Mercedes-Benz E-Class W213 facelift – perincian awal

Mercedes-Benz E-Class W213 facelift – perincian awal

Mercedes-Benz E-Class W213 ditunjukkan kali pertama waktu North American International Auto Show (NAIAS) 2016, dan sekarang memasuki tahun 2020, sedan eksekutif ini bakal menerima facelift yang pertama. Sebelum ia dilancarkan secara rasmi, pengeluar dari Jerman ini mendedahkan perincian awal untuk seteru BMW 5 Series ini.

Meskipun kereta yang ditunjukkan dalam gambar rasmi ini masih mempunyai pelekat samaran, kami masih boleh melihat perubahan gaya yang diberi. E-Class ini akan ditawarkan dengan beberapa pilihan pakej luaran seperti sebelum ini, termasuk Luxury Line, Avantgarde Line, Exclusive Line dan AMG Line.

Pada bahagian hadapan, terdapat gril yang lebih lebar dan rata, dengan rekaan bahagian dalam yang berbeza bergantung kepada pakej yang dipilih – AMG Line menggunakan gril diamond pin, Avantgarde mendapat gril dua jalur manakala Exclusive dan Luxury menggunakan gril tiga jalur dengan bahagian tengah berwarna krom (dua lagi jalur berwarna hitam).

Rekaan gril baru ini adalah perlu, bagi memadankannya dengan bentuk lampu baru, yang sekarang lebih tajam dan mempunyai lampu siang berbentuk L pada bahagian atasnya – rekaan hampir seperti CLS baru. Lampu utama jenis LED sekarang datang secara standard pada E-Class, dengan Multibeam disediakan sebagai pilihan tambahan.

Satu lagi perubahan bahagian luar adalah bonetnya, yang dibentuk semula untuk mengikut bentuk lampu baru, dan menampilkan dua jalur bonjol pada model Avantgarde dan AMG Line. Model Luxury Line dan Exclusive Line tidak mendapat bonjolan ini, tetapi model Exclusive Line mendapat logo hiasan di atas bonet.

Selain daripada itu, model dengan pakej Avantgarde, Exclusive dan Luxury juga menyaksikan bahagian bawah bampar yang lebih nipis, sementara pakej AMG Line terus mendapat rekaan yang lebih agresif, dengan “A-wing” membahagikan bahagian bukaan udara tengah di bawah dengan bukaan di tepi.

Pada bahagian belakang, E-Class facelift datang dengan penutup but baru untuk memadankannya dengan lampu baru yang sekarang lebih nipis dan mendatar. Rekaan bahagian bawah bampar adalah berbeza bergantung kepada pakej luaran yang dipilih, dan boleh datang dengan rekaan yang mempunyai seperti diffuser dan kemasan pada muncung ekzos.

Masuk ke dalam, perubahan paling ketara adalah pemasangan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX), yang datang standard dengan skrin 10.25 inci dan boleh dinaik taraf kepada unit 12.3 inci. Sama seperti model lain yang mempunyai MBUX, ia datang dengan pelbagai fungsi seperti bantuan digital, input skrin sesentuh dengan tambahan butang kawalan di konsol tengah, akses kepada servis atas talian, serta sambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

Mercedes-Benz E-Class W213 facelift – perincian awal

Selain daripada sistem MBUX, terdapat juga rekaan roda stereng baru, dengan versi AMG mendapat rekaan paling sporty yang mempunyai empat cabang dan bahagian bawah yang rata – model lain mendapat rekaan biasa. Mercedes-Benz juga telah memperbaiki ciri NVH model ini, dan menawarkan pelbagai pilihan kemasan bahagian dalam. Pada bahagian mekanikal, E-Class facelift akan ditawarkan dengan tujuh piihan enjin plug-in hybrid, serta pilihan enjin petrol dan diesel – pacuan empat roda disediakan sebagai pilihan untuk enjin tertentu.

Untuk sistem keselamatan, Active Distance Assist Distronic boleh mendapatkan informasi keadaan trafik semasa, dan melaraskan kelajuan kenderaan supaya berpatutan, manakala Active Traffic Jam Assist membantu pemandu mengekalkan kenderaan dalam lorong dan jarak selamat sehingga kelajuan 60 km/j. Sistem lain termasuk Active Steering Assist, Active Brake Assist dengan fungsi cross-traffic, Active Blind Spot Assist dengan amaran keluar, serta Parking Package dengan kamera 360 darjah.

Perincian tepat masih belum dikeluarkan oleh Mercedes-Benz, tetapi mereka ada memberitahu dua enjin baru akan menyertai barisan enjin lain, dengan yang pertama adalah unit empat silinder 2.0 liter M254 berkuasa 268 hp untuk menggantikan unit M274 sebelum ini.

Satu lagi enjin adalah unit enam silinder 3.0 liter M256 yang juga digabungkan dengan sistem hibrid ringkas, memberikan kuasa 362 hp. Enjin ini sudah pun digunakan pada CLS, GLE, S-Class serta E 53 AMG (model sebelum facelift). Kedua-dua enjin petrol ini dilengkapi dengan teknologi hibrid ringkas 48 volt dan starter-generator bersepadu untuk memberikan tambahan 20 hp dengan EQ Boost.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required