Bermaz Motor telah pun melancarkan Mazda 2 facelift 2020 untuk pasaran Malaysia, yang ditawarkan dalam bentuk sedan dan hatchback, namun kedua-duanya memiliki spesifikasi yang sama. Harganya juga sama iaitu RM103,670 atas jalan tanpa insurans, menjadikan model baharu ini RM9,000 lebih mahal berbanding model semasa pra-facelift. Seperti sebelum ini, Mazda 2 juga merupakan model import sepenuhnya (CBU) dari Thailand.

Secara mekanikalnya, ia masih dipadankan dengan enjin petrol 1.5 liter SkyActiv-G naturally-aspirated empat-silinder dan didatangkan bersama transmisi automatik torque converter SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Penjana kuasa ini turut didatangkan dengan teknologi melahu Mazda i-Stop, dengan hamburan kuasa hingga 114 hp pada 6,000 rpm dan tork 149 Nm pada 4,000 rpm, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan.

Penggayaannya juga telah disemak semula dan diberikan imej yang lebih segar termasuklah dengan gril krom yang lebih tebal tanpa potongan ke lampu utama, bersama rekaan yang lebih menyerlah, lebih kurang sama dengan Mazda 6. Rekaan gril baharu juga menyaksikan lampu utama yang dibentuk semula, sementara apron bawah pula menerima corong yang lebih nipis disambungkan oleh dua jaluran krom.

Jaluran tersebut juga kelihatan pada bampar belakang untuk versi hatchback, dan sebahagian daripada apron bawah itu kini didatangkan dengan plastik hitam pekat yang lebih kecil. Sementara untuk sedan pula, menerima rekaan bampar yang lebih ekspresif dengan kepingan krom, yang disambungkan dengan sepasang reflektor.

Bagi kelengkapan luaran, Mazda 2 didatangkan dengan roda aloi 16-inci yang dibaluti tayar profil 185/60, lampu utama LED larasan-auto dengan lampu nyalaan siang (DRL) signitur, lampu belakang jenis mentol, serta jenis-mentol (sedan) atau unit LED (hatchback) untuk lampu kabus belakang dan lampu undur.

Lain-lain ciri termasuklah kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, Paparan Pemanduan Aktif berwarna (paparan utama), pedal penukar gear, mod Sport, kawalan suhu zon-tunggal, larasan manual untuk tempat duduk hadapan, dan sistem infotainmen Mazda Connect tujuh-inci dengan Commander Control.

Ciri baharu untuk model 2020 ini termasuklah sokongan Apple CarPlay dan Android Auto untuk sistem infotainment, bersama kulit upholstery biru/kelabu menggantikan kulit hitam pada model sebelumnya. Tempat duduknya juga distrukturkan semula bagi meningkatkan deria keseimbangan pemandu.

Lain-lain tambahan termasuklah sistem Mazda G-Vectoring Control Plus (GVC Plus), yang dipertingkatkan berbanding sistem GVC sebelum ini. Larasan baharu memberikan pergerakan kenderaan yang lebih lancar bukan hanya tork enjin yang berbeza-beza sebagai tindak balas kepada input stereng, tetapi juga dengan tork pemvektoran oleh brek.

Tiada perubahan untuk kit keselamatan, masih mengekalkan dua beg udara (untuk pemandu dan penumpang hadapan), ABS, DSC, EBD, Bantuan Brek Kecemasan, Sistem Kawalan Cengkaman, Isyarat Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki, dan cagak Isofix untuk tempat duduk belakang.

Sekali dimalumkan, Mazda 2 2020 ini dijual pada harga atas jalan RM103,670 dan didatangkan dengan waranti lima-tahun/100,000 km dan penyelenggaran percuma untuk lima-tahun/100,000 km. Ia turut ditawarkan dengan 10 warna untuk hatctbackCeramic Metallic, Eternal Blue Mica, Jet Black, Machine Grey, Snowflake White Pearl, Sonic Silver, Soul Red Crystal, Titanium Flash, Deep Crystal Blue dan Polymetal Grey.

Walau bagaimana pun, versi sedan hanya didatangkan dengan lapan pilihan warna, tanpa Deep Crystal Blue dan Polymetal Grey. Pelanggan yang mahukan model segmen-B ini dengan kemasan warna Soul Red Crystal perlu membayar kos tambahan sebanyak RM500, dan senarai pilihan lain yang ditawarkan termasuklah kad SD navigasi untuk sistem infotainmen (RM1,270) dan lapisan cermin keselamatan (RM1,900).

GALERI: Mazda 2 Hatchback XD Sports 2020 (spesifikasi Thailand)