Berikutan statistik kes kemalangan maut yang berpunca dari pemandu mabuk makin meningkat, kebanyakan rakyat Malaysia mahu kerajaan menetapkan hukuman paling maksimum termasuklah gantung sampai mati atau pun penjara seumur hidup, jika disabit kesalahan.
Walau pun ketetapan hukuman yang lebih berat akan dilaksanakan hasil pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung dengan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah tidak lama lagi (diharap kerajaan Pakatan Nasional berjaya melaksanakannya), bagaimana dengan nasib keluarga mangsa yang ditinggalkan. Nasib balu yang kematian suami, anak-anak yatim (ada yang yatim piatu) setelah kematian ibu bapa akibat dilanggar oleh pemandu mabuk. Adakah nasib mereka ini bakal terbela setelah si pelaku dikenakan hukuman setimpal?
Menerusi program ‘Selamat Pagi Malaysia’ terbitan RTM yang disiarkan pagi tadi, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata mangsa atau ahli keluarga boleh mengemukakan tuntutan sivil bagi menuntut pembelaan atas kecuaian pemandu mabuk yang menyebabkan kecederaan atau kematian.
“Pihak polis hanya melakukan siasatan berpandukan peruntukan undang-undang dalam menentukan pihak mana yang melakukan kesalahan atau kecuaian. Pihak keluarga mempunyai hak untuk membuat tuntutan sivil dan berjumpa pihak guaman yang akan membantu memfailkan saman sivil berkenaan.
“Mungkin dengan cara itu boleh membantu pihak keluarga mangsa. Namun, ia bergantung kepada sejauh mana pembuktian kecuaian yang akan diputuskan mahkamah,” katanya seperti juga yang dilaporkan oleh Berita Harian.
Beberapa hari lalu, seorang peguam, Mufarwa Farid dari Messrs Hanif Hassan & Co, telah menulis menerusi laman Facebook beliau mengenai cara untuk keluarga si mati mendapatkan ganti rugi daripada pemandu mabuk ini.
Menurut Mufarwa, sekiranya keluarga mahu menyaman pemandu mabuk tersebut biar pun kes jenayah ini masih berlangsung, ini tidak mendatangkan sebarang masalah.
“Ini bermakna, pemandu mabuk ni akan menghadap dua mahkamah berbeza. Satu, mahkamah yang membicarakan kes jenayah dia. Dua, mahkamah yang bicarakan kes saman keluarga si mati. Di mana, ia turut melibatkan hakim yang berbeza, malah perbicaraannya juga bukan pada tarikh yang sama, dan hukuman pun takkan sama.
“Yang sedang si pelaku alami sekarang merupakan prosedur jenayah iaitu berhadapan dengan saman (hukuman) daripada kerajaan Malaysia. Manakala untuk keluarga mangsa yang mengemukakan tuntutan saman adalah melibatkan prosedur sivil,” katanya.
Mufarwa turut menjelaskan, lalam undang-undang Malaysia, mana-mana ahli keluarga yang merasai kesakitan atau suffer ke atas kematian yang dilakukan oleh orang lain, ada hak untuk menyaman. Di mana keluarga si mati boleh meminta sekurang-kurangnya dua tuntutan,
Tuntutan yang pertama melibatkan Dependency Claim iaitu tuntutan keluarga si mati yang menuntut agar pemandu mabuk ini membayar sejumlah wang yang sepatutnya si mati boleh berikan sekiranya si mati masih hidup sehingga umurnya 55 tahun. Di mana hak ini telah termaktub dalam Seksyen 7(3) Akta Undang-Undang Sivil 1956.
“Contohnya, arwah ni masa hidup, dia provide RM 2,500 sebulan untuk menyara keluarga. Umur dia 45 tahun. Jadi, keluarga arwah boleh tuntut RM 2,500 x 12 bulan x 10 tahun segebuk daripada pemandu mabuk ni.
Keluarga hanya boleh tuntut pendapatan dia yang sampai 55 tahun sahaja. Lagi muda, lagi bergandalah tahun-tahun tersebut. Namun, ia semua tertakluk kepada keputusan Hakim,” jelas peguam ini lagi.
Manakala tuntutan kedua pula dipanggil Bereavement Claim iaitu keluarga si mati boleh menuntut agar si pemandu mabuk tersebut untuk ‘membayar’ kesedihan yang dialami satu keluarga disebabkan kematian mangsa.
Jelasnya, “Contohnya, disebabkan arwah meninggal, anak-anak menangis, sebut-sebut nama arwah siang malam, isteri jadi macam orang gila sebab hilang tempat bermanja, (atau) suami rasa trauma sebab isteri mati dalam keadaan tragis. Namun, tuntutan ini tak boleh lebih RM 10,000”.
Bagi tuntutan ketiga pula iaitu Loss of Support. Berbeza dengan Dependency Claim, Loss Of Support ini lebih kepada perbuatan yang tidak mengeluarkan duit. Iaitu tuntutan ke atas kehilangan tempat untuk bergantung dari segi tenaga.
“Contohnya, arwah merupakan ibu yang ada anak kecil. Suami memang bergantung kat arwah untuk jaga anak, dari bagi susu, mandikan, pakaikan baju dan tidurkan anak tersebut. Disebabkan arwah dah meninggal, tiada siapa nak buat kerja-kerja tu. Maka, suami dia boleh tuntut kat pemandu mabuk tu tentang kehilangan support ini,” katanya.
Tuntutan ke-empat pula ialah Estate Claim iaitu tuntutan kecederaan si mati. Keluarga tersebut boleh tuntut kepada pemandu mabuk ini sejumlah bayaran disebabkan ‘kesakitan’ yang dialami oleh si mati. Hak ini telah termaktub dalam Seksyen 8(5) Akta Undang-Undang Sivil 1956.
“Kalau arwah masih hidup, arwah lah yang buat tuntutan ini. Tapi, sebab arwah sudah pergi (meninggal dunia), keluarga arwah pula yang menuntut, tapi, hanya bergantung kepada laporan perubatan doktor.
“Sebab apa kena bergantung laporan perubatan doktor? Sebab, keluarga tak tahu pun si mati ni sakit macam mana. Tuntutan ini memang banyak bergantung kepada laporan perubatan.
“Keluarga boleh tuntut kesakitan, penderitaan semasa kemalangan dan kehilangan tubuh badan si mati. Jumlah tersebut tidak dispesifikkan, dan keluarga boleh letak seberapa banyak yang dimahukan. Namun, semuanya terserah kepada Hakim. Dalam tuntutan ini juga, keluarga boleh tuntut bil hospital, duit transport dan duit baiki kenderaan yang terlibat dalam kemalangan,” jelasnya lagi.
Manakala tuntutan kelima ialah ‘Tuntutan Kos Guaman’, yang bermaksud sekiranya keluarga si mati menang (dalam tuntutan berkenaan), keluarga boleh tuntut supaya pemandu mabuk ini membayar kesemua kos guaman mereka.
Mufarwa turut menambah, bagi Dependency Claim, Bereavement dan Loss of Support, tempoh untuk mulakan saman adalah dalam tempoh tiga tahun selepas kematian.
“Kiranya, kalau meninggal pada 21 Mei 2020, tempoh akhir untuk saman adalah 20 Mei 2022. Lepas 20 Mei 2022 ni, keluarga tak boleh buat tuntutan ni.
“Bagi Estate Claim, tempoh untuk mulakan saman adalah dalam tempoh enam tahun selepas kematian,”katanya.
Tapi bagaimana pula sekiranya keluarga si mangsa menang dalam tuntutan saman berkenaan, tetapi pemandu mabuk itu pula dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan jenayah tersebut, dan tidak boleh membayar saman yang dituntut oleh keluarga mangsa?
Jawab Mufarwa, “Kalau pemandu ni dah kalah saman, tapi tak nak bayar, ada beberapa perkara yang keluarga ni boleh buat. Iaitu minta Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sita semua aset dan barang yang pemandu mabuk ini ada, kemudian lelong sampai cukup duit.
“Selain itu, minta orang lain yang berhutang dengan pemandu mabuk ni supaya lepas ni, segala hutang tu dibayar kepada keluarga itu sahaja. Bukan itu saja, jual share syarikat pemandu mabuk ni kalau ada.
“Bukan itu saja, keluarga mangsa boleh meminta mahkamah untuk mengisytihar pemandu mabuk itu muflis sekiranya pampasan melebihi RM50,000,” akhirinya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Jika pemandu bersalah kemalangan akibat kematian saja Bukan Dalam keadaan mabuk.. claim Sama atau lain