Kerjasama Toyota-Suzuki nampaknya telah membuahkan hasilnya yang pertama. Perkenalkan, Suzuki Across 2021, sebuah SUV segmen C yang menggunakan asas daripada Toyota RAV4. Buat masa ini, Suzuki Across hanya ditawarkan dalam versi plug-in hibrid, menggunakan teknologi yang sama pada RAV4 Prime.

Dari segi rekaan, Across wajah depan Across lebih banyak lengkungan dengan lampu utama LED yang lebih tirus, DRL LED yang unik serta gril bentuk hexagon. Model paling lengkap ini menggunakan rim 19-inci aloi, dengan enam pilihan warna badan – White Pearl Crystal Shine, Silver Metallic, Attitude Black Mica, Sensual Red Mica, Grey Metallic dan Dark Blue Mica. Aspek luaran yang lain kekal seperti RAV4 asal.

Bahagian dalaman juga dipinjam sepenuhnya seperti yang ada pada RAV4. Perbezaannya cuma lencana pada stereng menggunakan nama Suzuki. Di tengah, sebuah paparan skrin sentuh sembilan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta fungsi Mirrorlink bagi telefon yang serasi. Turut ada ciri pintar tanpa kunci, Push Start, kluster instrumen Optitron, kawalan pendingin hawa dua zon dengan corong belakang serta tempat duduk balutan kulit sebagai standard.

Across dijana oleh sistem kuasa yang sama pada RAV4 Prime – terdiri daripada enjin 2.5 liter A25A-FXS Dynamic Force kitaran Atkinson, menghasilkan 176 hp dan 228 Nm. Enjin ini disertai oleh motor elektrik berkuasa untuk menghasilkan 302 hp, membolehkan SUV ini memecut 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat.

Bateri lithium-ion berkapasiti tinggi 18.1kWh (50.9 Ah) pula menawarkan jalan perjalanan elektrik sepenuhnya sejauh 60 km (kitaran WLTP). Ia juga menerima sistem 4×4 elektronik E-Four dari Toyota, yang menggunakan motor 40 kW sendiri di belakang yang berfungsi bersama motor depan untuk mengagihkan nisbah tork depan:belakang antara 100:0 hingga 20:80.

Ciri keselamatan juga mantap. Across datang lengkap dengan bantuan seperti Pre-Collision System (PCS), Lane Tracing Assist (LTA) dan Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) sebagai ciri standard, serta termasuk fungsi Road Sign Assist (RSA), Blind Spot Monitor (BSM) dan Rear Crossing Traffic Alert (RCTA). Pasaran Eropah akan menerima model ini pada penghujung September 2020.