Bagi mengubati kekecewaan pelumba-pelumba dan peminat yang sudah bersiap untuk acara MSF Superturismo dan MSF Superbikes yang kini terpaksa ditangguhkan akibat wabal Covid-19 dan juga PKP, maka lahirlah idea perlumbaan alam maya yang dikenali sebagai MSF Cyberturismo oleh pihak penganjur. Ia merupakan sebuah acara perlumbaan secara atas talian yang telah dimulakan dan mendapat sambutan menggalakkan.
MSF Cyberturismo ini merupakan siri kejuaraan bersifat liga. Setiap pemenang akan diberikan mata kejuaraan. Setelah berjaya mengumpul mata kejuaraan terbanyak, pemenang kelompok atas dihimpunkan di pusingan akhir nanti untuk menentukan kejuaran.
Hanya kedudukan lima teratas akan berentap di pusingan akhir. Dari sudut peraturan teknikal, semua peserta yang bersaing di dalam permainan alam maya GT Sports wajib menggunakan kereta yang di dalam kumpulan n200, tiada bantuan pemanduan, tiada ABS, dan tiada bantuan pengendalian.
Bagi peraturan perlumbaan pula, semuanya menggunakan amalan sebenar dalam siri perlumbaan MSF Superturismo sendiri. Tujuannya, selain daripada memastikan perlumbaan ini rapat dan sengit semaksima mungkin, ia juga dapat memberikan gambaran jelas bagaimana perlumbaan MSF Superturismo sebenar berlangsung.
Hasilnya, ada dua kategori dipertandingkan; MSF CT Open yang menghimpunkan mereka yang tidak pernah sama sekali berlumba di litar sebenar (jaguh di alam maya) dan kedua, kategori MSF ST Racers bagi pelumba sebenar di litar. Di peringkat pelancarannya, MSF Cyberturismo menerima sebanyak 100 penyertaan dari seluruh negara – lebih menarik apabila ia turut mendapat penyertaan daripada pelumba MSF Superbikes.
Pusingan pelancaran berjaya dijalankan selama dua hari meskipun kelajuan internet sedikit terganggu. MSF Cyberturismo tidak hanya bersaing di satu litar sahaja; ia akan berlangsung di enam litar. Pusingan pelancaran menggunakan di litar lagenda Tsukuba.
Pusingan seterusnya, iaitu pusingan pertama akan diumumkan sedikit masa lagi di halaman rasmi Facebook MSF Series. Litar yang dipilih pula akan diumumkan dalam masa 24 jam sebelum perlumbaan berlangsung. Ia bertujuan untuk menjadikan persaingan lebih sengit dan adil untuk semua peserta.