Seperti yang kita tahu, Itali antara negara yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia – kini di tangga kedua selepas Amerika Syarikat dengan kes positif melebihi 100,000 direkodkan. Sebagai sebuah kilang yang menghasilkan kereta banyak menggunakan tangan, Lamborghini tidak mempunyai masalah untuk menukar operasi sebahagian divisinya untuk memproduksi dua peralatan pelindung diri yang penting untuk memerangi wabak ini iaitu topeng dan pelindung muka.
Kini, divisi upholsteri Lamborghini yang sebelum ini menghasilkan komponen-komponen dalaman Supercar Itali berkenaan ditugaskan untuk membuat topeng muka, dengan jumlah 1,000 unit sehari. Manakala dengan kelengkapan pencetak 3D yang telah sedia ada di bahagian produksi komponen gentian karbon dan juga R&D kilang tersebut, membolehkan mereka menghasilkan 200 pelindung muka plexiglass setiap hari.
Inisiatif yang diambil Lamborghini ni telah diluluskan dan disokong oleh pihak berkuasa Emilia-Romagna, dengan kerjasama Universiti Bologna.
Nampak bergaya betul topeng muka berwarna tan dengan tag Lamborghini tersebut kan? Ini bukan aksesori eksklusif yang akan dijual oleh Lamborghini, tetapi kedua-duanya diiktiraf sebagai peralatan-peralatan perubatan dan ujian pengesahannya dipantau oleh Jabatan Perubatan dan Sains Pembedahan Itali. Kesemua topeng dan pelindung muka tersebut akan dibekalkan kepada barisan hadapan petugas kesihatan di Hospital Sant’Orsola-Malpighi, Bologna.
“Ketika waktu kecemasan ini, kami rasa kami perlu hulurkan bantuan yang konkrit. Hospital Sant’Orsola-Malpighi merupakan institusi yang telah kami jalankan kerjasama sejak sekian lama, menerusi konsultasi professional dalam program kesedaran untuk kesihatan pekerja kami, dan juga dalam projek penyelidikan,” kata pengerusi dan CEO Automobili Lamborghini, Stefano Domenicali.
“Kami akan menang perang ini dengan bekerjasama, menyokong barisan hadapan yang berperang dengan pandemik ini setiap hari,” tambahnya lagi. Sebagai solidariti untuk menyokong seluruh negara ketika berhadapan dengan situasi sukar ini, Lamborghini turut memasang lampu dengan warna bendera Itali setiap malam.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.