Empat bulan selepas membuat kemunculan di Jepun, Suzuki Swift facelift 2021 kini masuk pula ke pasaran UK. Kali ini, semua model 1.2L disertakan dengan sistem mild-hybrid 12-volt sebagai standard, untuk membolehkannya mengurangkan lagi kadar pembebasan karbon dan memperbaiki penggunaan minyak.

Enjin K12D Dualjet Hybrid 1.2 liter yang dikemaskini itu menggantikan unit K12C bukan hibrid sebelum ini. Ia menawarkan 83 PS dan 107 Nm tork pada 2,800 rpm. Enjin berkenaan menampilkan sistem suntikan berkembar, masukan pemasa injap bolehubah elektronik, pam minyak sesaran boleh ubah serta sejukan piston elektronik.

Sistem hibrid 12-volt yang kompak dan ringan itu menggunakan Integrated Starter Generator dengan tali sawat (ISG; 2.3 kW dan 50 Nm tork), yang membantu enjin ketika pecutan dan mendapatkan semula tenaga melalui janaan semula ketika brek. Bateri 10 Ah lithium-ion baru mengggantikan unit 3 Ah.

Dengan transmisi manual, Swift Hybrid pacuan roda depan ini didakwa menggunakan hanya 4.1 liter bahan api bagi setiap 100 km (kitara WLTP) dan menghasilkan 111 gram C02 bagi setiap kilometer. Dengan CVT, ia mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 12.2 saat.

Sistem pacuan semua roda kekal AllGrip Auto juga ada ditawarkan sebagai pilihan, tetapi hanya untuk varian paling tinggi SZ5. Versi ini turut menggunakan enjin K12D hibrid yang sama, dengan bacaan kadar penggunaan minyak 4.5 L/100 km dan 123 g/km C02.

Sementara itu, Swift Sport masih dikuasakan oleh enjin 1.4 liter turbocas petrol, yang telah dikemaskini dengan sistem mild-hybrid 48-volt awal tahun ini. Output keseluruhan sistem berkenaan ialah 129 hp dan 235 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.1 saat dan laju maksimum 210 km/j.

Kemaskini penampilan yang dilakukan adalah sama seperti model JDM; menampilkan gril baru dengan jalur krom halus, lampu depan yang dikemaskan, rekaan rim baru dan warna tambahan baru. Tiang tengah juga dihitamkan. Lampu utama LED kini adalah standard untuk semua.

Di dalam, Swift menerima skrin sentuh tujuh-inci untuk paparan dengan Apple CarPlay dan Android Auto sebagai standard. Sistem tunjuk arah melalui kad SD juga ada sebagai pilihan. Bagi aspek keselamatan, semua model datang dengan kawalan melayar adaptif sebagai standard.

Bergantung kepada varian, turut hadir ialah sokongan brek radar, sokongan brek dua sensor, amaran menukar lorong, amaran lintasan trafik di belakang, tinjauan titik buta, pengesanan tanda trafik dan sensor parkir di belakang.

Sejak model generasi ketiga diperkenalkan pada 2017, Suzuki telah menjual sebanyak 745,000 unit model ini di peringkat global. Di UK, ia disasarkan jualan sebanyak 12,000 unit untuk tahun 2021. Harga untuk pasaran UK bagi Swift ini ialah dari £14,749 (RM80k) hingga £18,749 (RM101k).