VIDEO: Mazda RX8 dari Thailand dengan enjin Toyota 2JZ dan kotak gear DCT 7-kelajuan Getrag BMW M3

Thailand memang terkenal dengan kepakaran mereka mengubahsuai enjin Toyota 2JZ-GTE, iaitu enjin yang dikenali sebagai enjin standard pada Toyota Supra generasi keempat JZA80. Di sana, anda tak perlu hairan jika ternampak enjin 2JZ ini duduk di dalam perut Nissan Cefiro atau Nissan Skyline, kerana ia adalah normal.

Video yang anda lihat di atas adalah salah satu contoh lagi betapa popularnya enjin 2JZ ini di Thailand, sehinggakan pemilik Mazda RX8 ini, Pon Naruepon dari Bangkok membuang enjin Rotary Genesis 13B asal pada kereta berkenaan dan digantikan dengan enjin Toyota tersebut. Tapi apa yang tidak normal adalah kotak gearnya – ia kini menghantar kuasa ke roda belakang menerusi kotak gear klac berkembar automatik 7-kelajuan dari Getrag yang diambil dari BMW M3 E92!

Berdasarkan gambar-gambar yang dikongsikan, kotak gear BMW tersebut dapat digandingkan dengan enjin Toyota dalam badan Mazda ini menggunakan satu plat penyuai yang dibuat secara custom – ini bukan sesuatu yang pelik kerana cara ini telah digunakan di serata dunia sejak sekian lama.

Apa yang pelik, bagaimana kotak gear yang penuh dengan sistem elektronik ini boleh berfungsi dengan sistem mekanikal yang penuh dengan gandingan-gandingan ‘rojak’. Rahsianya, enjin dan kotak gear ini dikawal dengan kotak komputer jenis stand alone dari Sweden iaitu MaxxEcu bagi membolehkan perkara sihir dan khurafat ini menjadi kenyataan.

Pon menggunakan MaxxEcu dari siri Pro yang sememangnya mempunyai fungsi untuk mengawal kotak gear DCT. Ia bukan sahaja membolehkan transmisi tersebut berfungsi semata-mata, malah talaan karekter penukaran gear turut boleh diubah, serta membekalkan fungsi-fungsi lain seperti launch control yang boleh berfungsi ketika pegun atau bergerak!

Dalam video di atas anda boleh lihat Pon mendemonstrasikan fungsi tersebut yang boleh dioperasikan menerusi butang untuk menjawab telefon pada roda stereng yang telah diubahsuai. Gear juga boleh ditukar secara manual dengan kelajuan 0.080 saat menerusi pedal penukar gear yang dipasang di belakang roda stereng berkenaan. Bagi memberikan penghantaran kuasa yang lebih baik dan panjang, nisbah gear akhir pada gandar belakang dari 4.1 kepada 3.1 yang diambil dri Nissan Skyline.

VIDEO: Mazda RX8 dari Thailand dengan enjin Toyota 2JZ dan kotak gear DCT 7-kelajuan Getrag BMW M3

Walaupun spesifikasi Mazda RX8 ini seakan Frankenstein di atas kertas, tipikal kereta ubahsuai Thailand, ia masih lagi tampil dengan rupa yang cukup kemas – bukan sahaja boleh membuatkan orang ternganga dengan kelajuannya di litar, ia juga mungkin boleh menang dalam acara-acara autoshow.

Enjin 2JZ tersebut diletakkan dengan cukup kemas dalam ruang enjin, dengan wayar dan komponen lain yang disusun rapi, pilihan warna-warna yang seimbang dan unit turbo sebesar pasu bunga yang kelihatan seakan baru keluar dari kotak – dalam video yang disiarkan oleh saluran Youtube RaceBoyz sebelum ini menyebut ia mampu menghasilkan kuasa sekitar 700 hp.

Begitu juga pada bahagian dalaman, di mana tombol gear BMW tersebut nampak seakan memang keluar dari kilang Mazda, manakala unit hiburan dari era cakera padat telah digantikan dengan skrin infotainmen yang turut dapat memaparkan informasi-informasi enjin dan kotak gear menerusi aplikasi MaxxEcu yang telah diimplementasikan.

Pada bahagian luaran pula, RX-8 ini diberikan kit badan lebar Pandem Rocket Bunny, lengkap dengan sayap GT bersaiz gergasi di belakang. Pon juga memilih skema warna merah-hitam seakan livery Tomica pada kereta lumba ikonik Nissan Skyline R30 Super Silhouette Group 5 yang dipandu lagenda Nissan, Masahiro Hasemi ketika era Japan GP 80’an dahulu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required