Peugeot 208 2019 hadir dengan model elektrik 340 km

Peugeot 208 2019 hadir dengan model elektrik 340 km

Nampak gayanya pasaran hatchback segmen-B kian sibuk tahun ini, dengan beberapa model baharu dijadualkan akan diperkenalkan pada 2019. Antara yang terawal diperkenalkan di pasaran ialah Peugeot 208, yang direka semula untuk bersaing dengan model terkini Volkswagen Polo dan Ford Fiesta.

Ia dibangunkan dengan senibina Common Modular Platform (CMP) terbaharu dari PSA Group, dan ini merupakan pertama kali ia direka dengan elektrifikasi selengkapnya.

Bercerita tentang gaya penampilannya, ia hadir dengan kebanyakan sudut rekaannya yang dipinjamkan dari sedan 508 baharu . Dengan model yang lebih besar, lampu utamanya tampil dengan pencahayaan yang lebih dramatik untuk mencapai keseluruhan tinggi bampar, dan sesetengah varian turut menerima lampu “three-claw” LED penuh. Gril enam-poin besar turut ditampilkan memberikan pandangan yang lebih tajam, dengan padanan corong udara berbentuk-U dan logo 208 di atasnya.

Peugeot 208 2019 hadir dengan model elektrik 340 km

Untuk cermin hadapannya, ditolak sedikit ke belakang untuk memberikan hadapan yang lebih panjang bagi 208 ini, dengan sisi yang bersimbah dengan tingkap cahaya yang separa menegak memberikan pandangan yang lebih menguja. Malah kehadiran gerbang roda hitam pada versi GT Line dan GT, didatang dengan roda aloi 17-inci.

Manakala bahagian belakangnya pula, kelihatan panel hitam bersaiz penuh, seperti yang ditampilkan pada 508, 3008 dan 5008, dengan lampunya yang sama, turut memiliki rekaan “three-claw”. Plat nombornya pula telah dipindahkan ke bampar, yang turut kelihatan diffuser hitam berkilat dengan paip ekzos berkembar.

Pilihan warna pula kini dihadirkan dengan kuning Faro metalik, biru Vertigo dengan tiga lapisan coating dan merah Elixir. Kini hanya versi lima-pintu sahaja yang ditawarkan, tiada lagi model tiga-pintu.

Peugeot 208 2019 hadir dengan model elektrik 340 km

208 yang mula memperkenalkan konsep dalaman Peugeot i-Cockpit, dan model yang terkini telah mengangkat keseluruhan tahap baharu. Masih kelihatan kluster instrumen yang ditempatkan sedikit tinggi di atas roda stereng, tetapi kini ditampilkan dengan paparan digital tiga-dimensi golografik sebagai pilihan.

Turut ditampilkan dengan skrin sesentuh tegah yang besar, didapati dengan versi lima-, tujuh- dan 10-inci, bergantung pada varian. Pembeli juga boleh memilih navigasi TomTom, fungsi Mirror Screen yang menyokong MirrorLink, Apple CarPlay dan Android Auto, serta empat soket USB – termasuk satu untuk Type C.

Peugeot turut memperkenalkan beberapa ruang storan ekstra, termasuk satunya pada konsol tengah di mana anda boleh mengecas telefon bimbit secara tanpa wayar atau meletakkan barangan kecil di dalamnya. Papan pemuka sentuhan lembut pula ditampilkan di rak kedua bagi model Active dan yang ke atas.

Peugeot 208 2019 hadir dengan model elektrik 340 km

Untuk aspek keselamatan, 208 didatangkan dengan teknologi terkini, termasuk brek kecemasan sendiri (dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal pada waktu siang dan malam), kawalan kelajuan aktif (dengan stop-go untuk model automatik), bantuan posisi lorong, bantuan kekal lorong aktif, bantuan parkir penuh, pemantauan titik buta, pengesan isyarat trafik dan lampu tinggi auto. Malah brek parkir elektronik juga telah menggantikan brek tangan manual.

Peugeot berkata dengan senibina CMP, syarikat ini mampu mengehadkan emisi karbon dioksida bagi 208, hasil pengurangan berat sehingga 30 kg, menambahbaik aerodinamik, mengurangkan rintangan olengan, dan mengoptimakan penjana kuasa. Ia turut mendakwa tahap getaran dan bunyi bising juga dapat dikurangkan untuk kereta ini.

Barisan enjin juga telah dicantas, dengan hanya ada satu enjin petrol yang ditawarkan – 1.2 liter PureTech tiga-silinder dengan menawarkan 75 hp, 100 hp dan 130 hp, semua dengan fungsi start/stop automatik dan dipadankan sama dengan kotak gear manual lima-kelajuan (74 hp), manual enam-kelajuan (100 hp) dan auto baharu lapan-kelajuan (100 hp, 130 hp). Dalam sesetengah pasaran (mungkin pasaran kita juga), ia turut menawarkan kotak gear auto enam-kelajuan.

Peugeot 208 2019 hadir dengan model elektrik 340 km

Untuk yang memilih varian diesel, ditawarkan dengan enjin 1.5 liter BlueHDi empat-silinder 100 hp, dan berita yang paling gempak sekali, Peugeot turut menawarkan versi elektrik yang dipanggil e-208. Ia mampu menghasilkan 136 hp dan tork 260 Nm dari motor elektrik tunggal, memberikan pecutan sifar ke 100 km/j dalam 8.1 saat dan paling mengujakan ia mampu mencapai sehingga jarak 340 km, dengan kiyaran WLTP.

Dengan bateri 50 kWh, ia memiliki 200 liter volume, yang ditempatkan di bawah lantai tanpa kompromi dengan ruang dalaman dan but. Pengecasan sekitar 16 jam menerusi soket domestik, atau lima jam 15 minit dengan wallbox tiga-fasa 11 kW (lapan jam untuk fasa-tunggal 11 kW). Sebagai alternatif, pemandu boleh menggunakan pengecas awam 100 kW yang mampu menyalurkan 80% untuk pengecasan dalam 30 minit.

e-208 dilengkapi dengan gril sama warna dengan badan, lencana singa biru, aloi 17-inci dengan kemasan unik dan upholstery kelabu Alcantara/Greval sentuhan 3D.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required