Kes pemandu mabuk: Tiada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah – laporan Bernama

Kes pemandu mabuk: Tiada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah – laporan Bernama

Sikap segelintir pemandu yang enggan mematuhi undang-undang lalu lintas termasuk berani memandu di bawah pengaruh alkohol amat menggusarkan. Bagaikan ‘kebal’ dengan tindakan undang-undang, malah mungkin ada yang tidak gentar dengan hukuman sedia ada.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

Akhir Mei lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah. Difahamkan pindaan akta berkenaan akan dibahaskan di Dewan Parlimen pada bulan ini.

Kes pemandu mabuk: Tiada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah – laporan Bernama

Hari ini, Bernama melaporkan, pertambahan kes yang melibatkan pemandu mabuk dilihat mendadak untuk lima bulan pertama tahun ini dengan 21 kes termasuk sembilan kematian. Ternyata ia bukanlah satu angka yang sedikit, jumlahnya hampir menyamai 23 kes keseluruhan pemandu mabuk sepanjang 2019, sehingga mencetuskan kebimbangan banyak pihak.

Menurut kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), bagi pemandu mabuk, tahap risikonya amat tinggi dengan 13 kali ganda boleh menyebabkan kemalangan berbanding mereka yang tidak berada di bawah pengaruh alkohol

Malah agensi berita kebangsaan ini turut meminta padangan daripada Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) Dr Rusdi Abd Rashid yang berkata tidak ada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah apabila melibatkan risiko kesihatan.

Menurutnya lagi, paras kandungan alkohol dalam darah (BAC) serendah 0.02 peratus sudah menunjukkan kesan kepada individu yang mengambil minuman itu. Antaranya penglihatan menjadi kabur, dan sekiranya pada paras BAC 0.05 ia boleh menyebabkan pertimbangan akan terganggu dan kadar tindak balas menurun.

“Pada paras BAC 0.08, ia akan menyebabkan ketidakupayaan mengawal had laju, koordinasi otot terganggu dan hilang tumpuan manakala paras BAC 0.10 menyebabkan suara mula tidak jelas dan ketidakupayaan memproses informasi.

Kes pemandu mabuk: Tiada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah – laporan Bernama

“Pada tahap BAC 0.15 ia akan menyebabkan kehilangan kawalan sepenuhnya termasuk kelumpuhan (paralysis) otot, hilang deria pendengaran dan penglihatan,” katanya sambil menambah mereka yang berada di bawah pengaruh alkohol tidak berkemampuan untuk mengendalikan kenderaan.

Selain itu, mereka yang berada di bawah pengaruh alkohol ini juga hilang kawalan pergerakan fizikal, gangguan deria penglihatan dan pendengaran selain ketidakupayaan dalam membuat keputusan. Bahkan kadar rasional dan tindak balas mereka agak lambat yang boleh menyebabkan mereka terlibat dalam nahas jalan raya, perlakuan ganas dan kecederaan.

Dr Rusdi turut menjelaskan individu di bawah pengaruh alkohol sebenarnya tidak layak atau cergas untuk memandu kerana gejala-gejala itu, dan seharusnya mereka tidak dibenarkan memandu langsung ketika di bawah pengaruh alkohol, walaupun belum lagi mabuk.

“Mereka boleh dikatakan tidak siuman dan seharusnya perlu balik menaiki teksi atau tidak dibenarkan pulang langsung sehingga ada keluarga yang datang mengambil. Tahap bawah sedar mereka adalah sama seperti dadah jenis CNS depressant seperti Barbiturate (ubat bius) dan nitrazepam yang merupakan ubat tidur,” katanya.

Kes pemandu mabuk: Tiada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah – laporan Bernama

Sekadar gambar hiasan

Jelasnya, apabila individu itu mabuk yang menyebabkan berada dalam keadaan bawah sedar, mereka boleh melakukan pelbagai perlakuan jenayah seperti membunuh, sumbang mahram, penderaan kepada isteri dan anak-anak.

Pada masa ini, paras BAC yang diguna pakai di negara ini adalah 0.08. Banyak negara di dunia menurunkan paras BAC kepada 0.05, antaranya Hungary, Romania dan Republik Czech. Brazil perkenalkan peraturan pemanduan mabuk pada 1998 pada kadar BAC 0.06, yang diperketatkan kepada 0.02 pada tahun 2008, dan kesannya angka kematian menurun sebanyak 16 peratus di Sao Paulo.

Dr Rusdi berkata undang-undang yang ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 sudah memadai namun pelaksanaan undang-undang itu agak kurang dilaksanakan. Pemeriksaan ujian pernafasan alkohol, contohnya, agak kurang dilakukan di Malaysia, katanya.

“Saya diberitahu kalau di negara barat hampir setiap bulan pemandu kena ujian pernafasan alkohol. Aspek yang boleh dipertingkatkan di Malaysia ialah aspek pendidikan masyarakat mengenai bahaya alkohol terutama mereka yang berisiko tinggi untuk minum alkohol,” katanya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required