Dekad yang baharu bakal berlangsung apabila 2020 mengambil alih kalendar 2019. Pantas betul masa berlalu. Apa pun sedekad sebelum itu, dapat dilihat industri automotif di Malaysia boleh dikatakan kian rancak. Pasaran kita banyak menerima kemasukan model kenderaan sama ada yang facelift mahu pun serba baharu. Setiap jenama pengeluar boleh dikatakan bersaing sesama sendiri dengan Perodua masih menjadi juara bertahan bagi mendominasi pasaran.

Walau bagaimana pun, ada juga jenama yang terpaksa ‘bungkus’ untuk pasaran Malaysia, ini termasuklah Suzuki dan Chevrolet. Malahan Proton hampir terjebak dengan situasi yang sama, namun ia bernasib baik dapat diselamatkan dengan adanya rakan strategik asing, Geely, jenama automotif terbesar China yang turut memayungi Volvo.

Manakala jenama dari Jepun dilihat masih stabil di pasaran Malaysia. Lihat sahaja Honda dan Toyota yang saling berlumba-lumba menduduki carta jualan kereta bukan-nasional di pasaran tempatan. Walau pun sedia maklum, Honda lebih ke hadapan, namun Toyota juga tetap memperkukuhkan kedudukan termasuk dengan pembukaan kilang pemasangan baharunya di Bukit Raja, Klang. Untuk jenama lain dari Jepun seperti Mitsubishi dan Mazda, kedua-duanya juga masih berhempas pulas untuk mengukuhkan kedudukan di sini. Namun, di akhir dekad ini, langkah Nissan pula kelihatan agak lesu. Tiada model baharu diperkenalkan sejak dua tahun kebelakangan ini (kecuali model sedia ada dengan kehadiran kit baharu sahaja).

Ok tak perlu ulas panjang lebar pasal senario industri automotif dalam tempoh sedekad ini. Sebelum 2019 bakal melabuhkan tirainya, ini merupakan 10 model kenderaan yang jadi pilihan saya. Apa pun, untuk pengetahuan pembaca, saya sendiri pun baru saja lapan tahun mengambil tahu secara serius tentang perkembangan industri ini. Jadi apa yang disenaraikan ini adalah model kenderaan yang dilancarkan di Malaysia sepanjang tempoh itu. Ia dinilai bukan berdasarkan prestasi, tetapi imej yang menarik dan harganya yang lebih bersifat mampu milik.

Honda CR-Z 2011

Dilancarkan di Malaysia pada 2011, Honda CR-Z menjadi model kenderaan pertama yang saya begitu teringin untuk mengujinya. Apatah lagi bila mengetahui ia menerima gandingan penjana kuasa 1.5 liter LEA SOHC i-VTEC dengan motor elektrik serta Intelligent Power Unit (IPU) yang memberikan hamburan output sehingga 124 PS pada 6,000 rpm dan tork 174 Nm antara 1,000 hingga 1,500 rpm. Paling menarik sudah tentu gandingan padu antara sistem IMA Hybrid dengan kotak gear manual enam-kelajuan yang meledakkan prestasinya. Paling penting, penjana kuasanya tidak kedekut memuntahkan energinya.

Ketika dilancarkan, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM115k beserta insurans. Walau pun bukanlah model Honda yang paling popular di sini, termasuk faktor ‘kekurangan’ ruang dalamannya (lebih selesa untuk dua penumpang sahaja), tapi daripada sudut prestasi, CR-Z ini memang mampu menambah ledakan jiwa yang gemarkan adrenaline rush. Walau bagaimana pun, sayangnya, jangka hayat CR-Z tidak mampu bertahan di sini kerana penjualannya telah pun dihentikan oleh Honda Malaysia

Volvo XC40 2018

Sejujurnya SUV menjadi pilihan utama saya. Jadi, bila ada SUV baharu masuk di pasaran, saya tak sabar nak lihatnya di dekan mata, menyelidiki spesifikasinya serta nak memandunya. Untuk tahun 2018, memang ada beberapa SUV baharu diperkenalkan di Malaysia, namun ini yang paling menarik minat saya; Volvo XC40. Dengan varian tunggal T5 AWD R-Design, XC40 inidijual pada harga RM255,888 atas jalan, tidak termasuk insurans.

XC40 T5 AWD dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbocas Drive-E (252 hp/350 Nm) dengan padanan transmisi automatik lapan-kelajuan, mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.4 saat dan laju maksimum 230 km/j. Ternyata prestasi daripada bahagian mekanikal memang seiring sejalan dengan imej luaran dan dalamannya. Melihatnya pada bahagian hadapan, imej sporty cukup menyercah terutamanya lampu utamanya yang seksi itu. Kehebatan yang ada pada XC40 ini memang tidak perlu disangkalkan sehingga ia berjaya dinobatkan sebagai Kereta Terbaik Jepun 2018.

Subaru XV 2018

Subaru XV diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2012 dan ia dipasang di kilang pemasangan milik Tan Chong di Segambut, KL. Seperti yang dinyatakan di perenggan atas, SUV sentiasa menjadi perhatian saya. Dan SUV crossover ini juga memang bikin saya ‘jatuh hati pandangan pertama’. Imejnya yang ranggi memang cukup menarik perhatian. Apatah lagi ketika itu, tidak begitu banyak pilihan crossover di pasaran tempatan. Honda HR-V dan Toyota C-HR masih belum diperkenalkan. Mitsubishi ASX pula seakan tidak mencabar sangat. Jadi XV dengan imej yang sporty dengan enjin boxer yang cukup terkenal daripada Subaru ini memang lebih ke hadapan.

Hujung 2017, XV versi kedua (atau pun lebih dikenali sebagai XV2 di kalangan para pemilik XV) dilancarkan di sini. Imej luaran dan dalaman diperkemaskinikan. Lebih menarik pandangan mata. Paling menarik, ia menampilkan enjin petrol baharu 2.0 liter naturally-aspirated suntikan-terus empat-silinder (154 hp/196 Nm), dipadankan bersama Lineartronic CVT, yang dikatakan 7.8 kg lebih ringan berbanding model XV yang terdahulu. Malah kuasanya adalah lebih 6 hp berbanding model sebelumnya. Sejujurnya prestasi XV2 ini lebih padu berbanding XV1. Harganya juga mampu milik; bermula RM112k. Dan sejak kebelakangan ini, kelibat XV juga kian banyak di jalan raya di sini. Sekaligus membuktikan, ia juga crossover popular selain pesaing terdekatnya, HR-V.

Honda Civic 1.5 TC-P 2016

Beberapa bulan sebelum Honda Civic 2016 memasuki pasaran Malaysia, saya diberi peluang memandu ujinya di Thailand. Pertama kali melihatnya, terus jatuh cinta. Berbanding dengan Civic generasi ke-sembilan yang imejnya lebih kepada ‘pakcik-pakcik’, Civic 2016 yang merupakan generasi ke-10 ini memang lebih cukup menambat pandangan mata (hingga ke hati). Perubahan imej luarannya ternyata lebih drastik dan mengikut citarasa semasa. Terutamanya bahagian belakang dengan lampu ala sepit ketam yang nampak agak garang dan cukup sporty. Malahan bahagian dalamannya juga mengalami perubahan rekaan yang lebih kemas dan mampu memberikan keselesaan lebih optimum.

Untuk barisan Civic 2016 bagi pasaran Malaysia, ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1.8 liter bagi model asas, dan juga 1.5 liter pengecas turbo untuk dua varian tertinggi. Pastinya varian turbo menjadi pilihan. Biarpun turbo yang berskala kecil, tapi boleh dianggap padu bagi enjin berkapasiti 1.5 liter (173 PS/220 Nm) yang boleh dikatakan menyamai hamburan kuasa enjin 2.4 liter. Malahan ia juga dipadankan dengan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT), berbanding kotak gear konvensional automatik (AT) seperti pada generasi terdahulu. Harga untuk versi turbo ini pula antara RM121k hingga RM129k. Memadailah untuk apa yang ditampilkan pada versi Civic ini.

Nota kaki: Sebenarnya Honda Civic Type R lebih menyelerakan. Tapi tang harganya…memang tak berapa mampu milik pulak.

Proton X70 2018

Proton X70, ‘hasil kelahiran bersama Geely’, kini boleh dikatakan menjadi SUV terlaris di Malaysia sejak ia dilancarkan pada 12 Disember 2018. Sudah setahun dilancarkan, makin melambak X70 ini kelihatan di jalan raya. Ramai yang memilihnya kerana imejnya yang nampak bergaya, di samping harganya yang mampu milik iaitu sekitar RM100k-RM124k dengan empat pilihan varian yang kesemuanya dijanakan oleh enjin yang sama – 1.8 liter turbo.

Kalau diikutkan prestasinya, bersifat sederhana tetapi sisi lain yang boleh dijadikan pertimbangan ialah keselesaan pengendaliannya. X70 ini memang selesa dikendalikan tidak kira sama ada pemanduan di bandar, jalan kampung apatah lagi di lebuhraya. Tidak lama lagi, Proton bakal melancarkan X70 versi pemasangan tempatan (CKD) dan dijangka harganya sedikit rendah berbanding unit CBU yang didatangkan dari negara kelahirannya, China. Jadi, dengan teknologi yang disertakan, imej yang menawan dan harga yang lebih mampu milik, X70 dilihat pilihan yang lebih tepat dan mampu memberikan persaingan sengit buat Honda CR-V dan Mazda CX-5, pencabar terdekatnya.

Mercedes-Benz A250 AMG Sport 2018

Ini hatchback jenama premium yang berharga sedikit tinggi – RM264k – yang tersenarai dalam pilihan. Sebab utama, prestasinya yang menguja dengan padanan enjin 2.0 liter turbo (224 hp/350 Nm) dengan transmisi 7G-DCT, yang mampu memberikan kelajuan tertinggi sehingga 250 km/j dengan pecutan 0-100 km/j hanya 6.2 saat. Bayangkan hatchback mewah ini menderu laju di lebuhraya khususnya hingga mampu meledakkan adrenalin ketika mengendalikannya. Boleh bikin senyum sampai telinga!

Sebab kedua, lihat saja imej ranggi dan sporty yang membaluti bahagian luaran. Cukup mudah menambat perhatian hingga jatuh cinta dibuatnya. Walau bagaimana pun, rekaan bagi bahagian kabin pula boleh disifatkan ringkas dan tiada sentuhan canggih mahu pun futuristik.

Nota kaki: Ikutkan pilihan saya, ‘yang paling tahap berangan’ sudah tentulah Mercedes-AMG GT 63 S 4MATIC+ 2019 dan Mercedes-AMG GT C 2018.

Range Rover Evoque 2011

Pertama kali tengok SUV ini di depan mata sewaktu pelancarannya pada tahun 2011, terus jatih cinta. Jadi, masuklah ‘senarai berangan’ memandangkan harganya memang di luar kemampuan – cecah RM406k (untuk versi 2017 yang masih di pasaran). Range Rover Evoque ini walau pun keluaran Range Rover, tetapi tidak sesuai dilenjan secara lasak biarpun dilengkapi dengan sistem pacuan semua-roda (4WD). Bukan kerana ia tidak berkeupayaan dengan pemanduan lasak, tapi imej luarannya yang cukup kacak ini, pasti sayang nak lenjan kaw-kaw.

Dengan hamburan kuasa mencecah 237 hp dan tork 340 Nm, hasil gandingan enjin 2.0 liter turbo dan kotak gear automatik 9-kelajuan, Evoque ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 217 km/j dengan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 7.6 saat. Prestasinya tidaklah begitu menguja seperti mana pencabar terdekatnya Jaguar F-Pace mahu pun Mercedes-Benz GLC, tetapi disebabkan ia kelahiran Range Rover yang hanya mengeluarkan barisan SUV mewah, maka Evoque tetap ada keistimewaan yang tersendiri. Dan jangan lupa tunggu pula kehadiran Evoque generasi kedua yang dijangka akan tiba di Malaysia pada tahun hadapan. Adakah ia mampu menenggelamkan kehadiran adiknya, Range Rover Velar, yang harganya lebih mahal dan tidak kurang kacak juga?

Mitsubishi Lancer 2012

Mitsubishi Lancer sudah tiada dalam pasaran Malaysia selepas tahun 2014 dengan varian terakhir yang dijual iaitu Lancer 2.0L GTE. Jika sebelum itu, Lancer memang menjadi dambaan dan pilihan penggemarnya yang mungkin tidak mampu untuk memiliki Lancer EVO. Dan Lancer 2.0 GT yang dilancarkan pada tahun 2012 juga pernah hampir saya miliki. Hampir… tapi tak jadi. Saya akui, imej dan prestasinya hampir membuatkan saya memilikinya. Daya tarikannya sudah pasti imej dan prestasi yang dihasilkan. Imej ‘abang-abang’ dengan bancuhan elemen sporty dan garang dipertaruhkan. Dari bahagian hadapan hingga ke belakang, gaya yang senada membangkitkan aura penuh maskulin.

Enjin MIVEC daripada Mitsubishi memang terkenal dengan hamburan prestasi yang menguja. Lancer ini juga digandingkan dengan enjin MIVEC berkapasiti 2.0 liter (150 PS/197 Nm) dan juga transmisi INVECS-III CVT. Ia tidak kedekut dalam meledakkan hamburan kuasa, malahan pengendaliannya juga sangat memuaskan bagi model sedan di bawah segmen-C. Harganya juga berpadanan dengan segala elemen yang disertakan – sekitar RM119k bagi varian terakhir Lancer 2.0L GTE.

Toyota Yaris 2019

Kembar Toyota Vios sedan ini dilancarkan di Malaysia pada April lalu dengan tiga varian iaitu Yaris 1.5J, Yaris 1.5E dan Yaris 1.5G. Dengan bentuk badan hatchback, Yaris 2019 ini pantas menerima sambutan menggalakkan terutamanya daripada golongan muda (atau yang berjiwa muda) yang gemarkan imej yang ranggi yang diterjemahkan menerusi bahagian luarannya. Boleh dikatakan imej luaran yang dipertaruhkan pada Yaris 2019 ini mudah menarik pandangan mata, daripada bahagian hadapan melewati ke belakang. Bahagian hadapannya nampak sedikit agresif dan belakangnya pula seksi.

Selain itu, prestasi Yaris bersifat sederhana tetapi masih tetap seronok mengendalikannya. Ia dijana oleh enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i (107 PS/140 Nm) dengan padanan transmisi CVT automatik. Kalau pilih varian E dan G, ia turut menerima mod Sport dan tujuh-kelajuan maya Sequential Shiftmatic. Harganya pula berpatutan dan mampu milik, sekitar RM71k-RM84k. Jauh lebih murah berbanding model terdahulu yang dijual di sini, sekitar RM93k-RM99k (model 2006) dan RM102k untuk model 2014. Jadi, ternyata Yaris 2019 lebih berbaloi untuk dimiliki. Imej pun menawan…tak gitu.

Nota kaki: Kalau diikutkan, barisan model Toyota di Malaysia, pastinya Toyota 86 dan Toyota Supra lebih menggiurkan. Juga pilihan saya untuk ‘stok tahap berangan’!

Perodua Aruz 2019

Selepas Nautica dan Kembara, Perodua kembali memasuki segmen SUV dengan melancarkan Perodua Aruz pada Januari lalu. SUV berkapisiti tujuh-penumpang ini memanglah ‘kembar kepada Toyota Rush’ tetapi masing-masing ada menampilkan imej yang tersendiri. Kalau ditanya, apakan SUV tujuh-tempat duduk mampu milik, memang inilah yang akan saya sarankan. Aruz ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.5X (RM72,900) dan 1.5 Advance (AV) (RM77,900) – harga tidak termasuk insurans) – jadi kalau nak dibandingkan dengan dua pencabar terdekatnya – Honda BR-V dan Toyota Rush – ternyata Aruz lebih berbaloi dimiliki kerana harganya juga lebih murah.

Aruz dipadankan dengan enjin yang sama dengan Perodua Myvi dan Rush – 1.5 liter 2NR-VE empat-silinder NA (105 PS/136 Nm) dengan kotak gear automatik empat-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda belakang. Kalau anda bukanlah seorang pemandu yang gemarkan pemanduan agresif dan lebih suka memandu santai, Aruz ini memang cukup sesuai. Jangan pula cakap, “Ala mesti Aruz ni ‘kurang berkuasa’, enjin kecil tapi badan besar…” Abang-abang, kakak-kakak, dengan harganya yang di bawah RM80k, apa lagi yang anda mahukan? Inilah kereta rakyat.. besar, selesa dan harganya ngam ho. Kira oklah kan. Imej yang diperagakan pun, sedaplah mata memandang.