Dego Ride dapat lampu hijau k’jaan; sudah mula beroperasi semula, 46% saham kini milik 7-Eleven

Dego Ride dapat lampu hijau k’jaan; sudah mula beroperasi semula, 46% saham kini milik 7-Eleven

Setelah diarahkan untuk menghentikan operasinya oleh kerajaan terdahulu pada Februari 2017, perkhidmatan e-hailing menggunakan motosikal, Dego Ride kini sudah mula beroperasi semula di Lembah Klang, Shah Alam dan Putrajaya bermula semalam, 1 Januari 2020, menurut laporan Harian Metro.

Syarikat yang dibangunkan oleh Nabil Feisal Bamadhaj itu turut mendapat sokongan penuh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menurutnya ia adalah usaha rakyat tempatan terutama golongan belia yang mempunyai visi merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

“Pelaksanaan perkhidmatan e-hailing ini dijangka bakal mewujudkan kira-kira 5,000 lagi peluang pekerjaan bagi terutama dari segmen B40 (kumpulan pendapatan bawah 40 peratus). Perkhidmatan e-hailing sebenarnya dapat membantu menjadi pemangkin ke arah membangunkan industri baharu sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” kata Syed Saddiq.

“Saya juga diberitahu bahawa belia yang menyertai Dego Ride ini boleh mencapai pendapatan bulanan antara RM1,500 hingga RM3,000,” tambahnya lagi.

Aplikasi Dego Ride berkenaan boleh dimuat turun untuk pengguna Android dan iOS. Tambang yang ditetapkan menerusi apliksi tersebut adalah pada kadar RM3 untuk perjalanan sejauh 3 km dan tambahan RM1 bagi 1 km seterusnya.

Operasi Dego Ride dihentikan oleh kerajaan sebelum ini setelah mengambil kira faktor keselamatan kerana ketika itu 62.7% kematian akibat kemalangan jalan raya adalah disumbangkan oleh pengguna motosikal, dan di bawah Akta Jalan Raya, kenderaan dua roda tersebut juga tidak boleh digunakan bagi tujuan komersil.

Dalam laporan The Edge Market, Dego Ride yang dioperasikan oleh Myinteractive Sdn Bhd (MSB) telah menerima suntikan berjumlah RM7.51 juta dari pemilik rangkaian kedai serbaneka 24-jam 7-Eleven iaitu 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd. Sebelum ini, MSB dimiliki oleh Nabil Feisal Bamadhaj dengan pegangan 95.23%, namun setelah pembelian terhadap 490,030 pegangan baharu dengan harga RM15.33 seunit membolehkan 7-Eleven memiliki kepentingan sebanyak 46.45% dalam syarikat berkenaan.

Kerajaan telah bersetuju untuk menjalankan projek perintis (PoC) untuk program untuk e-hailing motosikal ini di sekitar Lembah Klang, bermula 1 Januari 2020, selama enam bulan. Dalam tempoh tersebut, penunggang dan motosikal mereka perlu mudah untuk dikenalpasti, ia tidak boleh berusia lebih dari lima-tahun, dan penunggang serta pembonceng perlu dilindungi insuran.

“Inisiatif kerajaan untuk menjalankan program PoC ini merupakan langkah positif dan tepat dengan langganan yang dicadangkan, kerana Dego Ride adalah satu-satunya syarikat Malaysia (selain GrabBike dari Singapura dan Gojek dari Indonesia) yang menunjukkan minatnya bagi menyertai program PoC itu,” kata 7-Eleven.

“PoC ini turut akan membolehkan kerajaan dan syarikat terlibat untuk mengumpulkan data, menilai tahap kesediaan dan permintaan serta perkhidmatan lain yang berkaitan dengan motosikal,” kata menteri pengangkutan Anthony Loke pada November lalu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required