Walaupun kini dunia sedang diancam penularan wabak COVID-19, ia tidak menghalang Polestar untuk memulakan produksi model baharu mereka iaitu Polestar 2. Crossover elektrik sepenuhnya tersebut akan dihasilkan di kilang mereka yang terletak di wilayah tenggara Zhejiang, dan akan dieksport ke pasaran luar seperti Eropah, Amerika Utara serta ke seluruh China sendiri.
“Dunia kini sedang menghadapi pergolakan yang besar akibat pandemik coronavirus. Kami mulakan produksi kami sekarang dalam keadaan yang mencabar ini, dengan fokus penuh terhadap kesihatan dan keselamatan pekerja kami. Ini merupakan pencapaian yang besar dan hasil usaha kuat dari staf dalam kilang dan pasukan yang dapat memastikan rantaian bekalan terus berjalan. Saya berikan penghormatan yang besar kepada keseluruhan pasukan – terima kasih kepada mereka!” kata CEO Polestar, Thomas Ingenlath.
Kilang Luqiao ini dimiliki oleh Zhejiang Geely dan dioperasikan oleh Volvo Cars. “Boleh menjalankan produksi di Luqiau bermakna kami boleh membawa Polestar 2 ke pasaran dengan standard penghasilan yang tinggi dan berkualiti bermula dari peringkat paling asas,” tambah Ingenlath lagi. Penghantaran untuk pelanggan pertama dijangka akan dibuat bermula Julai tahun ini.
Polestar 2 ini dihasilkan menggunakan asas Compact Modular Architecture (CMA) iaitu platform yang sama untuk Volvo XC40. Crossover dengan bentuk seakan sedan ini juga sebenarnya adalah versi produksi model konsep Volvo 40.2, dan bakal memberikan cabaran terus kepada Telsa Model 3.
Versi tertinggi Polestar 2 ini akan dijana oleh dua buah motor elektrik yang masing-masing berkuasa 204hp/330 Nm, dan diletakkan pada bahagian tengah serta gandar belakang. Ini menjadikannya sebagai sebuah crossover pacuan semua roda dengan bekalan kuasa keseluruhan 408 hp dan tork maksima 660 Nm.
Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai lima saat, dan bateri 78 kWj yang dibekalkan membolehkan ia bergerak sejauh 500 km (berdasarkan standard WLTP) dengan sekali cas.
Model ini juga hadir dengan pilihan Performance Pack yang memberikan peralatan prestasi tambahan seperti penyerap hentak dari Öhlins, brek dari Brembo, rim aloi forged berdiameter 20-inci, serta serlahan-serlahan berwarna emas pada tali pinggang keledar, angkup brek dan penutup injap angin tayar.
Dalam kabin, model ini diberikan skrin infotainmen 11-inci diletakkan dengan format potret berasaskan sistem Android, membolehkan ia menampilkan fungsi seperti Google Maps, Google Assistant, dan Google Play Store. Polestar 2 akan dijual pada harga 39,900 euros (RM192k) di Eropah untuk model asas, manakala versi lebih tinggi akan diperkenalkan 12 bulan selepas itu dengan harga 59,900 euros (RM288k).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.