Toyota Yaris – ramai yang menyatakan bahawa muka hatchback ini menerima rekaan terlalu sibuk, malah ada juga yang tidak berapa menggemarinya kerana terlalu seiras dengan kembar sedannya iaitu Vios. Namun nampaknya ia bakal berubah menerusi versi facelift selepas ini.

Portal automotif Argentina, Parabrisas telah mendedahkan bahawa Toyota telah pun memfailkan rekaan paten untuk Toyota Yaris facelift di negara berkenaan. Nampaknya, Yaris facelift tersebut bakal menerima rekaan bampar hadapan baharu dengan ‘mulut’ seperti Corolla dan Yaris pasaran Eropah, serta diberikan elemen gril sarang lebah yang lebih sporty.

Bampar belakang turut menerima sentuhan semula dengan rekaan ala-diffuser pada bahagian bawah sebelum ini diubah dengan rupa yang lebih ringkas tetapi masih nampak garang. Namun, selain dari perubahan pada bampar, rekaan lain termasuk lampu hadapan dan belakang nampaknya masih kekal sama seperti sebelum ini.

Selain dari negara-negara Amerika Selatan, Yaris yang dihasilkan dari sedan Vios ini juga dipasarkan di negara-negara ASEAN termasuk Malaysia. Jadi berkemungkinan besar kita juga bakal menerima kemaskini rekaan yang sama pada masa akan datang.

Walau bagaimanapun, Parabrisas turut melaporkan bahawa Toyota turut telah mendaftarkan paten untuk Toyota Yaris generasi baharu yang dibina dari platform TNGA-B yang dihasilkan untuk pasaran Jepun dan Eropah. Portal berkenaan turut menyatakan, model ini mungkin akan masuk ke pasaran Argentina seawal 2021.

GALERI: Toyota Yaris 1.5G pasaran Malaysia