Peugeot 208 ungguli Kereta Tahunan Eropah 2020

Peugeot 208 baharu telah dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Eropah 2020, mengetepikan dua kereta elektrik Tesla Model 3 dan Porsche Taycan. 208 generasi kedua yang diperkenalkan pada Februari tahun lalu, telah menerima sejumlah 281 mata dan 17 undian tempat pertama.

Walau pun menerima undian yang sama di tempat pertama, Tesla hanya memperoleh 242 mata secara keseluruhan, sementa Taycan menerima 222 mata. Tempat ke-empat diduduki oleh Renault Clio V dengan 211 mata.

Lain-lain finalis termasuklah Ford Puma (209 mata), Toyota Corolla (152 mata) dan BMW 1 Series F40 (133 mata). Penjurian diadili oleh 58 wartawan permotoran daripada 23 negara merentasi benua terbabit.

Anugerah tahunan ini selalunya dipersembahkan dalam penganjuran Geneva International Motor Show, namun acara berkenaan terpaksa dibatalkan disebabkan penularan wabak Covid-19. Jadi acara COTY ini hanya dipersembahkan menerusi secara dalam talian.