GMA T.50 – model kelahiran semula Mclaren F1, enjin V12 NA 3.9 liter dengan jeritan 12,100 rpm, RM13 juta!

GMA T.50 – model kelahiran semula Mclaren F1, enjin V12 NA 3.9 liter dengan jeritan 12,100 rpm, RM13 juta!

McLaren telahpun memperkenalkan model Speedtail, iaitu model yang dihasilkan dari inspirasi McLaren F1 – supercar produksi paling laju pada era 90’an dahulu. Namun GMA T.50 ini mungkin model kelahiran semula sebenar McLaren F1 kerana ia dihasilkan oleh pereka asalnya, Gordon Murray.

Walaupun kali ini Murray tidak lagi berkerja di bawah McLaren, sebaliknya dihasilkan menerusi firmanya sendiri iaitu Gordon Murray Automotive (GMA), T.50 dihasilkan bukan sahaja dengan rekaan lebih mirip, malah hadir dengan karekter yang lebih hampir kepada McLaren F1 berbanding McLaren Speedtail. GMA menyifatkan model baharu mereka ini sebagai “supercar paling asli, paling ringan dan paling menumpukan pada pemandu pernah dihasilkan”.

Hanya 100 unit GMA T.50 ini akan diproduksi difasiliti mereka yang terletak di UK, dan ia dihasilkan sempena 50-tahun karier Gordon Murray dalam industri automotif. GMA turut menyatakan bahawa kebanyakkan komponen kereta ini termasuk bahagian-bahagian utama dibuat secara domestik di UK.

GMA T.50 – model kelahiran semula Mclaren F1, enjin V12 NA 3.9 liter dengan jeritan 12,100 rpm, RM13 juta!

Berbanding hypercar terkini yang cendurung untuk menggunakan enjin turbo dengan jumlah omboh yang tidak begitu banyak, T.50 dijana oleh enjin tanpa sebarang pendesak seperti turbo atau supercharger, dengan kapasiti 3.9 liter dalam bentangan V12.

Enjin GMA yang dihasilkan bersama pembina enjin lagenda British, Cosworth berkenaan mampu menghasilkan 663 PS pada takat 11,500 rpm dan tork maksima 467 Nm pada takat 9,000rpm (71% dapat dicapai pada 2,500 rpm!). Takat redline enjin ini pula ditetapkan pada 12,100 rpm, dan menurut GMA ia adalah enjin dengan putaran paling tinggi di dunia untuk kegunaan jalan raya buat masa sekarang. Macam mana dia punya respon? GMA mendakwa hanya 0.3 saat diperlukan dari kelajuan melahu untuk mencapai takat RPM maksima.

Dengan penggunaan material ringan seperti aluminium, logam dan titanium, enjin V12 gergasi ini ditimbang dengan berat hanya 178 kg. Ia juga merupakan enjin V12 kegunaan jalan raya dengan ketumpatan kuasa paling tinggi buat masa sekarang iaitu 166 PS untuk setiap kapasiti 1 liter.

GMA T.50 – model kelahiran semula Mclaren F1, enjin V12 NA 3.9 liter dengan jeritan 12,100 rpm, RM13 juta!

Selain keluar dari corong ekzos, bunyi enjin V12 ini turut dihantar ke kabin menerusi sistem Direct Path Induction Sound. Dengan bangga, Gordon Murray sendiri menyifatkan bunyi yang dihasilkan oleh enjin GMA Cosworth V12 tersebut sebagai “bunyi V12 terbaik setakat ini”.

Bukan sahaja enjin dengan gaya old-school, malah kotak gear supercar ini juga menampilkan ‘perisa’ era 90’an. Tiada kotak gear automatik, tiada kotak gear klac berkembar, tiada pedal penukar gear mahupun tuil gear sequential kerana GMA T.50 hadir dengan kotak gear manual enam-kelajuan dengan tuil penukar gear H-pattern serta pedal klac untuk kaki kiri. Jadi untuk yang membeli supercar hanya untuk menunjukkan prestij, GMA T.50 ini mungkin tidak sesuai untuk anda.

Kotak gear yang dihasilkan oleh Xtrac ini diberikan lima-gear awal dengan nisbah rapat, manakala gear keenam dihasilkan lebih panjang untuk cruising lebih selesa di lebuh raya. Xtrac juga menghasilkan kotak gear ini dengan material yang ringan lagi kukuh, di mana dinding perumahnya hanya setebal 2.4 mm, manakala berat keseluruhannya pula hanya 80.5 kg.

GMA T.50 – model kelahiran semula Mclaren F1, enjin V12 NA 3.9 liter dengan jeritan 12,100 rpm, RM13 juta!

Walaupun dijana dengan enjin dengan kapasiti besar, saiz keseluruhan GMA T.50 ini sebenarnya agak kompak. Ia dihasilkan dengan panjang hanya 4,352 mm atau 27 mm lebih pendek dari Porsche Cayman. Platform kereta ini menggunakan rekaan asas tub monocoque dengan material karbon bagi memberikan kekuatan dan ketegaran torsi secukupnya, bersama sel kabin yang dihasilkan dengan gaya kereta F1 memberikan perlindungan maksima untuk pemandu dan penumpang.

Panel-panel badan T.50 ini juga dihasilkan dengan material karbon gred tinggi, manakala semua tingkap dan cermin kereta ini adalah 28% lebih nipis dari kereta biasa. Secara keseluruhan, GMA T.50 menampilkan berat keseluruhan hanya 986 kg!

GMA juga tidak menerapkan sebarang sistem suspensi adaptif yang biasanya memerlukan kelengkapan elektrik dan hidraulik yang berat pada T.50. Supercar ini menerima sistem suspensi jenis double wishbone untuk kesemua sudut dengan komponen yang diperbuat dari aluminium forged, bersama sistem stereng rak dan pinan tanpa sebarang bantuan kuasa bagi memberikan respon terbaik kepada pemandu. Walau bagaimanapun, sedikit bantuan akan diberikan pada stereng ketika pemandu memarkir kereta ini.

GMA T.50 – model kelahiran semula Mclaren F1, enjin V12 NA 3.9 liter dengan jeritan 12,100 rpm, RM13 juta!

T.50 dilengkapkan dengan rim aluminium forged bersaiz 19-inci (7.8 kg) di hadapan dan 20-inci (9.1 kg) di belakang. Ia diikat pada hab roda dengan gaya kereta lumba sebenar menggunakan hanya satu nat. Rim-rim ini dibaluti dengan tayar Michelin Pilot Sport 4 S bersaiz 235/35R19 di hadapan dan 295/30R20 di belakang.

Bagi menghentikan kereta ini pula, ia dilengkapkan dengan sistem brek generasi terkini Brembo terdiri dari angkup monobloc bersama cakera seramik karbon – enam omboh dengan cakera 370 mm x 34 mm di hadapan dan empat-omboh dengan cakera 340 mm x 34 mm di belakang.

Kuasa membrek disampaikan dari kaki pemandu ke kesemua angkup berkenaan dengan bantuan servo yang rendah. Ini bagi membolehkan pemandu menurunkan gear secara agresif menggunakan teknik heel and toe dengan mudah walaupun ketika hanya sedikit kuasa membrek diperlukan.

GMA T.50 – model kelahiran semula Mclaren F1, enjin V12 NA 3.9 liter dengan jeritan 12,100 rpm, RM13 juta!

Disebabkan ia lahir dari air tangan orang yang sama, rupa luaran T.50 tidak dapat dinafikan mempunyai rupa asas yang sama seperti McLaren F1. Ia diberikan kokpit pesawat pejuang dengan tingkap pintu terbahagi dua dan juga muncung yang pendek.

T.50 ini tidak menampilkan kelengkapan aerodinamik yang agresif menerusi penggunaan sayap atau liang udara besar seperti kebanyakkan supercar terkini. Namun ia masih mampu mendapatkan ‘daya lekatan ke permukaan bumi’ menerusi satu kipas berdiameter 400 mm yang diletakkan pada bahagian belakang.

Kipas tersebut digerakkan dengan motor 48-volt dan boleh berputar sehingga 7,000 rpm. Apabila ia berputar, ia turut akan berinteraksi dengan sayap aktif dibelakang bagi menguruskan aliran udara di atas dan di bawah badan, memastikan daya seretan udara dan downforce adalah seimbang dalam semua kelajuan.

GMA T.50 – model kelahiran semula Mclaren F1, enjin V12 NA 3.9 liter dengan jeritan 12,100 rpm, RM13 juta!

Penggunaan kipas seperti ini bukan baharu oleh Gordon Murray. Beliau pernah menggunakan rekaan yang sama pada kereta Formula 1 Brabham BT46 rekaannya pada tahun 1978, malah ia turut tampil pada McLaren F1 dengan dua kipas yang lebih kecil.

Selain itu perincian lain yang diberikan termasuk lampu hadapan LED dengan penyejuk pada bahagian atas dan bawah, liang induksi udara untuk enjin pada bumbung (memberikan bunyi sedutan udara dari enjin betul-betul di atas kepala pemandu), manakala ruang enjin boleh diakses dengan penutup yang dibuka seakan pintu gullwing. Tiada sebarang penutup atau kemasan plastik pada enjin tersebut, dan anda terus dapat melihat kepada selinder berwarna oren enjin Cosworth berkenaan sebaik sahaja penutup ruang enjin dibuka.

Rekaan kokpit T.50 ini juga penuh dengan ciri yang dibawa dari McLaren F1, terutamanya konfigurasi tiga tempat duduk dengan kedudukan pemandu di tengah seperti sebuah kereta lumba single-seater. Setiap pelanggan akan ‘dilayan’ seperti pemandu Formula 1 ketika membeli kereta ini di mana tempat duduk, posisi larasan roda stereng dan juga posisi pedal box akan dihasilkan mengikut badan pemilik.

GMA T.50 – model kelahiran semula Mclaren F1, enjin V12 NA 3.9 liter dengan jeritan 12,100 rpm, RM13 juta!

Tuil dengan tombol gear titanium diletakkan secara ‘terapung’ di sebelah kanan pemandu, dan mekanisma titanium sistem tersebut dibiarkan terdedah di bawahnya. Perincian istimewa lain pada kokpit T.50 ini termasuk butang penghidup enjin yang terletak di belakang tuil gear dan di disorokkan di bawah penutup berwarna merah, plat casis dengan nombor produksi unik yang dihasilkan menggunakan laser, serta roda stereng tiga-jejari gentian karbon.

Paparan instrumen juga agak old-school pada T.50 ini kerana tiada sebarang paparan digital diberikan. Pemandu menerima sebuah takometer berdiameter 120 mm dengan bacaan maksima melebihi 13,000 rpm dan juga jarum yang diperbuat dari aluminium.

Juga, tiada sebarang tuil diberikan di mana semua fungsi dioperasikan dengan butang yang perlu ditekan. Kesemua tiga tempat duduk diperbuat dari bahan gentian karbon dengan berat masing-masing hanya 13 kg.

Walau bagaimanapun, kereta ini masih diberikan sistem hiburan di mana pemain utama bersaiz kecil diletakkan pada bahagian kanan papan pemuka, dihubungkan kepada sistem bunyi Arcam 700-watt dengan 10 pembesar suara, serta menyokong Apple Carplay, Android Auto tanpa wayar dan navigasi – keseluruhan sistem ini hanya seberat 3.9 kg.

Dengan segala perincian yang begitu hardcore ini, GMA T.50 dijual pada harga asas £2.36 juta atau sekitar RM13 juta. Ketika sesi fitting badan untuk bahagian kokpit, setiap pembeli akan berpeluang untuk berjumpa sendiri dengan Gordon Murray. Untuk pelanggan di UK, Amerika Syarikat, Jepun dan Abi Dhabi bakal mendapat akses ke pusat servis yang dilantik, manakala untuk pasaran lain, T.50 anda akan diselenggara oleh ‘flying doctor’.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required