Audi e-tron S, e-tron S Sportback diperkenal – versi prestasi dengan tiga motor elektrik, 503 PS, 937 Nm

Audi e-tron S, e-tron S Sportback diperkenal – versi prestasi dengan tiga motor elektrik, 503 PS, 937 Nm

Memandangkan Audi e-tron dan e-tron Sportback sudah didedahkan kepada umum, sekarang pengeluar dari Jerman itu memperkenalkan pula varian S, yang merupakan varian prestasi untuk kedua-duanya. Tidak seperti varian sebelum ini yang menggunakan dua motor elektrik, e-tron S dan e-tron S Sportback pula menggunakan tiga motor elektrik.

Melalui tetapan ini, setiap roda belakang dipacu oleh motor masing-masing manakala satu lagi motor elektrik digunakan untuk dua roda hadapan. Secara keseluruhannya, ia boleh menghasilkan kuasa 503 PS (496 hp atau 370 kW) dan tork 937 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat dan mencecah kelajuan maksimum 210 km/j.

Bagi meningkatkan kecekapan, hanya motor elektrik di belakang yang bergerak waktu berada dalam mod pemanduan biasa. Walaupun begitu, apabila lebih lagi prestasi diperlukan, atau terdapat roda yang hilang cengkaman, barulah motor elektrik hadapan akan berfungsi untuk memberi pacuan semua roda. Sistem Torque Vectoring elektrik memastikan pembahagian kuasa yang sepatutnya.

Audi e-tron S, e-tron S Sportback diperkenal – versi prestasi dengan tiga motor elektrik, 503 PS, 937 Nm

Walaupun terdapat sistem ini, pemandu masih boleh menikmati keseronokan kerana mod Sport untuk ESC dan mod pemanduan Dynamic akan membenarkan drift yang terkawal. Selain penggerak yang dinaik taraf, varian S ini juga mendapat suspensi udara adaptif yang ditala khas dan tujuh pilihan tetapan. Rim 20 inci diberikan standard, tapi boleh dinaik taraf kepada unit 21 atau 22 inci. Brek menggunakan cakera 400 mm dengan angkup enam piston.

Sistem brek kenderaan ini turut bekerjasama dengan sistem penjanaan semula kuasa melalui motor elektriknya dan terdapat sistem khas yang menentukan sama ada kereta akan perlahan menggunakan salah satu sistem atau kedua-duanya. Apabila menggunakan motor elektrik untuk memperlahankan kenderaan, terdapat tiga tahap penjanaan semula kuasa dengan yang paling agresif boleh memperlahankan sehingga 0.3 g.

Semua tenaga yang diperoleh disampaikan kepada bateri 95 kWh yang terletak di bawah tempat duduk penumpang, dan terdiri daripada 36 modul yang setiap satunya mempunyai 12 sel. Audi memberitahu jarak gerak e-tron S adalah 364 km manakala e-tron S Sportback boleh mencapai 370 mengikut kitaran WLTP.

Bateri pada kereta ini boleh dicas menggunakan sambungan Type 2, dan model S ini datang dengan pengecas dalam kenderaan yang boleh menyokong sistem pengecasan AC sehingga 11 kW. Jadi, pengecas domestik dan pengecas awam boleh digunakan. Untuk lebih cepat, pengecas pantas DC sehingga 150 kW boleh dilakukan melalui soket CCS di mana dari kosong, ia boleh mencapai tahap 80% dalam masa cuma setengah jam.

Melihat kepada penampilan, anda boleh mengenali model S ini dengan badan yang lebih lebar kerana lengkuk rodanya ditambah lagi. Ia kemudiannya dilengkapkan dengan kemasan perak di hadapan dan belakang. Bahagian dalam tidak banyak berubah, dan hanya diberi lencana S serta kemasan gentian karbon di beberapa bahagian.

Begitu juga dengan kelengkapan teknologi lain, termasuk kokpit virtual, sistem infotainmen MMi Touch MIB-3, dua skrin di konsol tengah serta pelbagai pilihan lain seperti head-up display dan sistem sambungan. Kedua-dua model S ini akan dijual di Eropah dengan harga 91,435 euro (RM449,628) bagi e-tron S dan 93,628 euro (RM460,412) untuk e-tron S Sportback.

GALERI: Audi e-tron S

GALERI: Audi e-tron S Sportback

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required