Perintah berkurung yang dilaksana di India berikutan pandemik Covid-19 nampaknya memberikan kesan besar kepada industri automotif di negara itu. Menurut laporan Bloomberg dan The Times of India, tiada satu pun kenderaan yang dijual dalam negara itu sepanjang bulan April lalu.

Perdana menteri India, Narendra Modi mengumumkan perintah berkurung selama 21 hari bermula 25 Mac, dan kemudiannya ia telah disambung lagi sehingga 17 Mei tetapi dengan beberapa kelonggaran diberi bermula 4 Mei.

Pengeluar kenderaan utama di negara itu seperti Maruti Suzuki dan Mahindra & Mahindra tidak menyerahkan sebarang kenderaan kepada pelanggan di dalam negara bulan lepas, sementara syarikat lain seperti Hyundai Motor India, Tata Motors, Ashok Leyland, Toyota Kirloskar Motor dan Honda Cars India juga melaporkan keadaan yang sama.

“Di Mahindra, kami bekerja rapat dengan semua pihak berkepentingan, terutamanya pengedar dan pembekal untuk memulakan kembali ekosistem sebaik perintah berkurung ini ditamatkan,” kata ketua pegawai eksekutif bahagian automotif Mahindra & Mahindra, Veejay Nakra.

Menurut data daripada Society of Indian Automobile Manufacturers (SIAM), pengeluar kenderaan dalam negara tersebut menjual 2,773,575 kenderaan penumpang bagi tahun kewangan 2019-2020 (berakhir 31 Mac 2020), dan jumlah ini adalah kurang berbanding tahun sebelumnya (tahun kewangan 2018-2019) iaitu 3,377,389. Dengan catatan bulan April yang terus kosong, tahun kewangan 2020-2021 pastinya sekali lagi menunjukkan penurunan.

Walaupun tiada jualan bagi pasaran domestik, beberapa syarikat masih berjaya menjual kenderaan kepada pasaran eksport selepas operasi kembali berjalan, termasuk Maruti Suzuki (632 units), Mahindra & Mahindra (733 units) dan Hyundai (1,341 units).