Tentera mula bantu polis laksana sekatan jalan raya, termasuk kawal pasaraya, dan pasar awam

Tentera mula bantu polis laksana sekatan jalan raya, termasuk kawal pasaraya, dan pasar awam

Seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dua hari lalu, hari ini seramai 7,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula membantu pihak polis dalam mengawal keadaan di dalam negara. Jumlah keanggotaan berkenaan merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu laut, udara dan darat.

“Anggota ATM ini ada yang dibekalkan dengan senjata ringan (M4) yang fungsinya hanya untuk memeriksa kenderaan bagi memastikan bahawa yang dibenarkan sahaja boleh melakukan perjalanan, selain untuk keselamatan anggota, dan bukannya niat untuk menakutkan orang awam,” ujar Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang menerusi laporan Bernama.

Affendi berkata sehingga kini selain membantu dalam sekatan jalan raya, anggota keselamatan itu turut akan mengadakan rondaan menggunakan kenderaan ronda tentera dan tiada keperluan menggunakan kenderaan atau senjata berat milik ATM.

Tentera mula bantu polis laksana sekatan jalan raya, termasuk kawal pasaraya, dan pasar awam

“Tiada keperluan untuk itu (menggunakan kenderaan berat) kami hendak memperkasakan Perintah Kawalan Pergerakan jadi tidak perlu pakai senjata berat. Kami bukan melawan musuh, kami jalankan tugas ketenteraman awam sahaja,” katanya.

Selain membantu melakukan sekatan jalan raya, anggota tentera dan polis juga akan memantau keadaan di pasaraya dan pasar awam memandangkan kedua-dua lokasi berkenaan masih dipenuhi orang ramai terutamanya yang mahu membuat pembelian panik. Malahan kerajaan juga telah memutuskan beberapa premis peniagaan yang dibenarkan beroperasi seperti kedai serbaneka, pasaraya dan stesen minyak tetapi dihadkan waktu operasi iaitu sehingga jam 7 malam sahaja.

Walau bagaimana pun, memasuki hari ke-lima Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masih kelihatan ramai individu yang berada di tempat awam dan jalan raya biar pun Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah acapkali bertitah menggunakan media sosial, televisyen dan radio untuk menyeru agar orang ramai duduk di rumah sepanjang PKP bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Tentera mula bantu polis laksana sekatan jalan raya, termasuk kawal pasaraya, dan pasar awam

Sikap degil segelintir masyarakat yang masih berpusu-pusu berkunjung ke pasar awam, ada yang masih berjoging di jalan raya dan sebagainya sangat mendukacitakan. Adakah kita mahu mengikut jejak langkah Itali yang telah mencatatkan peningkatan kematian mendadak akibat COVID-19?

Menurut Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador, sebelum ini sekitar 60% sahaja masyarakat yang mematuhi PKP, terkini jumlahnya telah meningkat sebanyak 90%, dan baki 10% itulah yang masih berdegil lagi.

Justeru, dengan bantuan anggota tentera ini, diharap mampu membantu pihak polis untuk mengawal keadaaan termasuk terlibat dengan pelaksanaan sekatan jalan raya dan rondaan di serata lokasi. Buat masa ini, tentera dan polis hanya memberikan nasihat kepada orang ramai yang masih kelihatan berada di luar rumah. Dalam gambar di atas juga, kelihatan anggota tentera dan polis memegang notis untuk orang awam mengurangkan pergerakan di luar rumah kecuali atas dasar urusan musabah mahu pun kecemasan.

Walau bagaimana pun, jika ada yang ingkar dan bertindak agresif termasuk mempertikaikan langkah PKP ini, maka tindakan susulan boleh diambil iaitu di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan (KK). Seksyen 186 KK berkaitan menghalang penjawat awam menjalankan kerja-kerja jawatannya, manakala Seksyen 188 KK berkaitan mengingkari perintah yang diisytiharkan, oleh penjawat awam.

Semalam, Kerajaan telah menetapkan bahawa hanya seorang individu dibenarkan untuk keluar dari rumah dan memandu untuk membeli barangan keperluan harian serta ubat-ubatan sepanjang PKP sehingga 31 Mac ini.

Sehingga jam 6.15 petang ini, sejumlah 1,306 kes jangkitan Covid-19 telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan, dengan 10 daripada mereka telah pun meninggal dunia. Di sini, kami di paultan.org sekali lagi ingin merayu kepada anda semua untuk sama-sama mematuhi PKP ini. Walau pun ia bukanlah Perintah Berkurung atau pun Lockdown namun tolonglah duduk di rumah sahaja dan elak keluar tanpa perkara mustahak mahu pun kecemasan.

Andai masih ramai yang enggan mematuhi arahan kerajaan dan jumlah kes jangkitan COVID-19 ini kian meningkat, tidak mustahil PKP akan dilanjutkan ke tempoh yang lebih lama. Pasti kita semua tidak mahu perkara ini berlaku. Dengan itu, TOLONGLAH BERTANGGUNGJAWAB demi kesejahteraan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required