Honda Orthia – jelmaan Civic EK9 Type R versi wagon

Honda Orthia – jelmaan Civic EK9 Type R versi wagon

Kita di Malaysia selalunya akan jumpa Civic generasi keenam (kod casis EK dan EJ) dalam dua bentuk badan iaitu sedan empat pintu dan hatchback tiga pintu. Ramai juga yang tahu bahawa model generasi ini turut dihasilkan dalam bentuk coupe dua pintu untuk pasaran Amerika Syarikat. Namun tahukah anda, Civic ini turut ditawarkan dalam bentuk wagon?

Ya, ia memang wujud dalam bentuk wagon dikenali sebagai Honda Orthia dengan kod casis EL, dan model wagon ini sebenarnya khas dihasilkan untuk pasaran domestik Jepun. Manakala Orthia yang anda lihat ini pula telah diimport oleh seorang warga Thailand, dan set foto ini telah diambil oleh jurugambar juga dari negara tersebut iaitu Plub Persimmon dan dikongsikan menerusi laman facebook fotografi automotif miliknya yang diberi nama PSM.

Untuk pengetahuan anda, walaupun Orthia ini adalah EK versi wagon, muka asalnya tidak sama langsung dengan EK sedan atau hatchback. Ia menerima rekaan muka yang lebih mirip kepada Honda CR-V generasi pertama, iaitu SUV yang turut diasaskan dari platform Civic EK.

Honda Orthia – jelmaan Civic EK9 Type R versi wagon

Manakala Orthia putih ini pula telah menerima muka yang disalin sepenuhnya dari Honda Civic Type R EK9 versi facelift tahun 1999 – membuatkan ia seakan benar-benar EK9 wagon yang dihasilkan oleh Honda sendiri. Untuk pengetahuan anda juga, dalam keadaan standard, Orthia JDM ditawarkan dengan enjin 1.8L B18B dan juga 2.0L B20B.

Walaupun kepada silinder untuk kedua-dua enjin tersebut hadir dengan sistem aci sesondol berkembar, tiada sistem VTEC dibekalkan pada enjin wagon ini, seperti enjin B20B pada Honda CR-V. Namun nampaknya wagon di Thailand ini sudahpun menerima perubahan yang ekstensif – tidak tahulah ia menggunakan enjin B16A, B16B atau B18C, atau sekadar menukar kepala silinder, apa yang pasti sistem DOHC VTEC nampaknya telah bertapak di atas blok enjin berkenaan.

Ubahsuai lain yang turut boleh dilihat adalah pada sistem breknya. Angkup asal brek hadapan kereta ini telah ditukar dengan angkup berwarna biru dari penala hardcore Honda dari Jepun iaitu Spoon, bersama cakera yang dilarik dengan diameter lebih besar dari standard.

Sistem brek tersebut berselindung disebalik set rim 16-inci Volks Racing CE28, bersalut tayar Toyo Proxes R1R bersaiz 205/45R16. Rel bumbung pada Orthia ini masih lagi dikekalkan bagi mengekalkan imej sebuah wagon.

Dalam kabin, Orthia ini diberikan papan pemuka EK9 Type R lengkap bersama panel meter model prestasi penuh tersebut. Roda stereng asal tidak lagi digunakan bagi membolehkan roda stereng balutan kulit tiga-jejari keluaran Momo yang dihasilkan untuk Spoon. Tempat duduk asal hadapan juga ditukar, kini menggunakan sepasang tempat duduk Recaro Top Fuel.

Berminat? Sekarang bolehlah usya laman-laman kereta lelong Jepun. Dan ingat jangan pakai kata kunci ‘Civic EK Wagon’ atau cari gambar sebuah wagon dengan muka EK yang anda kenal, memang tak jumpa kerana di Jepun kereta ini memang dikenali sebagai Honda Orthia dengan muka yang unik.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required