan iaitu Suzuki Katana.

Berita yang baru kami terima, Swift Sport Katana Edition ini akan dihasilkan lagi, mungkin hanya konsep, mungkin hanya untuk pasaran domestik Jepun (JDM), tetapi yang pasti ia akan didedahkan ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2020 pertengahan bulan hadapan.

Suzuki masih belum mendedahkan sebarang perincian teknikal berkenaan kereta ini, tetapi berdasarkan gambar yang disertakan bersama pengumuman ini, Swift Katana tersebut nampaknya jauh lebih liar dari versi di Belanda sebelumnya – menampilkan kit badan lebar dan juga tiga corong ekzos dilihat keluar dari sisi kiri badannya!

Masih menggunakan tema warna perak-hitam-merah, Swift Katana versi baharu ini menampilkan grafik badan yang berbeza, dan nampak lebih ‘samurai’. Elemen hitam diberikan pada bumbung cermin sisi dan bahagian bawah badan, manakala jalur merah pula diberikan pada bahagian atas spoiler hadapan, serta sisi badan yang turut diberikan grafik seperti dikelar pedang Katana.

Untuk Swift Katana Belanda, ia masih mengekalkan enjin K14C 1.4 liter turbo berkuasa 140 PS/230 Nm seperti Swift Sport standard, tetapi diberikan penambahbaikkan lain seperti sistem ekzos dari Remus, palang strut hadapan Cusco Power Brace, serta suspensi boleh laras sepenuhnya HKS Hipermax. Berdasarkan rupa, tidak mustahil spesfikasi lebih mengujakan akan tampil pada Swift Katana Jepun ini.

Tak lengkap ruang pameran Suzuki kalau tiada Jimny – jika pada TAS 2019 mereka membawa Suzuki Jimny Sierra Pick-up Concept yang kelihatan seperti model retro Toyota BJ40, tahun 2020 nanti satu lagi Jimnya akan di bawa, diberi nama Sierra Marine Style.

Menurut Suzuki, ini adalah Jimny edisi khas untuk kaki pancing, dan ia diberikan upholsteri kabin dari material sama dengan bahan untuk membuat suit basah, bumbung lebih tinggi seakan Land Rover Defender, bar lampu LED pada bumbung, kanopi mudah simpan pada setiap sisi, dan juga set rim bersama tayar off-road sebenar.

Suzuki juga akan membawa kei-crossover Hustler diberi nama Hustler Street Base. Kereta tersebut diberikan warna badan matte dan memang dibuat agar kelihatan seperti kotak barangan, dan ia direka untuk golongan muda yang aktif dengan aktiviti seperti bermain papan luncur dan basikal BMX.

GALERI: Suzuki Swift Sport Katana Edition pasaran Belanda

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required