Mazda 2 facelift 2020 mula diperkenalkan di Malaysia pada Mac lalu. Kini, dengan bilik pameran yang mula dibuka semula, kami bawakan galeri terperinci model segmen B berkenaan. Ia merupakan unit CBU dari Thailand, dan dijual pada harga RM103,670 atas jalan tanpa insurans bagi kedua-dua jenis hatchback dan sedan.

Mazda 2 menggunakan enjin SkyActiv-G 1.5 liter empat-silinder petrol yang menghasilkan 114 hp pada 6,000 rpm dan 149 Nm tork pada 4,000 rpm. Ini digandingkan pula dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan yang mengantar kuasa ke roda hadapan.

Antara perubahan yang diberikan adalah dari segi penggayaan dengan gril krom yang lebih tebal dan tidak lagi dilanjutkan ke lampu utama – lebih mirip kepada Mazda 6. Rekaan lampu utama juga diberi sentuhan baru, juga pada bahagian bawah bampar dengan dua inlet yang lebih tirus dengan jalur krom di sudutnya.

Di belakang versi hatchback, jalur sama pada bampar turut kelihatan, ditambah dengan satu kawasan kecil daripada plastik hitam. Versi sedan juga menampilkan rekaan bampar diperbaharui, dengan kemasan yang terletak pada ruang bukaan udara dan diapit dengan reflektor/lampu kabus.

Kelengkapan standard lain terdiri daripada rim aloi 16-inci dengan tayar 185/60, lampu utama LED larasan automatik dengan DRL khas, lampu belakang jenis bulb, serta lampu kabus belakang dan lampu undur jenis bulb untuk sedan dan LED untuk hatchback.

Lain-lain ciri termasuk sistem tanpa kunci, Active Driving Display berwarna, paddle shifter, mod Sport, kawalan pendingin zon tunggal, larasan kerusi depan manual dan sistem Mazda Connect tujuh-inci dengan Commander Control.

Kemaskini terbaru juga melibatkan tambahan Apple CarPlay dan Android Auto, serta kemasan kulit biru/kelabu untuk kerusi dan kabin yang menggantikan material hitam. Kerusi juga diberi struktur baru. Tambahan terbaru lainnya ialah sistem G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) – sebelum ini hanya GVC.

Kelengkapan keselamatan masih kekal seperti versi sebelumnya, melibatkan dua beg udara, ABS, DSC, EBD, Emergency Brake Assist, Traction Control System, Emergency Stop Signal, Hill Launch Assist dan Isofix.

Jaminan lima-tahun/100,000 km dan servis percuma lima-tahun/100,000 km sudah termasuk sekali di dalam harga. Pilihan warna terdiri daripada Ceramic Metallic, Eternal Blue Mica, Jet Black, Machine Grey, Snowflake White Pearl, Sonic Silver, Soul Red Crystal, Titanium Flash, Deep Crystal Blue dan Polymetal Grey (bagi sedan tiada warna Deep Crystal Blue dan Polymetal Grey).

Bagi warna Soul Red, tambahan RM500 dikenakan, sementara pilihan lain seperti sistem kad SD navigasi (RM1,270) dan filem penapis haba (RM1,900) akan ditambah. Perincian lanjut bagi model ini boleh diperoleh di CarBase.my.

Mazda 2 Hatchback FL 2020

Mazda 2 Sedan FL 2020