Volvo dedah model konsep 40.1 dan 40.2, prebiu untuk SUV XC40 dan sedan S40 generasi seterusnya

Selepas imej teaser Snapchat disiarkan sebelum ini, Volvo akhirnya mendedahkan dua kereta konsep yang dibina mensasarkan pasaran untuk golongan yang lebih muda, Volvo 40.1 dan 40.2. Konsep dalam bentuk SUV dan Notchback tersebut akan diprebiu sebagai barisan untuk model paling kecil dalam keluarga Volvo iaitu siri 40, di mana versi produksi konsep tersebut dijangka akan menembusi pasaran tahun hadapan. Untuk itu, model konsep ini mungkin akan diperkenalkan dengan nama Volvo XC40 dan S40 untuk versi produksi kelak.

Kedua-dua kereta ini dibina berdasarkan platform Compact Modular Architecture (CMA), iaitu versi lebih kecil platform Scalable Product Architecture (SPA) yang digunakan oleh S90, V90 dan XC90 terbaharu. Platform terbaharu ini akan menamatkan kebergantungan Volvo terhadap Ford, di mana V40 sedia ada dibina berasaskan platform Global C yang turut digunakan pada Ford Focus.

Seperti yang disebut sebelum ini, kedua-dua model konsep tersebut dibina untuk pengguna yang lebih muda. Jadi rekaan kedua-duanya tidak seperti model-model lebih besar terbaharu Volvo seperti S90 dan XC90 yang lebih lembut, sebaliknya menampilkan rupa yang lebih tajam dan garang. Konsep sedan pada 40.2 dilihat lebih tersendiri, futuristik, dengan sepasang lampu hadapan “Tukul Thor” Volvo mengapit gril hadapan yang besar dan liang kemasukan hadapan berbentuk tulang ditempatkan di bahagian bawah.

Pada bahagian sisi, cermin tingkap depan dan belakang kelihatan seperti bersambung bersama cermin hadapan. Ruang arca yang besar dan lekukan yang dalam pada bahagian bawah pintu menjadikan rekaan sedan ini berada dalam kelasnya tersendiri. Rupa keseluruhan 40.2 ini juga mengingatkan pada S60 Cross Country, iaitu sebuah crossover sedan Volvo menampilkan roda yang besar dengan kelegaan tanah yang tinggi serta bahagian but yang direka pendek. Tiang-C yang lebar dengan lampu belakang berbentuk-C melengkapkan sedan ini dengan rekaan yang luar biasa.

Walau bagaimanapun, SUV 40.1 menampilkan rupa yang hampir kepada sebuah model produksi. Bahagian hadapannya direka dengan bentuk yang lebih konvensional dengan lampu hadapan berbentuk trapezoid, tiga unit liang kemasukan udara pada bampar hadapan dan bonet berbentuk kulit kerang. Permukaan badan kereta ini juga tampil dengan rekaan lebih lembut, dan bahagian belakangnya dilengkapi dengan lampu berbentuk seakan lampu belakang V90. Warna dua ton 40.1 ini juga memberikan imej yang lebih ‘funky‘.

Barisan model baharu ini dijangka akan menggunakan enjin Drive-E 2.0 liter empat silinder dan juga enjin 1.5 liter turbo tiga silinder petrol dan diesel. Model ini juga berkemungkinan akan dikuasakan dengan enjin T5 Twin Engine plug-in hybrid berkuasa 180 hp dari enjin tiga-silinder dan digabungkan dengan motor elektrik 55 kW, menghasilkan kuasa keseluruhan 250 PS dengan tork maksima hampir 400 Nm dialirkan kepada kotak gear klac berkembar.

“Model siri 40 baharu ini mempunyai potensi untuk memperbaiki pasaran kami dalam segmen penting yang sedang berkembang,” kata presiden dan CEO Volvo Håkan Samuelsson. “Program unit janakuasa elektrik termasuk kedua-dua enjin kompak Twin Engine plug-in hybrid dan juga elektrik sepenuhnya juga akan menjana platform CMA ini,” tambah beliau lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required